‘10 Tahun Duit Cukup Tunaikan Haji.’ Siap Surat Beranak Anak, Ibu Ini Terus Buka Akaun & Menabung

‘10 tahun duit cukup tunaikan haji.’ Siap surat beranak anak, ibu ini terus buka akaun Tabung Haji dan menabung secara konsisten. Semuanya perlu perancangan kalau hendak tunaikan haji dalam usia yang muda.

Dahulu mungkin kurang kesedaran, sekarang rata-rata ibu bapa mula membuka akaun tabung haji sedari anak masih kecil seterusnya membuat potongan gaji setiap bulan untuk simpanan anak-anak.

Sepertimana yang dikongsikan oleh Puan Nor Azihan Sulaiman ini, baginya tiada rahsia anaknya dapat pergi haji dalam usia muda, sebaliknya inilah cara dia lakukan selama ini.

10 Tahun Duit

Ramai yang tanya saya, rahsia anak-anak dapat menunaikan haji pada usia yang muda. Tidak ada rahsia.

Saya dan Tabung Haji memang tak dapat dipisahkan. Kalau ada award, boleh bagilah dekat saya…

Seawal usia 15 tahun saya sydah buka akaun Tabung Haji (TH). Ketika itu ada pameran di sekolah dan saya singgah buka akaun di booth TH. Dari situlah bermulanya persahabatan saya dengan TH.

Cukup Tunaikan Haji

Ada duit RM5, saya pos ke TH Gerik. Begitulah yang saya lakukan masa zaman sekolah. Sehinggalah saya keluar mengajar, barulah saya buat potongan gaji secara tetap.

Sebelum berkahwin, sebelum ada anak, saya sudah membantu membuka akaun TH untuk anak-anak murid Tahun 1 saya. Masa tu kaunter TH dibuka pada setiap hari Sabtu di bangunan Arkeb MARA Lenggong.

Saya wujudkan tabung simpanan untuk anak-anak murid. Kalau mereka masih ingat, setiap hari mereka akan menabung duit lebihan belanja sekolah mereka, sekupang dua kupang…


Siap Surat Beranak Anak

Zaman itu belum ada media sosial macam sekarang. Nak ambil gambar buku catatan tabungan pun tak dapat. Kena guna kamera isi filem Kodak.

Apabila duit mereka cukup RM5 atau lebih, saya akan bawa ke kaunter TH. Sehingga mereka di Tahun 6, saya masih meneruskan usaha tabungan tersebut. Buku akaun TH mereka, saya pulangkan kepada mereka apabila mereka tamat tahun 6.

Kalaulah ibu bapa mereka prihatin pada masa itu dan membuat pendaftaran haji anak-anak mereka, tentu sekarang mereka semua sudah bergelar haji, hajah terlebih dahulu daripada anak-anak saya.


Ibu Ini Terus

Jadi, tak ada hairanlah kalau saya membuka akaun TH anak-anak saya seawal usia mereka 2 minggu iaitu sebaik-baik sahaja mereka memperoleh surat beranak dan seterusnya mendaftarkan haji mereka.

Target saya, sebulan RM100, setahun RM1200, sepuluh tahun RM12, 000 simpanan bersih tidak termasuk bonus. Bermakna pada usia 10 tahun, mereka sudah cukup wang untuk mengerjakan haji.

2007, umur abang genap 10 tahun. Dia selalu ikut opahnya pergi kursus haji kerana pada tahun tersebut opahnya dapat tawaran mengerjakan haji. Dia bagitau kawan-kawannya yang dia nak pergi haji.


Buka Akaun & Menabung

Suatu hari saya terserempak cikgunya. Cikgu dia beritahu, Syaiful cakap pada semua orang yang dia hendak pergi haji. Cikgunya kata,”Dia ingat senang-senang kot nak pergi haji. Kalau tak ada duit, mana boleh pergi haji. Setakat pergi kursus sajalah.”

Saya senyum saja. Tak jawab apa-apa pun. Tidaklah pula saya beritahu, duit dia memang sudah cukup. Apa yang cakap itu memang betul dia nak pergi haji sebab memang sudah daftar pun haji dia ketika itu.

Alhamdulillah, 6 tahun kemudian, pada usianya 16 tahun, Allah menjemput abang menjadi tetamu agung-Nya.


Terus Istiqamah

Anak-anak memang sejak kecil lagi pulun mengaji dan hendak khatam Quran cepat-cepat sebab mama dan ayah janji hendak bawa umrah kalau semua sudah khatam Quran.

Bukan paksa anak-anak tapi asbab itu jugalah mereka bersungguh-sungguh mengaji dan berguru.

Doa mama semoga anak-anak mama terus istiqomah dalam mengerjakan amal ibadat, mencintai rumah Allah dan mencintai agama Allah.


Baca Di Sini:

‘Anak Meninggal Kemalangan.’ Hukum Ibu Bapa Menunaikan Haji Dengan Wang Pampasan Takaful

Ambil Nombor Guna Apps, Urusan Di Lembaga Tabung Haji Jadi Lebih Praktikal, Tak Perlu Beratur Lama

Kashoorga : Paling penting kita berusaha menyimpan mengikut kemampuan, selebihnya serah pada Allah SWT.

Sumber: Puan Nor Azihan Sulaiman

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!

Comments

Leave a Reply