Otak Didapati Menyimpan Tiga Salinan Untuk Setiap Memori

Apabila bercakap dengan memori ramai menggunakan analogi ia disimpan dalam laci di dalam otak. Laci akan dibuka apabila kita berfikir mengenai sebuah memori spesifik. Tetapi kajian terbaru daripada penyelidik di Switzerland mendapati, otak sebenarnya menyimpan sehingga tiga salinan untuk setiap memori seperti storan RAID yang digunakan pada komputer.

Kajian dilakukan ke atas bahagian hippocampus otak tikus oleh penyelidik dari University of Basel. Struktur otak yang kelihatan seperti kuda laut (hippocampus ialah kuda laut dalam bahasa Yunani) ini penting untuk menyimpan memori, pembelajaran dan juga emosi. Apabila memori dihasilkan, ia disimpan di dalam tiga kluster neuron yang disebarkan ke beberapa bahagian otak.

Kluster-kluster neuron ini muncul pada peringkat berbeza ketika perkembangan embrio. Kluster terawal neuron akan menyimpan memori jangka panjang tetapi hanya boleh diakses kemudian. Kluster neuron pertengahan pula menyimpan memori yang lebih stabil. Sementara itu kluster terakhir pula menyimpan memori yang pada awalnya kuat tetapi lama kelamaan tidak lagi dapat diakses.

Dengan pemahaman bagaimana memori disimpan di dalam otak, saintis boleh menggunakannya untuk membantu insan yang mempunyai trauma disebabkan kejadian yang berlaku dalam hidup mereka. Ia juga diharap dapat membatu proses mengembalikan semula memori yang hilang disebabkan penuaan atau kecederaan. Kajian telah diterbitkan dalam jurnal Science.


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply