Rumah cantik, ramai penghuni namun tiada seorang pun yang membaca al-Quran dan berzikir di dalamnya. Sayang sungguh…
Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menghidupkan rumah dengan bacaan al-Quran atau zikir kepada-Nya, kerana rumah yang sunyi daripada itu dianggap seperti kubur.
Perkara ini seperti disabdakan Baginda SAW yang bermaksud: “Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah,” -Hadis Riwayat Muslim.
Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi perkongsian beliau berkata, ulama Sheikh al-Mubarakfuri menjelaskan, Rasulullah SAW memberi maksud bahawa rumah seperti kubur adalah rumah-rumah yang sunyi dari zikrullah dan bacaan al-Quran.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, perkara itu pernah disebutkan Rasulullah SAW memberi perumpamaan bahawa orang yang berzikir itu umpama jiwa yang hidup, manakala mereka yang tidak berzikir itu umpama orang yang telah mati.
“Sabda Rasulullah:“Perumpamaan orang yang mengingati Allah dengan orang yang tidak mengingatiNya, seumpama orang yang hidup dengan orang yang mati,” katanya. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Katanya, al-Imam Ibn Hajar pula memberi pandangan bahawa rumah seorang muslim bukan sekadar tempat untuk tidur, tetapi dihidupkan dengan mengingati ALLAH SWT.
“Beliau menjelaskan dalam kitabnya, Fath al-Bari, yang bermaksud:” Janganlah jadikan rumah kamu hanyalah tempat untuk tidur sahaja. Tiada tempat di dalamya untuk zikir dan bacaan al-Quran. Kerana sesungguhnya tidur itu adalah saudara kematian. Dan orang yang mati tidak membaca al-Quran dan solat berdoa,” katanya.
Justeru, Ahmad Sanusi sekali lagi mengingatkan umat Islam supaya menghidupkan rumah dengan bacaan zikir dan al-Quran.
“Rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran bukan sahaja disukai ALLAH malah dibenci oleh syaitan sehingga mereka lari daripadanya.
“Semoga ALLAH membimbing kita,” katanya.
Sumber: Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi
Sertai Malaysia #QuranHour 2024, 30 Ogos Ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.