Tak pernah rasa terbeban dan anggap seperti anak sendiri. ‘Kami akan jaga amanah yang ditinggalkan.’ Biarpun perit kehilangan dua insan tersayang, namun kehidupan perlu diteruskan.
Wanita ini bukan saja kehilangan abang sulungnya, malah dia turut kehilangan kakak ipar yang juga sahabat baiknya selepas dua insan kesayangan itu meninggal dunia dalam kemalangan, tahun lalu.
Artikel Berkaitan:
‘Aydan Tidur Dulu, Nanti Mama Ayah Tidurlah.’ Lukisan Terakhir Anak, Petanda Dia Pergi Selamanya
Tak Pernah Rasa Terbeban
Sejak tragedi itu, Norhaziantie Zailani, 33, mengambil alih tugas dan tanggungjawab menjaga tiga anak pasangan itu yang kini meneruskan kehidupan dengan kasih sayang dan perhatiannya serta keluarga.
Mengimbas tragedi hitam itu, abangnya, Mohamad Shafiq Zailani dan isteri, Faieznoor Mansor serta bayi mereka berusia 10 bulan, Daryan Marwa meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 200 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini, 19 November tahun lalu.
Manakala, tiga anak mereka yang selamat dalam kejadian itu ialah Mohamad Danish Uqasha, 10, Dhia Medina, 6, serta Damiaa Melissa, 3.
Anggap Seperti Anak Sendiri
Jelas Norhaziantie, hubungannya dengan abang, Mohamad Shafiq yang dipanggil Along memang sangat rapat selain kakak ipar, Faeiznoor adalah sahabat baiknya, malah mereka juga tinggal di kawasan perumahan sama dan bersebelahan.
Menurutnya, sejak pemergian dua insan tersayang itu dia mengambil tanggungjawab menjaga tiga anak saudara dengan kerelaan diri sendiri dengan persetujuan suami Khairul Haznizam Roslan, 37.
“Suami juga mahu menjaga semua anak Along, malah dia juga sahabat baik Along sejak dari dulu dan selalu menghabiskan masa bersama.
“Mereka juga selalu meminta kami menjaga semua anaknya dan tak sangka apa yang selalu dikatakan itu akhirnya terjadi juga.
“Alhamdulillah, ketiga-tiga anak Along berada dalam keadaan baik dan mereka menerima kehilangan ibu bapa biarpun perit, namun kehilangan itu bukan saja dirasai mereka tetapi seluruh keluarga kedua pihak,” katanya tinggal di Bukit Sagu 2, Kuantan, Pahang.
Kami Akan Jaga
Di samping itu, anak sulung abangnya, Mohamad Danish Uqasha adalah anak susuannya dan kanak-kanak itu bersama dua lagi adiknya memang memanggil dirinya dan suami dengan panggilan ibu dan papa.
“Saya menjaga mereka dengan ikhlas dan tidak pernah berasa terbeban langsung, malah memang menganggap mereka seperti anak sendiri sejak Along dan Kak Long masih ada lagi. Saya layan anak mereka sama seperti anak kandung, tiada beza.
“Saya masih ingat pada hari pertama along dan isterinya meninggal dunia, acah (nama panggilan untuk anak sulung) cakap ‘abah dan mama sudah tiada. Acah tahu ibu sayang acah, boleh tak sayang adik macam acah?’. Itu memang menyedihkan saya kerana saya sayang mereka semua tiada beza.
“Kami akan jaga amanah yang ditinggalkan Along dan isterinya dengan baik dan akan cuba berikan pendidikan dunia dan akhirat yang lengkap untuk mereka sama seperti tiga anak kami,” katanya yang berniaga dalam talian dan menjahit barangan kanak-kanak seperti bantal dan tilam kekabu.
Amanah Yang Ditinggalkan
Norhaziantie yang kini mendapat hak penjagaan sepenuhnya tiga anak saudaranya itu mengakui tahun pertama Aidilfitri tanpa dua insan tersayang itu sangat berbeza terutama kepada anak arwah.
“Tahun pertama tanpa along sangat berbeza untuk keluarga kami. Kakak ipar pandai memasak, dia boleh dianggap ketua tukang masak keluarga. Along pula seorang yang manja, ceria dan suka berkongsi cerita dengan adiknya dan rakan.
“Kami sekeluarga sedih tetapi kami sepakat tidak menunjukkan perasaan itu di depan anak Along sebab kami tak mahu mereka juga berasa sedih dan merasai kekosongan itu,” katanya.
Raya Penuh Makna
Manakala di akaun Facebooknya, Haziantie meluahkan rasa hatinya:
Raya penuh makna yang sangat dalam buat kami tahun ini.
Terima kasih Along membahagiakan adik dengan meninggalkan anak anak Along bersama adik untuk adik terus perjuangkan rasa sayang kita yang tak kan pernah putus.
Walaupun anak-anak Along kehilangan Along ,Paih dan Dayyan adik cuba sedaya upaya adik bahagiakan mereka sama macam adanya abah dan mamanya,sehingga tiada rasa kurang yang dalam buat mereka.
Kami bahagia berlapan long..kami happy sangat.
Along berbahagialah bersama isteri dan anak Along di sana seperti kami di sini.
Kita pasti berjumpa nanti, kita hanya berubah Alam tapi kita tetap ada. Al-fatihah.
Kashoorga : Peritnya menerima kehilangan ibu dan ayah, apa lagi anak-anak ini masih kecil. Semoga terus kuat menghadapi hidup wahai anak-anak.
Sumber: myMetro, Facebook Norhaziantie
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.