Tidak sekadar mahu menjadi peniaga kecil-kecilan biasa, tetapi mahu menjadi jenama besar setanding ‘jenama-jenama yang diboikot’, demikian impian jejaka muda yang mengusahakan perniagaan birria tacos.
Meor Fauzan Zolkifli, 26, merupakan pemilik perniagaan Chillin N Grillin (CNG) yang menjual Birria Tacos, sejenis makanan Mexico itu.
Walaupun beroperasi sebagai gerai pinggiran jalan, Meor meluahkan hasrat besarnya mahu melihat jenama CNG miliknya itu menguasai industri Makanan dan Minuman (F&B) negara yang kini banyak dikuasai jenama-jenama luar.
“Saya rasa jenama-jenama itu sangatlah overrated,” ujar Meor ketika ditemui MASKULIN di salah satu cawangan CNG di Kota Damansara.
“Makanan luar bawa datang Malaysia, mereka pula yang pijak tanah air kita. Kenapa tidak kita yang takluki tanah air kita sendiri, betul?” tambahnya.
Dengan empat cawangan gerai yang telah beroperasi kini, Meor tekad mahu membuka cawangan kedai pula sebagai langkah awal menggapai impian tersebut.
@maskulinmy Daripada seorang yang bekerja dalam bidang kewangan, tetapi kini bergelar seorang usahawan makanan yang sedang berkembang. Bukan mudah untuk seorang yang bergaji tetap, bertukar angin ke satu kerjaya yang pendapatannya tidak menentu. Tetapi itu tidak mematahkan semangat Meor Fauzan untuk tetap berusaha dalam menjadikan jenamanya salah satu jenama yang terkenal di Malaysia! @cng.birria #maskulin #cng #cngbirrio #birriatacos#tacos #chillinngrillin #manwithcareer #fyp ♬ original sound – Maskulin
Rela Tinggalkan Kerjaya Gaji RM5,000
Terdahulu, Meor memiliki kerjaya di bidang kewangan dan sudah meraih gaji sebanyak RM5,000 di usia 22 tahun.
Namun dia rela meninggalkan kerjaya itu demi memulakan perniagaan sendiri.
Kongi Meor, ketika dia memutuskan untuk meletakkan jawatan ketika itu, majikannya cuba menawarkan kenaikan gaji demi mengekalkan Meor untuk berkhidmat di syarikat berkenaan.
“Bukan kerana gaji. Saya rasa ia lebih kepada keinginan untuk tidak berada dalam ‘sistem’ itu,” jelasnya.
Berbekalkan wang simpanan lebih RM30,000 yang telah dikumpul hasil titik peluh bekerja di syarikat berkenaan, Meor tekad memulakan perniagaan makanan.
Meor juga mengambil masa sekitar sembilan bulan untuk mengkaji, mencipta dan mengubah suai resipi birria tacos mengikut citarasa tempatan.
“Anda tahu tak perasaannya apabila anda memasak sesuatu dan berikannya pada seseorang, orang itu akan berkata “sedap gila benda ini”? Itu yang membuatkan saya rasa teruja”.
Foto: Meor Fauzan Zolkifli (Sumber: Instagram Meor Fauzan).
Jangan Iri Hati Dengan Rezeki Orang
Ditanya mengenai pendiriannya dalam mengusahakan perniagaan, Meor sentiasa berpegang kepada konsep percaya pada rezeki dan tidak iri hati melihat rezeki orang lain.
“Kalau dalam satu kawasan ada 10 peniaga burger tetapi satu sahaja yang laris, maksudnya itu rezeki dia. Itulah ketetapan minda saya sehingga hari ini,” ujarnya.
“Kalau anda bekerja keras dan sanggup untuk melalui segala keperitan, maka Allah akan balas sesuai dengan sebanyak mana anda telah bersusah payah.
“Itu sahaja peraturan alam ini. You do more, you get more. Tapi kalau anda berusaha kurang tapi bercakap seolah-olah sudah berusaha lebih, maka anda tidak akan dapat banyak lah,” katanya lagi.
Perniagaan CNG kini mempunyai empat cawangan iaitu di Shah Alam, Putra Heights, Klang dan Kota Damansara.
BACA: Mula Dengan Angan-Angan Melihat Undertaker, Ayez Shaukat Berjaya Jadi Ahli Gusti Profesional
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.