Kebiasaan wanita menunaikan solat menggunakan telekung khas, yang labuh untuk memastikan ia menutup aurat.
Apa yang sering kali terjadi waktu sujud, Muslimah sujud di atas telekung sendiri. Perlu diketahui bahawa keadaan ini boleh membatalkan solat. Perkara ini dihuraikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Batal solat jika sujud atas telekung sendiri
Seseorang yang melakukan sujud atas sesuatu yang bersambung dengannya dan menanggungnya dengan sengaja maka solatnya batal. Hal ini seperti seseorang yang solat atas telekungnya sendiri maka solatnya batal kerana ia bersambung dengannya dan ia ditanggung olehnya.
Oleh itu, solat tersebut perlu diulangi semula. Justeru, kita perlu memastikan dahi menyentuh tempat sujud dengan sempurna bagi menjamin kesempurnaan solat secara keseluruhannya.
Penjelasan hukum
Sujud adalah satu rukun solat yang wajib dilakukan dengan sempurna agar solat menjadi sah dan diterima oleh Allah SWT. Jika ia dilakukan dengan tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ia boleh memnyebabkan solat itu terbatal.
Firman Allah SWT berkenaan sujud:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).” (Surah al-Haj, ayat: 77)
Dalam pada itu terdapat satu hadis Abdullah Ibn ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ على سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ
Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.
Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)
Menurut Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh dan mesti seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung.
Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab Syafie, Malik dan kebanyakan ahli ilmu.
Berdasarkan kenyataan di atas dapat difahami bahawa terdapat tujuh anggota sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. Begitu juga, anggota dahi wajib diletakkan di atas lantai.
Hal ini juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa sujud di atas dahi adalah wajib berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar:
إذَا سَجَدْتَ فَمَكِّنْ جَبْهَتَكَ من الارض ولا تنقر نَقْرًا
Bermaksud: sekiranya kalian bersujud maka tempatkanlah dahi ke atas dahi dan janganlah menggali lubang.
Imam al-Nawawi ada menukilkan kenyataan Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Umm bahawa sekiranya sebahagian dahi diletakkan ketika sujud maka aku menghukumkan ia makruh namun aku menerimanya kerana dia telah dikira sujud di atas dahi, sekiranya dia sujud atas sesuatu yang menghalang dahi maka sujudnya tidak dikira. [2]
(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 3/422)
Oleh itu, ia merupakan sebahagian syarat melakukan sujud sepertimana kenyataan Imam Ibnu Hajar al-Haitami:
ﻭﺷﺮﻃﻪ ﻋﺪﻡ اﻟﺴﺠﻮﺩ ﻋﻠﻰ ﺷﻲء ﻣﺤﻤﻮﻝ ﻟﻪ ﺃﻭ ﻣﺘﺼﻞ ﺑﻪ ﺑﺤﻴﺚ ﻳﺘﺤﺮﻙ ﺑﺤﺮﻛﺘﻪ ﻓﻲ ﻗﻴﺎﻣﻪ ﺃﻭ ﻗﻌﻮﺩﻩ ﻓﺈﻥ ﺳﺠﺪ ﻋﻠﻴﻪ ﻋﺎﻣﺪا ﻋﺎﻟﻤﺎ ﺑﻄﻠﺖ ﺻﻼﺗﻪ ﻭﺇﻻ ﻟﺰﻣﻪ ﺇﻋﺎﺩﺓ اﻟﺴﺠﻮﺩ
Maksudnya: “Syaratnya (sujud) tidak sujud atas sesuatu yang ditanggung olehnya atau yang bersambung dengannya yang mana ia bergerak dengan gerakannya ketika berdiri dan duduk. Jika seseorang itu sujud di atasnya secara sengaja dan tahu (tidak jahil) maka batal solatnya. Jika tidak (sengaja atau jahil) maka wajib dia mengulangi sujud”.
(Rujuk: Al-Manhaj al-Qowim, 182)
Oleh itu, jika seseorang melakukan sujud atas sesuatu yang bersambung dengannya dan ia ditanggung olehnya maka solat tersebut batal jika ia melakukannya dengan sengaja.
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan ulama di atas dapat difahami bahawa sujud perlu dilakukan dengan sempurna agar solat yang ditunaikan itu tidak mengandungi kekurangan yang boleh membatalkannya. Hal ini kerana ia merupakan salah satu rukun solat. Sekiranya seseorang Muslimah ketika solat telah sujud di atas telekung maka solat tersebut perlu diulangi semula.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan.
Sertai Malaysia #QuranHour 2024, 30 Ogos Ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.