Baru sahaja berjaya melepasi peringkat pertama Asasi Pentadbiran Perniagaan, KLIEC, London Board Of Examination dan University of Gloucestershire United Kingdom, penyanyi dan pelakon, Dafi kini muncul dengan buah tangan terbaharu pula.
Bulan Ogos ini akan menjadi sebuah pemulaan yang sangat dinantikan Dafi selepas lama memerhati waktu yang tepat untuk keluar daripada ‘pertapaan’.
Mempertaruhkan single terbaru berjudul Hellooo!, anak lelaki kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-9, Ismail Sabri Yaakob ini memilih frasa sapaan sebagai mukadimah untuk menyapa satu sama lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Dafi Ismail Sabri Syukur Lepasi Peringkat Pertama Asasi, Hasrat Mahu Sambung Master MBA
Hellooo! mempunyai signifikasi terhadap karya garapan komposer Shazee Ishak dan lirik pula, Altimet apatah lagi lagu ini sudah beberapa tahun dalam simpanan.
“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan single baru, sehinggakan ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.
“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.
“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat dalam diri kerana semuanya sudah disiapkan cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dahulu,” katanya.
Jejaka berusia 36 tahun ini turut menjelaskan hala tuju muziknya kini sudah berubah apabila mempamerkan sisi kematangan terutama dalam menyebarkan aura positif.
“Semakin dewasa dalam bermuzik, saya ingin menyajikan kelainan sewaktu menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan juga aura positif.
“Saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.
“Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri. Karya yang mereka hasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo!, saya sudah jatuh cinta,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut mengenai single terbaharunya itu, Dafi menyifatkan Hellooo! menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.
Pernah mencipta nama menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelima, anak kedua daripada empat bersaudara itu tidak melihat percubaannya dalam bidang seni sebagai pematah semangat sebaliknya meneruskan langkah untuk berjuang.
Terdahulu, pelakon filem Malbatt: Misi Bakara itu menerusi perkongsian di Instagramnya turut memaklumkan selepas ini akan meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pula.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.