“Sentiasa ingatkan diri, setiap ujian Allah nak didik saya sesuatu.’ Begitulah luahan Lisa Surihani apabila ditanya tentang kehidupan selepas berhijrah.
Seperti orang lain, setiap yang berlaku pasti dengan kehendak-Nya. Mahu atau tidak, kita sebagai hamba Allah perlu hadapi dengan reda dan sabar.
Dalam setiap kehidupan setiap individu, pasti ada naik dan turunnya. Namun, setiap kali cabaran dan dugaan itu hadir, itu juga sekali gus akan jadi didikan buat diri kita untuk menjadi lebih baik.
Artikel Berkaitan:
Sentiasa Ingatkan Diri
Bagi pelakon dan pengacara, Datin Lisa Surihani, cabaran dalam kehidupan sentiasa menjadi peringatan buat dirinya untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah.
Memetik laporan Harian Metro, Lisa berkongsi pendapatnya tatkala diminta berkongsi mengenai kehidupan dan dugaan.
“Kalau kita rasa ada cabaran dalam kehidupan, pada saya ia bergantung kepada apa yang berlaku pada hari itu. Mungkin ia berlaku atas beberapa faktor.
“Untuk saya, saya selalu fikirkan bahawa kehidupan ini ada naik dan turunnya. Saya cuba tegaskan kepada diri saya bahawa, mungkin pada hari itu, saya tak dapat mengawal emosi saya dengan baik,” katanya.
Baca Di Sini:
Setiap Hari Jangan Lupa Selit Doa Ini, Agar Hati Kita Reda Dengan Ujian Allah
Setiap Ujian Allah
Dalam masa yang sama, menurut selebriti berusia 37 tahun ini, dugaan yang diturunkan Allah adalah untuk mendidik hamba-Nya.
“Saya ingatkan diri saya bahawa Allah nak didik saya sesuatu. Apa yang kita lalui dalam kehidupan, ada qada dan qadar. Kita kena cuba beritahu diri kita, bagaimana nak rapatkan diri kepada Allah menerusi cabaran yang dilalui.
“Saya doakan agar, setiap apa yang berlaku kepada kita semua akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Semoga Allah kurniakan kekuatan dan kesabaran kepada kita,” katanya.
Seterusnya, berkongsi mengenai kehidupannya sebagai isteri dan ibu, Lisa yang juga isteri kepada pengarah, pelakon dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim ini berkongsi pengalamannya sebagai ibu kepada tiga cahaya mata.
“Alhamdulillah, untuk kehidupan saya sebagai seorang ibu dan isteri, saya rasa sangat bersyukur. Anak-anak saya pun semakin membesar. Yahaira Leanne dah masuk tujuh tahun, Yusof Leonne sudah enam tahun dan Yunos Laith sudah dua tahun.
“Kadangkala, kita memikirkan mereka yang bekerja akan ada kurang masa dengan anak-anak. Tetapi, mungkin juga mereka yang bekerja ini, dapat masa yang lebih berkualiti dengan anak-anak mereka.
“Saya sangat bersyukur kerana rezeki kerja itu ada dan pada masa sama, masa untuk anak-anak pun ada. Itu juga rezeki,” katanya.
Nak Didik Saya Sesuatu
Namun, Lisa berkongsi perspektif berbeza selepas dia membaca satu hantaran yang dimuat naik seorang wanita bekerjaya di Instagram.
“Baru-baru ini saya ada baca satu hantaran di Instagram. Wanita itu meluahkan pengalamannya dari perspektif yang berbeza di mana dia sebagai wanita yang bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang, dapat mengoptimumkan masa yang berkualiti dengan anak-anaknya selepas pulang dari kerja.
“Bila difikirkan semula, ada betulnya juga dan ia tidak mustahil. Perspektif itu juga boleh difahami supaya mereka yang bekerja tidak diselimuti dengan stigma seperti sebelum ini.
“Dalam hantaran itu juga, wanita itu menjelaskan bahawa dia berhubung dengan lebih baik dengan anak-anaknya selepas waktu bekerja dan dapat mewujudkan perbualan berkualiti,” katanya.
Ditanya mengenai kerjaya lakonan, Lisa menyentuh mengenai ‘pencariannya’ agar rezeki yang diterimanya itu akan mendekatkan dirinya dengan Sang Pencipta.
“Saya bersyukur dengan keadaan kehidupan saya sekarang. Mengenai pasang dan surut tawaran kerja, itu semua daripada Allah. Saya bersyukur dan saya serahkan soal rezeki kepada Allah.
“Tapi, apa yang saya doakan adalah apa juga rezeki yang saya terima, biarlah halal. Biarlah ia rezeki yang membolehkan saya belajar, menjadi orang yang lebih baik, dekat dengan Allah dan dapat menginsafkan saya.
“Apa juga tawaran yang saya terima, dalam format apa sekalipun tidak kiralah lakonan atau pengacaraan, saya doakan ia berlandaskan semua yang saya beritahu,” katanya.
Terbaharu, Lisa kini menggalas tanggungjawab sebagai pengacara dalam rancangan Innovathon, yang akan ditayangkan di saluran Astro Ria bermula 15 Julai ini.
Kashoorga: Setiap manusia ada ujiannya, tak perlu mengeluh kerana di sebalik ujian pasti ada hikmahnya.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.