Gimme The Mic Malaysia: Putus Asa Tiada Dalam Kamus Mofanora, Syamel & Hazreen, Sokongan Peminat Jadi Pembakar Semangat!

Dengan tema 360, minggu keempat Gimme The Mic Malaysia menyaksikan Mofanora diumumkan sebagai peserta tersingkir selepas meraih markah terendah iaitu sebanyak 38.54 peratus, malam tadi.

Meski pun tersingkir untuk terus bersaing pada minggu hadapan, namun Mofanora tetap optimis meneruskan kecintaannya dalam dunia seni.

Tiada istilah putus asa, itulah semangat yang dibawa bersama dua lagi peserta yang terus mara bersaing untuk minggu seterusnya, iaitu Syamel dan Hazreen.

Tersingkir Bukan Pengakhiran, Mofanora Kongsi Keunikan Nama & Identiti 

Pernah menyertai beberapa pertandingan lain sebelum ini, peserta berusia 52 tahun itu turut berkongsi kisah permulaan kerjaya muzik yang bermula pada tahun 2000.

Jelas Mofanora, dia pernah diminta untuk menyanyi oleh sahabatnya yang juga bekas Personaliti Televisyen, Dang Suria di dalam sebuah acara yang akhirnya membuka jalan untuk menandatangani kontrak nyanyian di Genting Highlands.

Malah, nama ‘Mofanora, itu juga turut mempunyai kisah tersendiri, mencerminkan perjalanan dan identitinya yang telah lama berkecimpung dalam dunia muzik.

“Gelaran itu muncul ketika saya berusia 13 tahun semasa menuntut di Sekolah Menengah Sains Selangor.

“Waktu itu saya dan rakan-rakan sedang bermain gabungan nama, lalu ‘Mofanora’ itu ialah gabungan dari nama sebenar saya Mohd Faudzi Nor Rahim.

“Sampai sekarang panggilan itu melekat dan saya okay saja sebab ia unik dan mudah untuk diingati,” katanya yang membawakan lagu Suci Dalam Debu (Iklim), malam tadi.

Biarlah pun tersingkir, namun dia tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk mengutip pengalaman membuat persembahan di pentas besar secara langsung di hadapan ramai penonton.

Malah dia menyifatkan sokongan yang diberikan ahli keluarga dan peminat menjadi penguat semangat untuknya meneruskan komitmen dalam seni.

Dia turut berazam untuk terus belajar, menyesuaikan diri dengan cita rasa penonton, selain mahu komited dalam memperbaiki kemahiran di dalam persembahan muziknya.

Syamel Pernah Tujuh Kali Dinobat Pemain Futsal Terbaik Johor, Janji Beri Yang Terbaik Dalam Seni

Sementara itu bagi Syamel Amzah, dia tekad untuk terus mahu memikat hati juri dengan memberikan persembahan terbaik saban minggu meski akui peserta lain tidak kurang hebatnya.

Meskipun dunia nyanyian bukanlah sesuatu yang sinonim bagi dirinya, namun Syamel yang sebelum ini pernah menjadi pemain futsal Johor selama 13 tahun menjelaskan dia optimis dalam mengejar cita-cita untuk bersaing di Gimme The Mic Global selepas ini.

Didorong sokongan keluarga dan sahabat, Syamel akui dia memberanikan diri menyanyikan lagu dalam bahasa Cina ketika uji bakat sebelum ini.

“Saya bukanlah tak pernah menyanyi langsung. Sebelum ini ada juga saya menyanyi misalnya pada majlis makan malam untuk pasukan Johor.

“Selain itu ada juga saya buat ‘content’ nyanyian di TikTok. Itu pun hanya suka-suka sebab sudah menjadi minat,” katanya yang sering disamakan dengan Cakra Khan kerana ‘tone’ suara yang serak-serak basah.

Mengulas mengenai perkara itu, Syamel akui setiap orang mempunyai pandangan yang tersendiri.

“Tak dinafikan ada yang berpendapat sedemikian. Cuma, siapalah saya kalau nak dibandingkan dengan figura terkenal Seberang itu. Apa pun terima kasih.

“Masih banyak lagi yang perlu saya belajar untuk berada setara dengan Cakra. Tapi ialah dua individu yang berbeza. Mungkin disamakan sebab suara sahaja,” katanya yang menjadikan Datuk M.Nasir sebagai idolanya dalam seni.

Malam tadi, Syamel membawakan lagu Mantera Beradu dan menduduki ranking keenam daripada 14 peserta dengan markah sebanyak 62.28 peratus.

Intai Peluang Untuk Dikenali, Hazreen Percaya Rezeki Dalam Bidang Nyanyian

Hazreen Amreena atau nama sebenarnya, Hazreen Amreena Haslan mendedahkan dia mewarisi bakat nyanyian daripada ibunya selain mendapat dorongan seawal usia 10 tahun lagi.

Sebelum berjaya meloloskan diri sebagai peserta Gimme The Mic Malaysia ini, Hazreen rupanya kerap mencuba nasib dalam beberapa pertandingan nyanyian lainnya.

“Walaupun pengalaman tidak banyak, namun saya ada asas di dalam persembahan seni memandangkan saya kinj antara artis budaya di Jabatan Penerangan Malaysia.

“Jadi selain cuba menyerlahkan bakat melalui platform di Tiktok, saya juga memang sudah terdedah dengan bidang menyanyi, menari, berlakon, dan mengacara. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak memberikan bonus pada saya.

“Semua pengalaman ini, pastinya saya akan terapkan dalam nyanyian. Alhamdulilah sejak kecil keluarga dan rakan-rakan menjadi tulang belakang yang banyak menyokong cita-cita saya tanpa jemu,” katanya.

Meminati lagu genre Balada, dia juga berazam mahu menjadi antara peserta yang mara ke peringkat akhir. Tetapi sekiranya tersingkir, ia bukanlah pengakhiran.

Ini kerana, Hazreen sudah mempunyai sebuah perancangan kukuh, bakal melancarkan single pertama di bawah label Shiha Zikir Empire.

Juara TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, kira-kira RM9,300 (AS$2,000) daripada Tiktok selain tawaran projek lagu single tajaan Astro dan Rocketfuel.

Sementara Enam peserta terbaik pula bakal dipilih mewakili Malaysia untuk bersaing dalam saingan Gimme The Mic Global bersama peserta negara lain seluruh dunia.

Kesemua peserta diadili juri tetap iaitu Ajai, Yuna, Hael Husaini dan BCL dari Indonesia.

TikTok LIVE Astro Gimme The Mic Malaysia bakal bersiaran selama lapan minggu setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria dan On Demand. Penonton juga boleh strim di Astro Go dan sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply