Gugurnya air mata seorang bapa. Al Sultan Abdullah sebak puterinya bakal berkahwin esok

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak dapat menahan sebak ketika bertitah mengenai pernikahan puteri baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan berlangsung pada minggu ini.

Al-Sultan Abdullah dilihat mengesat air mata dan tidak dapat meneruskan titah baginda ketika mendoakan perkahwinan puterinya bersama pasangan Fd Idzham Fd Iskandar dipermudahkan Allah SWT dan berjalan lancar, sebelum Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berada di sebelah baginda menyambung titah tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KESULTANAN_PAHANG (@kesultanan.pahang)

“Semoga majlis yang diadakan ini akan berjalan lancar penuh keberkatan dan diredai Allah serta ikatan perkahwinan yang bakal terbina akan kekal (baginda mengesat air mata dan meminta Tengku Hassanal menyambung titah) …baca ini.

“…akan kekal hingga ke jannah, insya-Allah. Di samping itu juga, marilah bersama-sama kita berdoa agar negeri Pahang Darul Makmur serta rakyatnya akan terus dipelihara dan dilindungi Allah SWT,” titah yang dibacakan Tengku Mahkota Pahang.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Al-Falah Perkampungan Sungai Isap 2 dan Doa Selamat Bersempena Istiadat Perkahwinan Diraja di sini hari ini.

 

Perkahwinan diraja, Tengku Afzan bersama pasangannya, FD Idzham Bin FD Iskandar akan berlangsung pada 22 hingga 25 Ogos ini dan akan dipentaskan secara langsung bertempat di Tasek Kotasas dan Padang MBK 1, Kuantan.

Nadia Rushtam

Pasar Sera Kuantan telah dipilih sebagai rakan pasar rasmi untuk majlis perkahwinan diraja itu. Menurut Pengarah Pemasaran Pasar Sera, Nadia Rushtam, pihaknya amat berbesar hati kerana terpilih untuk terlibat di Majlis Keraian Rakyat bersempena perkahwinan diraja.

“Sudah lama Pahang tidak mempunyai perkahwinan diraja.  Ini merupakan hasrat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.  Jadi pihak MBK & Kospek bersama sama menjayakan dan menjemput Pasar Sera untuk turut sama memeriahkan Majlis Keraian Rakyat ni di Padang MBK 1, Kuantan,”ujar Nadia.

Untuk info, Pasar Sera merupakan satu platform jualan kreatif pelbagai kategori, yang menawarkan pelbagai tema mengikut bulan dan memberi pengalaman beli belah yang berbeza khususnya di Kuantan. Pasar Sera menjadi viral apabila ia menerima kunjungan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah bersama keluarga diraja baru-baru ini.

Tengku Ampuan Pahang Kongsi Rasa Teruja

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum ini pernah berkongsi perasaan teruja baginda tentang persiapan perkahwinan diraja Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah ketika baginda berangkat ke Majlis Penutup Islamic Fashion Festival (IFF) 2024 dan Perasmian Pameran Solo Syed Thajudeen, di Kompleks Muzium Diraja Sultan Ahmad Shah, Kuantan baru-baru ini.

 

Baginda turut menjemput rakyat Pahang untuk sama-sama meraikannya menerusi siaran lintas langsung. Permaisuri kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga memaklumkan pelbagai aktiviti diadakan semasa majlis berkenaan seperti konsert dan persembahan.

 

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan umat Islam khususnya di negeri itu agar sentiasa memperdalam ilmu agama yang sahih, selari dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan merujuk kepada sumber yang tepat sekiranya terdapat keraguan agama bagi mengelak terjebak dengan ajaran sesat.

“Bukan sekadar itu, masjid perlu memainkan peranan sebagai medium pencegahan dan penyelesaian konflik, bukan pentas yang mencetuskan konfik. Juga jadikanlah masjid ini sebagai ejen kesejahteraan dan kesedaran kesihatan yang berpanjangan,” titah baginda.

Sumber: BERNAMA

Comments

Leave a Reply