Tujuh tahun membina empayar perniagaan kosmetik kini Afzalizah Nizam Azizan mampu tersenyum bangga apabila impian untuk bantu keluarga dan menjadi wanita berjaya dimakbulkan Allah. Meskipun memiliki segala kesenangan hari ini namun kejayaan itu tidak datang dalam tempoh yang singkat tanpa usaha gigih.
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, Afzalizah atau mesra disapa Liza tanpa berselindung mengakui dia dahulu seorang suri rumah yang tiada pendapatan tapi nasib hidupnya berubah sejak mengasaskan Cubre Mi.
Bermodalkan RM10,000 hasil wang pencen arwah bapa sebagai pesara polis yang dipinjam daripada ibu tersayang menjadi titik permulaan empayar kosmetik Cubre Mi.
Menyedari nilai wang berkenaan cukup bermakna bagi ibunya yang hilang tempat bergantung, anak sulung daripada empat beradik ini nekad mengemudi perniagaan dengan sepenuh hati.
“Sebelum mengusahakan Cubre Mi saya tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Tapi demi mahu membantu suami dan jana duit sendiri, saya berusaha mempelajari cara pengurusan perniagaan dan kewangan.”
Tambahnya lagi, “Untuk Cubre Mi dikenali dalam industri, saya boleh katakan ia tak terlalu cepat dan juga tak terlalu lambat. Namun dalam masa setahun kami berjaya raih pulangan tujuh angka.”
View this post on Instagram
Berkat kerja keras dan doa dari ibu tersayang, Afzalizah dikurniakan rezeki melimpah ruah dan ‘memanjakan’ ratu hatinya itu dengan bermacam-macam pemberian. Misalnya sempena ulang tahun kelahiran ke-57 ibu kesayangan yang lalu, Afzalizah menghadiahkan sejumlah wang.
“Dulu aku selalu berangan nak bagi ibu macam-macam. Nak beri ibu rasa itu dan ini. Sampai satu tahap Allah bagi aku rasa sampai aku dah tak tahu nak bagi ibu apa birthday tahun ini.
Satu saya yakin dan pegang dari dulu, takkan berkurang harta dan rezeki bilamana bahagiakan keramat hidup.
And satu aku sangat berterima kasih dalam hidup, punya suami yang tak pernah berkira dengan siapa dan berapa aku nak beri.
Tak terbalas dengan wang ringgit mahupun harta setiap titik peluh yang ibu berikan. Tak terbalas segala kebaikan yang ibu sajikan. Tak terbalas kasih sayang yang ibu curahkan.”
Afzalizah merupakan isteri kepada Rahman Anong ni dikurniakan tiga orang cahaya mata. Moga kejayaan wanita cekal dan bersemangat tinggi ubah nasib keluarga ini menjadi inspirasi buat golongan wanita agar terus kuat mengejar impian hidup.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.