5 Sebab Mengapa Drama Adaptasi ‘Dari Mata Turun Ke Hati’ Tidak Kalah Dengan Versi Original Dari Jepun

Berita baik untuk semua peminat drama bersiri Melayu & Jepun di Malaysia!

Salah satu buah tangan terbaru yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah drama bersiri Dari Mata Turun Ke Hati (DMTKH) lakonan Hero Remaja 2021, Mierul Aiman dan naib juara Dewi Remaja 2023, Arabella Ellen.

Diadaptasi daripada manga popular Jepun ‘Love’s In Sight’ nukilan Yuko Matsuda dan pernah diterbitkan oleh Nippon TV, DMTKH telahpun menerima pelbagai respon menarik biarpun ia baru sahaja ditayangkan sejak 12 Ogos lalu.

Ia mengisahkan kehidupun Jai Jerung (Mierul), seorang remaja nakal yang jatu cinta dengan seorang gadis bernama Iris Sofea (Arabella). Disebabkan isu penglihatan, Iris terpaksa menggunakan tongkat putih dan mereka berdua bertemu di atas blok Braille yang sedang digunakan Iris sewaktu berjalan.

Selepas sahaja kejadian itu, mereka menjadi amat rapat dan akhirnya saling jatuh cinta. Disebabkan perasaan sayang yang ada dalam hati, Jai cuba melakukan segalanya untuk menyenangkan Iris dalam kehidupan seharian namun sebaliknya, ia lebih merumitkan lagi hubungan mereka. DMTKH seterusnya akan membawa penonton mengekori rapat kisah mereka sama ada mereka akan terus kuat bersama atau lebih rela mengambil haluan masing-masing.

Nah! REMAJA senaraikan lima sebab mengapa kami rasakan drama bergenre romantik komedi ini tidak kalah dengan versi original dari Jepun.

 

BARISAN PELAKON YANG LEBIH ‘FRESH’

Selain Mierul Aiman dan Arabella Ellen, DMTKH turut membariskan ramai lagi pelapis baharu yang juga merupakan wajah-wajah dari pencarian Hero Remaja seperti Evertts Gomes (Farhan), Afiq Hamidon (Dayat) dan Azri Safix (Haikal). Selain mereka, ia juga dibintangi oleh Qistina Khaled (Aira Sofea) dan Darien Aeldra (Jaha).

Sewaktu ditemui REMAJA di acara sidang media DMTKH, Mierul berkata bahawa kesemua rakan-rakan gandingannya itu cukup teruja untuk membintangi drama bersiri ini dengan semangat jitu untuk belajar. Ia secara tidak langsung turut membantu dirinya dalam menghidupkan watak sebagai Jai Jerung.

Mierul Aiman sebagai Jai Jerung.

 

JENIS PENYAKIT TERHAD PENGLIHATAN

Watak Iris lakonan Arabella menceritakan mengenai seorang gadis yang berdepan masalah penglihatan yang dikenali sebagai Amblyopia di mana dia hanya dapat melihat objek yang terletak amat dekat dengan matanya.

Di sini, penonton dapat menghayati bahawa bukan semua insan yang mempunyai masalah penglihatan itu adalah buta sepenuhnya. Sebaliknya, jalan cerita Iris mengajar penonton mengenai kepayahan seseorang yang masih mampu melihat dalam skop yang amat terhad.

Arabella Ellen sebagai Iris Sofea.

 

HUBUNGAN BAIK ANTARA HERO HEROIN

Kongsi Mierul dan Arabella, mereka tidak mengambil tempoh masa yang panjang untuk berjaya mencungkil chemistry yang wujud di antara mereka sebagai rakan gandingan.

Percaya atau tidak, ketika kali pertama mereka berpeluang untuk saling mengenali dan bertegur sapa untuk kali pertama, Mierul berkata mereka berdua hanya memerlukan lebih kurang 3 saat sahaja untuk mencari keserasian demi menjayakan watak masing-masing. Amboi! Hehe..

Bukan setakat itu, Mierul dan Arabella juga sudah bersiap sedia sekiranya impak lakonan mereka berdua akan membuatkan peminat dan penonton sejagat berharap agar mereka membawa rasa cinta yang wujud antara Jai Jerung dan Iris ke dunia realiti. Apapun, mereka berharap agar gandingan kali ini mampu membuatkan para penonton terhibur dengan jalan cerita adaptasi yang bersalut ‘rasa dan gaya’ Malaysia.

 

JEPUN VS MALAYSIA

Tambah Mierul lagi, antara perbezaan utama kedua-dua versi drama ini adalah kelainan budaya ‘Mat Motor’ di Jepun dan Malaysia.

Sebelum memulakan penggambaran, Mierul merujuk kepada karakter komik under 18 iaitu X bagi ‘menghidupkan’ watak Jai Jerung. Pelakon yang berasal dari Putrajaya itu juga banyak mempelajari dialek percakapan kelompok anak muda jalanan di sekitar ibu kota Malaysia agar karakternya tampil lebih realistik dan mudah difahami.

Dalam pada itu, Arabella pula merasakan karakter Iris direalisasikan dengan lancar apabila dia mendapati karakter itu mempunyai perwatakan yang hampir sama dengan dirinya; selalu bersemangat, berkeperibadian positif dan comel! 

 

AUDIO ISTIMEWA UNTUK PENONTON TERHAD PENGLIHATAN

Perkara ini mungkin tidak asing di negara-negara maju seperti di Jepun sendiri. Namun istimewa di Malaysia, teknologi ‘Keterangan Audio’ yang diperkenalkan khas untuk drama DMTKH ini adalah sesuatu yang baharu di Malaysia.

Ciri audio istimewa yang membantu penonton yang terhad penglihatan ini membolehkan mereka memilih keterangan audio dalam Bahasa Melayu. Apa yang perlu mereka lakukan adalah menekan fungsi ‘Multiple’ di tetapan ‘Audio’ pada TV atau menerusi On Demand semasa menonton drama ini nanti.

Memang menarik bukan drama adaptasi Dari Mata Turun Ke Hati!

Ia sudah mula bersiaran menerusi slot MegaDrama bermula 12 Ogos 2024, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam di saluran Astro Ria (saluran 104), On Demand, Astro GO dan SOOKA.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply