“Mandikan jenazah ibu bapa, khidmat terakhir seorang anak kepada orang tua mereka.” Disebabkan kata-kata ini ada tukang mandi jenazah yang mengajak anak perempuan memandikan jenazah ayah atau anak lelaki memandikan jenazah ibu.
Si anak, yang dengan emosi nak memberi khidmat terakhir, ditambah dengan ketiadaan ilmu, akan mudah tenggelam dengan emosi, apatah lagi dikatakan ia adalah khidmat terakhir kepada ibu bapa sebelum ibu bapa dikebumikan.
“Hakikatnya perkara tidak ada asal dalam agama. Ia tidak termasuk khidmat kepada ibu bapa. Hatta jika ibu bapa berwasiat begitu pun ia tidak boleh ditunaikan.”
Demikian menurut pendakwah bebas dan juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ustaz Masri Ramli.
Dalam huraian beliau memetik perkongsian dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang mengatakan secara asasnya, apabila seseorang lelaki itu meninggal dunia maka dia akan dimandikan oleh ahli keluarga terdekat dari kalangan lelaki juga mengikut keutamaannya.
Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi:
فان كان الميت رجلا لا زوجة له فأولى الناس بغسله الْأَبُ ثُمَّ الْجَدُّ ثُمَّ الِابْنُ ثُمَّ ابْنُ الِابْنِ ثُمَّ الْأَخُ ثُمَّ ابْنُ الْأَخِ ثُمَّ العم ثم ابن العم لانهم احق بالصلاة عليه فكانوا احق بغسله
Maksudnya: Sekiranya yang meninggal dunia itu adalah seorang lelaki yang tidak mempunyai isteri maka orang yang paling utama memandikan jenazahnya adalah bapanya, kemudian datuknya, kemudian anak lelakinya, kemudian cucu lelakinya, kemudian saudara lelakinya, kemudian anak saudaranya yang lelaki, kemudian bapa saudara, kemudian sepupu lelaki. Ini kerana mereka merupakan golongan yang paling berhak untuk menunaikan solat jenazah ke atasnya maka demikian mereka juga paling berhak untuk memandikan jenazahnya. Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/129).
Jenazah perempuan dimandikan orang perempuan
Berkaitan dengan jenazah orang perempuan pula kami nukilkan kenyataan dari Imam al-Shirazi Rahimahullah yang menyebut:
فان ماتت امرأة ولم يكن لها زوج غسلها النساء وأولاهن ذات رحم محرم ثم ذات رحم غير محرم ثم الاجنبية فان لم يكن نساء غسلها الاقرب فالاقرب من الرجال
Maksudnya: Sekiranya seorang perempuan itu meninggal dunia dan dia tidak mempunyai suami maka yang memandikan jenazahnya adalah orang-orang perempuan. Yang paling utamanya adalah golongan wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan dari kalangan mahram kemudian yang wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan selain dari kalangan mahram, kemudian wanita ajnabiyyah (bukan keluarga). Sekiranya tidak ada golongan perempuan, maka jenazah wanita itu dimandikan oleh kaum kerabat yang paling hampir dari kalangan orang lelaki.
Rujuk Al-Muhazzab Fi Al-Fiqh al-Syafi’e, Al-Shirazi (1/238).
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas kenyataan Al-Shirazi di atas memperincikan lagi perbahasan tersebut dengan katanya:
إذَا مَاتَتْ امْرَأَةٌ لَيْسَ لَهَا زَوْجٌ غَسَّلَهَا النِّسَاءُ ذَوَاتُ الْأَرْحَامِ الْمَحَارِمِ كَالْأُمِّ وَالْبِنْتِ وَبِنْتِ الِابْنِ وَبِنْتِ الْبِنْتِ وَالْأُخْتِ وَالْعَمَّةِ وَالْخَالَةِ
Maksudnya: Apabila seorang perempuan itu meninggal dunia dan dia tidak mempunyai suami maka dia dimandikan oleh golongan perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dari kalangan mahram seperti ibu, anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dari sebelah bapa serta ibu saudara dari sebelah ibu.
Perlu diketahui prinsip asal dalam pemandian jenazah ini adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki dan jenazah perempuan dimandikan oleh orang perempuan.
Sekiranya si mati adalah lelaki maka yang lebih utama untuk memandikannya adalah mereka yang paling utama menunaikan solat ke atas jenazahnya dan juga isterinya. Namun jika dia tidak mempunyai isteri maka individu yang utama memandikan jenazahnya adalah sebagaimana turutan yang telah disebutkan oleh Imam Al-Nawawi di atas.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa sekiranya anak lelaki memandikan jenazah bapanya maka ini adalah dibolehkan. Demikian juga dibolehkan untuk anak perempuan memandikan jenazah ibunya.
Adapun anak lelaki memandikan jenazah ibunya dan anak perempuan memandikan jenazah bapanya, hal ini hanyalah dibolehkan apabila tidak terdapatnya turutan-turutan awal golongan yang diberi keutamaan dari kalangan orang-orang lelaki dan juga perempuan.
Dalam situasi ini, tatacaranya adalah dengan memandikan jenazah dari sebalik pakaian yang menutup jenazah dan mengelap badan jenazah dengan menggunakan perca kain dan bukannya dengan tangan sendiri.
Sekiranya golongan-golongan yang utama memandikan jenazah itu ada, maka tidak boleh untuk anak perempuan memandikan jenazah bapa dan tidak boleh anak lelaki memandikan jenazah ibunya.
Sertai Malaysia #QuranHour 2024, 30 Ogos Ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.