PARA sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) di Gaza, Palestin berdepan detik-detik cemas apabila tiga biji bom disasarkan ke lokasi agihan bantuan makanan di kem Deir al-Balah.
Ketua Pegawai Operasi MVM, Muhammad Hasbullah Md Najib berkata, salah satu daripada bom yang dilepaskan itu telah jatuh kira-kira 40 meter dari dapur memasak mereka selepas beberapa jam mengagihkan bantuan kepada rakyat Palestin terjejas.
Menurutnya, pada 6 Ogos lalu, wakil MVM di Gaza telah turun ke khemah perlindungan Bilal bin Rabah di Deir al-Balah bersama dengan makanan panas buat 5,000 orang hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui pihaknya.
“Seramai 3,000 orang telah dibekalkan dengan makanan panas pada hari pertama agihan yang dilakukan di dapur tempat memasak.
“Bagaimanapun pada keesokannya (7 Ogos), selepas beberapa jam agihan makanan kepada penerima bantuan diberikan dan para sukarelawan telah beredar keluar dari kem, tiga serangan roket rejim Israel membadai kawasan tersebut,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Tambahnya, pasukan sukarelawan MVM selamat dalam kejadian tersebut namun pihaknya tidak dapat membayangkan jika mereka masih berada bersama penerima agihan makanan ketika itu.
“Wakil kami termasuk jurukamera yang selamat dari nahas sempat merakam beberapa gambar keadaan selepas kejadian.
“Bayangkan warga di situ yang baru sahaja kami temui sewaktu agihan makanan sebelumnya,” ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya sedar setiap hari keadaan di Gaza masih sama iaitu dalam konflik kekejaman yang tidak diketahui bila pengakhirannya, namun MVM tidak boleh mengabaikan penderitaan berterusan rakyat Palestin yang telah kehilangan segala-galanya.
“Keadaan mereka amat teruk dan keperluan untuk hidup sentiasa di ambang kritikal.
“Kami memohon untuk mengutuk tindakan keganasan ini dan terus menyokong rakyat Palestin yang terperangkap dalam plot pembunuhan yang semakin menghampiri setahun ini.
“Kita mesti terus berjuang untuk dunia di mana tiada siapa yang perlu hidup dalam ketakutan dan di mana setiap manusia mempunyai hak untuk keselamatan, maruah serta keamanan,” rayunya.
Katanya, bantuan ini merupakan kali keempat dilaksanakan MVM dengan bantuan pertama merangkumi ubat-ubatan dan makanan dibuat pada Disember 2023.
Bantuan kali kedua dan ketiga yang merupakan bantuan iftar dan sahur Ramadan dibuat pada Mac dan April 2024.
Pihaknya berharap orang ramai terus memberikan sokongan kepada MVM dengan menyumbang kepada pihaknya bagi agihan bantuan seterusnya. Maklumat lanjut sumbangan boleh didapati di laman web www.mvm.org.my.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.