MANUSIA dan percakapan berpisah tiada. Setiap saat, ada sahaja perkataan meluncur keluar dari bibir sama ada ketika bertegur sapa, membeli barang, bekerja dan sebagainya.
Pendek kata, kita sentiasa berkomunikasi dalam apa jua urusan kehidupan.
Jika baik bicaranya, maka begitu jugalah hasilnya. Andai sebaliknya, tidak hairanlah peribahasa ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’ dan ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ acap kali dimainkan.
Malangnya dalam era digitalisasi kini, cabaran menjaga tutur kata menjadi semakin sukar lantaran platform komunikasi yang tidak terbatas.
Bukan sekadar bercakap dengan mulut, ada yang ‘berbicara’ dengan jari sama ada menerusi telefon pintar, laptop, komputer dan sebagainya. Jika tidak ditangani, ketandusan sifat itu boleh menjejaskan perpaduan negara.
Itu antara inti pati penting nilai-nilai murni yang bakal diperincikan dalam program Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya jam 10 pagi, bertemakan ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’.
Mengapa Islam begitu mementingkan umatnya memelihara lisan mereka? Apakah impaknya jika perkara itu tidak dijaga?
Kebahagiaan dan kecelakaan
Ketika dilontarkan pertanyaan itu, pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, lisan sebenarnya membawa seseorang sama ada kepada kebahagiaan mahupun kecelakaan.
Masakan tidak, katanya, mereka yang tidak menjaga tutur kata akan membuatkan orang lain sakit hati, memicu ketegangan, merenggangkan hubungan dan menimbulkan perkara tidak baik di dunia.
“Dari sudut akhiratnya pula, dosa yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka adalah kerana lisan sebagaimana disebutkan dalam hadis masyhur riwayat Imam At-Tirmizi.
“Menurut Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah, gerakan anggota tubuh yang paling ringan adalah gerakan lisan. Namun, itu adalah yang paling membahayakan seorang hamba,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Disebabkan itu penceramah tersebut mengingatkan agar kita tidak memandang remeh dalam menuturkan bicara kerana di sisi ALLAH, ia merupakan suatu perkara yang besar.
Sebaliknya beliau mengingatkan agar kita berbicara baik dalam setiap pertuturan ataupun diam daripada berkata kotor, keji, menimbulkan fitnah, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya yang ditegah dalam Islam.
Betapa pentingnya melakukan sedemikian kerana Ibnu Jauzi Rahimahullah dalam kitabnya, Bahrud Dumu’ menyatakan: “Barang siapa yang menjaga lisannya kerana ALLAH di dunia, ALLAH akan memudahkan lisannya mengucapkan syahadah ketika dia meninggal dan bertemu dengannya.”
“Sebaliknya, barang siapa yang tidak menjaga lisannya dari membicarakan kehormatan kaum Muslimin dan mencari-cari aib mereka, ALLAH akan membuatkannya sulit mengucapkan syahadah ketika meninggal dunia.”
Menguatkan lagi hujahnya, Ustaz Mohamad Hadi kemudian menukilkan pandangan Abdullah bin Abbas RA.
“Abdullah menyatakan, ‘Semoga ALLAH merahmati seseorang yang berbicara, lalu ia mendapatkan kebaikan. Atau diam dari ucapan buruk sehingga ia selamat’.
“Ini bermakna jika hendak selamat, hendaklah bercakap yang baik ataupun diam. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap Muslim. Fikir dahulu sebelum bercakap,” ungkapnya.
Ladang pahala
Menyambung hujah, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, melafazkan untaian kata yang baik ibarat satu sedekah dan berpahala buat kita.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah api neraka walaupun hanya bersedekah setengah biji kurma. Barang siapa yang tak mendapatkannya, maka ucapkanlah perkataan yang baik.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
“Benar, berkata baik itu menjadi ladang pahala buat kita apatah lagi jika menggunakan lisan kurniaan ALLAH ini untuk berzikir. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa orang yang lisannya sentiasa basah dengan zikrullah, kelak mereka akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan tertawa.
“Ini kerana orang yang banyak berbuat demikian, dia tidak akan mengumpat, berkata tidak baik dan sentiasa mengingati ALLAH SWT, di samping mengucapkan kalimah-kalimah baik yang memberi pahala kepadanya.
“Dalam al-Quran, perkataan terbaik adalah menyeru manusia kepada-NYA iaitu berdakwah, menyeru kepada kebaikan, mengerjakan amalan soleh, mencegah manusia daripada perbuatan mungkar yang semuanya membawa kita ke syurga,” hurainya panjang lebar.
Kepada satu soalan, agamawan itu menjawab, baik lisan mahupun tulisan, ia perlu dizahirkan dengan baik kerana kedua-duanya mempunyai hukum yang sama.
“Bahkan, ia juga akan disoal oleh ALLAH SWT pada hari akhirat kelak.
“Maknanya jari juga perlu berhati-hati dalam menaip perkataan, mesej mahupun menyebarkan maklumat. Ada segelintir orang memanjangkan apa-apa tulisan tidak elok atau perkara tidak betul hasil nukilan orang.
“Kemudian penerimanya pula memanjangkannya kepada orang lain. Elakkan berbuat demikian jika tidak pasti kesahihannya kerana perbuatan itu mengundang dosa jariah iaitu dosa bertingkat-tingkat,” tegasnya sambil mengingatkan setiap perkara kita lakukan akan dicatat oleh malaikat dan dihisab kelak.
ANEKDOT
Adab berkomunikasi menurut Islam
– Hassan Al-Basri Rahimahullah menyatakan: “Apabila kamu sedang duduk berbicara dengan orang lain, hendaklah kamu bersemangat mendengar melebihi semangat kamu berbicara. Belajarlah menjadi pendengar yang baik sebagaimana kamu belajar menjadi pembicara yang baik. Janganlah kamu memotong pembicaraan orang lain.”
– Usah membelek telefon ketika bersembang dengan orang lain.
– Ar-Rabi’ bin Khutsaim Rahimahullah mengatakan: “Kurangkanlah berbicara kecuali dalam sembilan perkara iaitu bertasbih (Subhanallah), bertakbir (Allahuakbar), bertahlil (Lailaha illallah), bertahmid (Alhamdulillah), memohon kebaikan, berlindung daripada keburukan, amar makruf, nahi mungkar dan membaca al-Quran.”
– Apabila dalam keadaan marah, kawallah diri dan elakkan daripada menuturkan perkataan tidak baik.
– Begitu juga halnya apabila berselisih faham antara suami dan isteri, jiran tetangga, sahabat handai dan sebagainya. Jangan sesekali mengeluarkan perkataan tidak elok, memaki hamun apalagi menggunakan laras bahasa yang kesat dan sebagainya. Kelak kita akan menyesal dan perkara itu akan sentiasa menjadi ingatan kepada orang lain.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.