Dalam Kekurangan, Dia Mudah Hafal Surah Lazim & Teruja Diajak Solat. ‘Khaleef Ajar Saya Erti Bersyukur.’

Dalam kekurangan, dia mudah hafal surah lazim dan teruja diajak solat. ‘Khaleef ajar saya erti bersyukur.’ Benarlah setiap manusia ada kekurangan dan kelebihannya.

Biarpun Khaleef dilahirkan dengan kecacatan di kaki, namun hatinya terang bila dia mudah menghafal surah-surah lazim dan teruja setiap kali ayahnya ajak solat. Khaleef anak syurga.

Artikel Berkaitan:

Istimewanya Adik Naja, Lumpuh Otak Namun Hafal 30 Juzuk Al-Quran

Dalam Kekurangan

“Kenapa kaki anak macam itu?” Itu soalan yang kerap kali diajukan segelintir individu kepada Nadzirah Afiqah Abdullah, 33, setiap kali melihat keadaan kaki anak sulungnya, Muhammad Khaleef Iman Muhammmad Zainul Arifi, 7, atau mesra disapa Khaleef.

Meskipun begitu, Nadzirah Afiqah tidak tersinggung kerana mengerti ada segelintir individu yang kurang faham keadaan sebenar dialami Khaleef yang dilahirkan dengan keadaan kaki tidak normal atau Congenital Dislocation of the Knee.

Masalah itu menyebabkan sendi kaki Khaleef tidak bersambung dengan kepala lututnya yang terlalu kecil.

Dia Mudah Hafal Surah Lazim

Berkongsi kisahnya, Nadzirah Afiqah mengakui agak susah untuknya menerima kenyataan apabila ada individu bertanya adakah Khaleef anak OKU.

Bagaimanapun, masa dan pengalaman mengajarnya untuk reda walaupun ada ketikanya masih berada dalam fasa penafian.

“Sebenarnya, suami yang lebih sedih melihat keadaan anak selepas dilahirkan, mungkin kerana Khaleef cahaya mata sulung kami.

“Manakala, saya pula lebih kepada perasaan ingin tahu kenapa anak jadi begitu kerana sepanjang tempoh kehamilan, tiada apa yang tidak normal dikesan oleh doktor.

“Cuma, apabila sudah kongsikan mengenai anak kepada rakan dan lihat semula gambar lama Khaleef ketika kecil, menitik juga air mata saya kerana mengenangkan bagaimana saya boleh kuat untuk menempuh ujian itu,” katanya lagi.

Teruja Diajak Solat

Bercerita lanjut, Nadzirah Afiqah menjelaskan Khaleef pernah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali sejak dilahirkan dan kesemuanya dijalankan di Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita Dan Kanak-kanak Kuala Lumpur – HKL).

“Pembedahan sulung Khaleef adalah pada 2018, membabitkan prosedur pemanjangan tendon lutut, kedua pada 2020 kerana tulang pinggul terkeluar dan ketiga pada tahun lalu, prosedur sama seperti pembedahan yang pertama.

“Selepas dilahirkan, doktor pernah cakap kemungkinan Khaleef tak boleh bersila kerana keadaan kakinya yang tidak boleh membengkok, namun kini nampak banyak perubahan positif selepas mengikuti rancangan rawatan yang disarankan.

“Bab pelajaran pula, ikutkan dulu risau juga nak menghantarnya ke sekolah kerana memikirkan penerimaan murid lain dan cikgu tetapi tanggapan itu berubah selepas melihat Khaleef dapat menyesuaikan diri terutamanya sewaktu menghantar dia masuk ke Prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi, Selangor.

“Di sekolah sekarang juga, Khaleef diterima baik oleh guru dan rakan-rakannya turut membantu pergerakan Khaleef serta tolong bawa begnya selepas tiba di sekolah,” katanya.

Khaleef Ajar Saya

Tambah Nadzirah, bagaimanapun keadaan Khaleef Iman, dia terima seadanya kerana sudah berdamai dengan takdir.

“Dulu, saya memang marah jika ada yang kata anak saya OKU, tetapi apabila difikirkan semula, ia ada bahagian Khaleef dan saya mohon kad OKU untuknya juga kerana enggan menidakkan haknya.

“Kini, saya hanya mampu senyum sahaja apabila ada yang memandang dan melihat semacam Khaleef apabila membawanya keluar.

“Ia kerana, apabila di hospital, saya lihat ada lagi kanak-kanak yang lebih teruk keadaannya berbanding Khaleef. Jadi, daripada situ, saya belajar erti bersyukur.

“Lagipun, Khaleef anak yang tidak banyak ragam, mudah dijaga dan karakternya yang ceria menjadikannya penghibur buat kami sekeluarga,” katanya.

Erti Bersyukur

Sementara itu, suaminya, Muhammad Zainul Arifin Ab Aziz, 33, menganggap Khaleef Iman sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.

“Waktu mula dapat tahu keadaan Khaleef, memang saya sedih hingga menangis kerana mengenangkannya adalah anak sulung saya dan isteri.

“Tapi kini, saya sudah dapat terima keadaan Khaleef dan bersyukur kerana dia dalam keadaan sihat.

“Dalam kekurangan, Khaleef ada keistimewaannya iaitu boleh menghafal nombor dan mudah surah lazim malah teruja apabila diajak solat bersama,” katanya.

Baca Di Sini:

OKU Minta Edit Gambar Bagi Nampak Normal, UAI Tampil Bagi Sokongan. ‘Awak Dah Sempurna, Tak Perlu Edit Lagi.’

Kashoorga: Di mata manusia memang Khaleef ada kekurangan, namun dia miliki keunikan tersendiri yang Allah kurniakan.

Sumber: myMetro

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Comments

Leave a Reply