Usai solat baru sedar ada beberapa rambut terkeluar dari celah telekung. Pasti ramai wanita yang pernah berada dalam situasi ini.
Mungkin ada yang beranggapan solat sah kerana ia bukan disengajakan tapi sebaiknya jangan bersangka-sangka atau membuat andaian sendiri. Sebenar dalam beberapa keadaan solat boleh batal, kita perlu mengulanginya.
Penjelasan tentang situasi rambut terkeluar dari telekung Ketika solat ini dijelaskan oleh Ustazah Asma’ Harun.
Aurat wanita dalam solat
Aurat bagi wanita dalam solat ialah keseluruhan tubuh badannya melainkan muka dan tapak tangan. Rambut wanita juga adalah aurat yang wajib ditutup ketika solat.
Dalam kitab Fiqh Manhaji, menutup aurat adalah syarat sah dalam solat. Jika ada aurat yang terdedah semasa solat maka WAJIB untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu menghiraukan atau membiarkan sahaja auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka SOLATNYA BATAL dan hendaklah ulang semula solat.
Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya.
Daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Imam al-Syirazi selepas menyebut hadis ini menukilkan, Maka jika terdedah suatu pun daripada jenis aurat, sedangkan dia mampu untuk menutupnya, maka tidak sahlah solat.”
Hukum bila tersedar ada rambut terkeluar
- SOLAT BATAL, TIDAK SAH DAN WAJIB DIULANG jika rambut itu terkeluar ketika dalam solat sebelum salam, begitu juga dalam situasi jika sudah terkeluar sebelum lagi dia memulakan solat.
- SAH SOLAT, TIDAK PERLU ULANG SEMULA SOLAT jika dia yakin rambut tersebut terkeluar selepas memberi salam.
Secara asas dan yang perlu kita fahami di dalam mazhab al-Syafie aurat itu keseluruhannya perlu ditutup semasa solat, dan jika terdedah, sama ada sedikit atau banyak, WAJIB baginya SEGERA menutupnya, jika tidak, maka SOLATNYA BATAL.
Bagaimana jika rambut yang terkeluar itu sedikit, adakah tetap batal?
Menurut pendapat Jumhur Ulama’ jika rambut yang terkeluar itu TERLALU SEDIKIT, TIDAK DISENGAJAKAN, SUKAR DILIHAT SECARA RAMBANG maka ia DIMAAFKAN dan TIDAK MEMBATALKAN SOLAT, apatahlagi jika sukar untuk dielak.
Ia berdasarkan dalil daripada Amr bin Salamah RA yang berkata:
وَكُنْتُ غُلَامًا حَافِظًا فَحَفِظْتُ مِنْ ذَلِكَ قُرْآنًا كَثِيرًا فَانْطَلَقَ أَبِي وَافِدًا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نَفَرٍ مِنْ قَوْمِهِ فَعَلَّمَهُمُ الصَّلَاةَ فَقَالَ يَؤُمُّكُمْ أَقْرَؤُكُمْ وَكُنْتُ أَقْرَأَهُمْ لِمَا كُنْتُ أَحْفَظُ فَقَدَّمُونِي فَكُنْتُ أَؤُمُّهُمْ وَعَلَيَّ بُرْدَةٌ لِي صَغِيرَةٌ صَفْرَاءُ فَكُنْتُ إِذَا سَجَدْتُ تَكَشَّفَتْ عَنِّي فَقَالَتْ امْرَأَةٌ مِنَ النِّسَاءِ وَارُوا عَنَّا عَوْرَةَ قَارِئِكُمْ فَاشْتَرَوْا لِي قَمِيصًا عُمَانِيًّا فَمَا فَرِحْتُ بِشَيْءٍ بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحِي بِهِ فَكُنْتُ أَؤُمُّهُمْ وَأَنَا ابْنُ سَبْعِ سِنِينَ أَوْ ثَمَانِ سِنِينَ
Maksudnya: “Aku adalah seorang pemuda yang sangat kuat hafalan dan aku telah menghafal banyak ayat-ayat al-Quran. Ayahku pernah datang menghadap Rasulullah ﷻ bersama beberapa orang sebagai utusan kaumnya, lalu baginda mengajarkan kepada mereka tentang solat. Baginda bersabda: “Yang berhak menjadi imam kalian adalah yang paling baik dalam membaca al-Quran di antara mereka.”
Oleh kerana aku sudah dapat menghafalnya, lalu mereka mengajukan aku (untuk menjadi imam). Maka akupun menjadi imam mereka dengan memakai kain yang kecil berwarna kuning, sehingga kalau aku sujud terbuka auratku (sedikit), lalu salah seorang wanita dari mereka berkata: “Tutuplah dari kami aurat qori kalian.” Lalu mereka membelikan untukku baju buatan Oman, sehingga tidak pernah saya bahagia seperti masuk Islam seperti bahagiaku dengannya. Saya menjadi imam mereka sedangkan usia saya baru tujuh atau delapan tahun,” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
Oleh itu disimpulkan bahawa;
- Aurat wanita dalam solat merangkumi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan, termasuk RAMBUT yang wajib ditutup. Menutup aurat adalah syarat sah solat, jika aurat terbuka semasa solat, WAJIB SEGERA DITUTUP, jika tidak, solat tersebut batal dan perlu diulang.
- Jika rambut terkeluar sebelum atau semasa solat sebelum salam, solatnya batal dan perlu diulang. Namun, jika yakin rambut yang terkeluar selepas memberi salam, solat tetap sah.
- Menurut mazhab Syafie, aurat yang terbuka, walaupun sedikit, perlu SEGERA ditutup untuk mengelakkan solat menjadi batal. Inilah pendapat yang lebih berhati-hati dan keluar daripada khilaf.
- PENDAPAT JUMHUR ULAMA’ PULA MENYATAKAN BAHAWA JIKA RAMBUT YANG TERKELUAR ITU TERLALU SEDIKIT, TIDAK DISENGAJAKAN, DAN SUKAR DILIHAT, MAKA IA DIMAAFKAN DAN TIDAK MEMBATALKAN SOLAT. Dalil dari hadis juga menunjukkan bahawa aurat yang terbuka sedikit tidak membatalkan solat, namun adalah lebih baik untuk SEGERA menutupnya.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.