Setiap daripada kita pasti ada doa dan hajat yang ingin sangat dimakbulkan. Sesungguhnya Allah SWT itu Pemurah dan Dia mengurniakan waktu-waktu mustajab untuk kita berdoa sebagai salah satu usaha untuk hamba-Nya.
Malah waktu-waktu mustajab untuk berdoa ini ada pada setiap hari. Dikongsi oleh Ustaz Wadi Annuar dalam satu hantar di Facebook beliau berikut adalah waktu-waktunya yang semuanya berdasarkan hadis sahih.
Berdoalah pada waktu-waktu ini, kerana menurut hadith yang sahih / hasan, waktu-waktu ini dimustajabkan doa padanya.
1. Selepas solat fardu
Abu Umamah r.a meriwayatkan: “Ada yang bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Wahai Rasulullah, doa manakah yang paling didengari (oleh Allah)?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Di pertengahan malam terakhir dan setelah solat fardu.’”
(Hasan, H.R. al-Tirmidhi)
2. Diantara azan dan iqamah
Sabda Nabi ﷺ:
”Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”
(Sahih, H.R. al-Tirmidhi)
3. Ketika sujud
Sabda Nabi ﷺ:
”Keadaan paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang bersujud, maka perbanyaklah berdoa.”
(Sahih, H.R. Muslim)
4. Ketika hujan
Sabda Nabi ﷺ:
”Dua perkara yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan dan doa ketika hujan.”
(Sahih, H.R. Abu Daud)
5. Satu waktu pada hari Jumaat
Sabda Nabi ﷺ:
”Sesungguhnya terdapat suatu saat (pada hari Jumaat) yang apabila seorang hamba Muslim sedang berdiri melaksanakan solat dan memohon sesuatu kepada Allah Taala, nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya.”
(Sahih, H.R. al-Bukhari)
6. Sepertiga malam terakhir
Sabda Nabi ﷺ:
”Ketika 1/3 malam terakhir Allah ﷻ menyeru: “Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan memperkenankan doanya. Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku akan memberinya. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, Aku akan mengampuninya.”
(Sahih, H.R. al-Bukhari)
7. Ketika berpuasa
Sabda Nabi ﷺ:
”Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.”
(Hasan, H.R. Ibnu Majah)
8. Di antara Zuhur dan Asar pada hari Rabu
Kata Jabir r.a:
”Sesungguhnya Nabi Muhammad ﷺ berdoa di Masjid Al-Fatah selama tiga hari: pada hari Isnin, Selasa, dan Rabu. Doa baginda diperkenankan pada hari Rabu antara dua solat (zuhur dan asar), dan kegembiraan terlihat di wajahnya. Jabir berkata: ‘Maka tidaklah suatu perkara penting dan berat menimpa diriku, kecuali aku memilih waktu tersebut untuk berdoa, dan aku pun mengetahui (tanda) pengabulan doa itu.”
(Hasan/daif, H.R. Ahmad)
9. Ketika berbuka puasa
Sabda Nabi ﷺ:
”Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, pada saat berbuka terdapat doa yang tidak akan ditolak.”
(Hasan, H.R. Ibnu Majah)
10. Ketika minum air zamzam
Sabda Nabi ﷺ:
”Air zamzam itu tergantung kepada niat orang yang meminumnya.”
(Hasan, H.R. Ahmad)
11. Ketika azan
Sabda Nabi ﷺ:
”Dua perkara yang tidak akan ditolak: doa ketika azan dan doa ketika hujan.”
(Sahih, H.R. Abu Daud)
12. Ketika hari Arafah
Sabda Nabi ﷺ:
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”
(Hasan, H.R. al-Tirmidhi)
Semoga bermanfaat
Sumber: Ustaz Wadi Annuar
Sertai Malaysia #QuranHour 2024, 30 Ogos Ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.