Soalan
Bolehkah saya menggunakan tanah di kaki jalan milik Majlis Kerajaan Tempatan yang terletak di belakang rumah saya (tanah di antara jalan raya dan belakang rumah saya anggaran keluasan dalam 4 kaki persegi) untuk bercucuk tanam?
Jika boleh, adakah hasil tanaman tersebut boleh saya makan?
Jawapan
Berkaitan hukum memakan hasil tanaman di tanah milik kerajaan tempatan, kami berpandangan bahawa hukumnya adalah syubhah. Hal ini kerana hukum syarak melarang mengambil hak milik seseorang menjadi harta peribadinya. Firman-Nya bermaksud:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil. kecuali dengan cara perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
[Surah al-Nisa’: 29]
عَنْ سَعِيدِ بْنِ زَيْدٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ: مَنْ أَخَذَ شِبْرًا مِنَ الأَرْضِ ظُلْمًا فَإِنَّهُ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
Maksudnya: “Daripada Said Bin Zaid dia telah berkata, aku telah mendengar Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan bebankan dengan mengalungkan tujuh bumi kepadanya.”
[HR al-Bukhari & Muslim 3024]
Tanah rizab milik kerajaan adalah tanah simpanan yang mempunyai perancangan jangka panjang dan kepentingan awam. Sudah pasti ia akan digunakan semula dan tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya.
Bagaimanapun, sekiranya tuan memohon kebenaran untuk mengusahakannya dan kerajaan membenarkan untuk digunakan maka bolehlah digunakan dan hukum mengambil hasil daripada tanaman yang ditanam di kawasan tersebut adalah halal.
Namun, layaklah bagi pemilik tanah iaitu kerajaan tempatan meletakkan syarat tertentu bagi menjaga hak masing-masing seperti tidak boleh membina binaan kekal serta risiko bakal ditanggung oleh pihak yang membangunkan tanah itu, sebagai contohnya.
Sumber: Mufti Pulau Pinang
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.