Perkahwinan Lebih Sedekad, WAWA ZAINAL Mahu Jalani Hidup Lebih Tenang Bersama Suami

Pemilik nama penuh, Nur Hawa Zainal Abidin atau nama pentasnya Wawa Zainal merupakan antara pelakon dan usahawanita yang berjaya melakar nama di persada seni mahupun arena perniagaan di Malaysia.

Malah, sejak meyulam cinta bersama suami tercinta, aktor Aeril Zafrel dari 11 tahun yang lalu, rezeki bagi pasangan selebriti dua sejoli ini dilihat semakin melimpah ruah dengan kehadiran empat orang cahaya mata yang menyerikan lagi mahligai cinta yang terbina.

 

Menurut Wawa, dia amat bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar seperti Aeril. Sehinggakan Wawa sendiri terinspirasi dengan sikap Aeril yang sentiasa bertolak ansur jika berlaku perselisihan faham.

Dugaan Dan Pengalaman Ajar Kami Erti Hidup

Wawa dan Aeril juga dilihat semakin bahagia, meskipun di awal perkahwinan mereka terpaksa menempuh pelbagai ujian yang getir, pasangan ini membuktikan bahawa mereka mampu menanganinya bersama.

 

“Walau banyak dugaan, pengalaman mengajar kami erti hidup. Sekarang adalah fasa sedekad untuk perkahwinan kami.

“Bukan lagi masa untuk bergaduh, merajuk apatah lagi cemburu. Masing-masing sudah matang dan kami mahu kehidupan yang tenang.

 

“Fokus utama kami, membina empayar perniagaan. Sekarang umur saya 32 tahun manakala Aeril 35 tahun.

“Impian saya nak pencen sebelum umur 40 tahun. Kalau diizinkanNya, lepas umur 40 tahun saya nak travel ke destinasi impian.

“Sementara masih ada kudrat untuk cari rezeki, kami akan terus kembangkan perniagaan. Ini juga demi kesenangan anak-anak kerana niat kami berniaga untuk jangka masa panjang.”

Menurut Wawa, kalau dulu mereka kerap ‘mencuri masa’ anak-anak degan kesibukan kerja dalam perniagaan. Namun kini Allah SWT mengembalikan masa yang ‘hilang’ itu.

“Apabila ada masa yang fleksibel kami dapat meluangkan masa yang banyak bersama anak-anak. Sebelum ini kami terlalu sibuk dan tiada masa untuk anak-anak.

 

 

“Sehinggakan saya rasa sangat berdosa apabila sering ‘mencuri masa’ anak-anak dengan kerja-kerja kami. Waktu balik kerja mereka sudah tidur, kalau ada masa pun sekejap sahaja.

“Sekarang ini kami bersyukur kerana dapat bersama anak-anak pada bila-bila masa terutama pada hujung minggu. Saya lebih suka duduk di rumah sambil layan anak-anak.”

Aeril Didik Anak Dalam Ketegasan Tapi Penuh Kelembutan

 

Kongsi Wawa, cara didikannya dan Aeril sedikit berbeza. Dia agak tegas dengan anak-anak manakala Aeril seorang yang tegas dalam kelembutan serta tidak pernah berkasar atau marah dengan anak-anak.

“Aeril mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang, lembut serta gemar bergurau dan berjenaka.

“Seperti mana yang dikongsikan oleh Aeril di laman sosial itulah realitinya, bukan dibuat-buat.”

 

Secara tidak langsung sikap Aaeril itu telah memberi contoh dan inspirasi kepada Wawa dalam mendidik anak-anak.

“Apa yang saya belajar adalah bagaimana untuk menjadi seorang ibu yang penyabar dalam melayan karenah anak-anak.

“Dengan masa yang fleksibel kini dapatlah saya meluangkan masa dengan anak-anak termasuklah menyelami jiwa dan perasaan kecil mereka.

“Harapan kami semoga anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang dan selagi termampu kami akan sentiasa memberikan yang terbaik buat mereka, Insha-Allah.

“Untuk anak-anak, selain meninggalkan legasi perniagaan kami juga sudah membuat extra care dengan menyediakan pelan insuran masing-masing termasuk simpanan masa depan,” kongsi Wawa.

Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

 

Kredit Foto: Instagram Wawa Zainal

Comments

Leave a Reply