Kelebihan bermain ‘cak’ dengan bayi, rangsang anak jadi bijak. Bermain dengan bayi bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mempunyai banyak manfaat untuk perkembangan mental dan emosi mereka. Salah satu permainan yang paling mudah tetapi sangat bermanfaat adalah permainan ‘cak’.
Kelebihan Bermain ‘Cak’ Dengan Bayi, Rangsang Anak Jadi Bijak
Permainan ini melibatkan menyorokkan muka dengan tangan atau objek lain dan kemudian menunjukkan muka semula sambil berkata “Cak!” atau “Peekaboo!” dalam bahasa Inggeris. Meskipun ia nampak sederhana, permainan ini mempunyai banyak kelebihan dalam merangsang perkembangan bayi.
LIMA KELEBIHAN BERMAIN ‘CAK’ DENGAN BAYI
1. Melatih Komunikasi Terawal
Senyuman dan ketawa adalah salah satu cara terawal manusia berhubung sesama sendiri. Ia bagaikan sebuah bahasa tanpa sempadan tidak mengira usia dan bangsa seseorang.
Tiada apa yang lebih menenangkan selain melihat senyuman si kecil, apatah lagi apabila mereka sudah mula bersuara dan ketawa. Memang riuhlah rumah dengan ketawanya yang comel!
Senyuman juga adalah tanda bayi dapat merespon terhadap persekitaran selain menjadi cara si kecil menunjukkan bahawa dia senang dengan kehadiran kita. Dengan senyumanlah juga hubungan boleh menjadi lebih erat.
2. Meningkatkan Kemahiran Sosial
Kemahiran sosial bayi merupakan asas utama baginya dalam membentuk corak komunikasi yang positif. Selain berbual dan bernyanyi untuknya, bermain “cak” juga adalah medium untuk bayi belajar untuk mewujudkan hubungan sosial dengan orang lain.
Bermain “cak” dengan bayi memerlukan tumpuan sepenuhnya terutama sekali ‘eye contact’. Mungkin pada awal kelahiran, bayi menunjukkan kurang respon dan lebih mudah terkejut. Lama-kelamaan, dia mula belajar untuk mengagak apa yang berlaku.
Dengan sentiasa meluangkan masa dengannya, kemahiran komunikasinya juga akan berkembang dengan baik. Bayi juga lebih bijak dalam mentafsir dan meniru emosi yang ditunjukkan oleh orang sekeliling.
3. Mengajar Bayi Mengenal Diri & Persekitaran
Menurut pakar psikologi, bayi sering menganggap dirinya dan ibu sebagai seorang individu yang sama. Semakin kita kerap bermain “cak” disertai dengan senyuman dan sentuhan, dia semakin lama mengerti bahawa dia dan ibunya adalah dua orang yang berbeza.
Hal ini dapat disedari apabila bayi menyentuh ibunya, dan ibunya pula memberi tindakbalas selanjutnya; contohnya ketika bayi mula menyentuh bahagian mata atau menarik rambut ibu.
Bayi juga mula bijak membuat perbandingan antara dirinya dengan orang lain dan mula untuk mengingat persekitaran serta orang di sekelilingnya. Dengan kesedaran ini, dia lebih giat untuk meneroka persekitaran dan menjadi lebih lincah lagi sebaik dia sudah boleh bergerak ke sana ke mari.
4. Merangsang Deria Bayi
Permainan mudah juga memberi kesan positif pada perkembangan derianya; lebih-lebih lagi jika ramai yang meluangkan masa dengannya. Walaupun bayi baru lahir dilihat kurang merespon, sebenarnya mereka amat mudah diajak bermain “cak”. Hanya dengan hanya menggunakan tapak tangan dan ekspresi muka yang lucu, keseluruhan deria mereka dapat dirangsang.
Dengan rangsangan bunyi atau visual, rangsangan bayi boleh menjadi lebih tajam dan peka. Bila bayi semakin besar, anda boleh mempelbagaikan cara bermain permainan ini dengan mereka supaya lebih mencabar, contohnya bermain sembunyi-sembunyi.
5. Meningkatkan Kecerdasan Memori
Bayi yang baru lahir sering menganggap jika kita hilang dari pandangan, sentuhan, atau pendengarannya bermakna kita tiada dengannya. Sebab itulah bayi mudah menangis apabila ibu hilang daripada pandangan. Permainan sebegini mampu membantu mereka memahami konsep kehadiran seseorang atau objek.
Ini bermakna kebolehannya untuk menyimpan memori dan corak pemikirannya semakin berkembang. Semakin kita rajin bermain “cak” dengannya, mereka mampu memahami dan mengingat bahawa ibu masih ada dengan mereka. Oleh sebab itu, bayi yang baru lahir elok diperkenalkan dengan permainan sebegini.
Permainan ‘cak’ bukan sahaja mudah dan menyeronokkan, tetapi ia juga memberikan banyak manfaat kepada perkembangan mental, emosi, dan sosial bayi anda. Dengan hanya beberapa minit bermain setiap hari, anda boleh membantu merangsang perkembangan otak bayi dan membina asas yang kukuh untuk kemahiran yang lebih kompleks di masa hadapan.
Dengan meluangkan masa dengannya, bayi bukan sahaja dapat melatih rangsangan minda serta kemahiran sosial, malah dapat memupuk kasih sayang dan rasa prihatin. Jadi, jangan ragu-ragu untuk bermain ‘cak’ dengan bayi anda dan nikmati detik-detik berharga ini bersama mereka!
Baca artikel lain juga: Cara Dukung Bayi Bukan Setakat Tenangkan Bayi Tapi Boleh Pengaruhi Perkembangan Bayi
Ibu Hamil Minumlah Susu, Bagus Untuk Perkembangan Bayi Dalam Kandungan
Perkembangan Bayi Usia 1 Hingga 12 Bulan, Usia 2 Bulan Sudah Boleh Senyum
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.