Galbusera merupakan jenama motosikal Itali yang diasaskan oleh Plinio Galbusera di Brescia, Itali.
Jenama ini beroperasi dari pertengahan tahun 1930-an hingga pertengahan tahun 1950-an.
Antara motosikal paling menonjol yang pernah dihasilkan oleh Galbusera adalah motosikal dua lejang V8 pada tahun 1938.
Selepas perang dunia, mereka menfokuskan pengeluaran motosikal Roda Tiga.
Selain itu terdapat juga motosikal yang menggunakan enjin buatan sendiri serta enjin Sachs dan Villiers berkapasiti 175cc hingga 500cc sehingga tahun 1955.
Sejarah Awal Moto Galbusera & Co.
Moto Galbusera & Co.yang kemudiannya dikenali sebagai Motocicli Plinio Galbusera, mula dikenali sebagai pengeluar motosikal di Itali yang berpangkalan di Brescia.
Pada mulanya, Plinio Galbusera membina motosikal dengan enjin berkapasiti antara 175cc hingga 500cc.
Mereka menggunakan enjin dari Sturmey Archer dan kebanyakannya Rudge Python, serta kotak gear daripada Burman atau Sturmey Archer.
Kerjasama dengan Adolfo Marama Toyo
Pada akhir tahun 1930-an, Galbusera bekerjasama dengan Adolfo Marama Toyo, seorang pelumba dan mekanik pakar yang berasal dari Trieste.
Marama Toyo, yang dilahirkan di Mesir, sering dikreditkan dalam sejarah motosikal sebagai individu yang memperkenalkan Itali kepada dunia speedway, seni lumba yang disaksikannya pada peringkat awal di New South Wales, Australia.
Penampilan di Pameran Milan 1938
Pada Pameran Milan 1938, dua mesin luar biasa dari Galbusera diperkenalkan: sebuah motosikal dua lejang V4 249cc dan sebuah V8 dua lejang supercharged berkapasiti 498cc.
Enjin V8 ini dibina menggunakan sepasang blok V4 250cc yang berputar berlawanan arah, dipasang di kedua-dua hujung kotak gear, mencetuskan sensasi dalam dunia motosikal ketika itu.
Rekaan V8 yang Fantastik
Terdapat cadangan bahawa motosikal berkapasiti 250cc tersebut mungkin hanya merupakan full-scale model tetapi V8 tersebut adalah nyata.
Sama ada ia benar-benar berfungsi adalah persoalan lain.
Mereka tidak berminat untuk mengejar kelajuan maksimum, tetapi lebih kepada kebolehpercayaan jenama, dan menjangkakan kelajuan hanya 150 km/j dari mesin tersebut.
Namun, sebelum Marama dan Galbusera dapat membangunkan mesin itu dengan lebih jauh, Mussolini telah membawa perang ke Itali.
Visi Plinio Galbusera dan V8 Supercharged
Pada tahun-tahun awal speedway, Plinio Galbusera merupakan satu-satunya pengeluar motosikal speedway di Itali.
Beliau dan Marama menjadi kawan baik, dan Marama mencadangkan idea untuk menghasilkan enjin V8, satu konsep yang sangat luar biasa sehingga firma yang lebih besar mungkin akan menganggapnya sebagai idea gila.
Idea yang datang daripada seorang lelaki yang walaupun tanpa sebarang ijazah kejuruteraan, namun beliau adalah seorang yang berbakat.
Selain menjadi seorang pelumba yang hebat, Marama juga seorang yang mahir dalam pelbagai bahasa (Perancis, Itali, Kroasia, Jerman, dan Arab) dan mempunyai kepakaran dalam teknologi enjin.
Dalam tempoh hanya setahun, kedua-dua lelaki ini berjaya mencipta jentera ini dan mempersembahkannya di Salone Internazionale del Ciclo e Motociclo (Pameran Milan) pada tahun 1938.
Malangnya, kilang Galbusera musnah akibat pengeboman semasa perang dunia dan enjin serta motosikal yang menempatkannya turut musnah.
Kembalinya Galbusera Selepas Perang
Apabila perang tamat pada tahun 1945, mereka menyambung semula perniagaan.
Mereka mula menggunakan enjin Sachs dalam rangka motosikal mereka, yang kemudiannya digantikan dengan enjin Villiers berkapasiti 125cc dan 175cc.
Malangnya, pada 30 Mei 1946, Marama Toyo meninggal dunia selepas perlumbaan di Ippodromo di Montebello (Montebello Hippodrome).
Tamatnya Era Galbusera
Pada tahun 1955, masalah kewangan telah menyebabkan penghujung produksi motosikal oleh jenama ini.
Walaupun begitu, sejarah Moto Galbusera tetap diingati sebagai salah satu pengeluar motosikal yang penuh dengan inovasi dan keberanian dalam mencabar norma-norma industri motosikal pada zamannya.
Kredit Artikel : cybermotorcycle
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.