Letakkan ALLAH di tempat tertinggi

HAYATI lima prinsip Rukun Negara dengan didasari petunjuk Ilahi menerusi surah al-Jumu’ah dan al-Hujurat. -Foto: 123rf

SEBUT sahaja merdeka, ramai membayangkan negara bebas daripada cengkaman penjajah, semangat patriotisme dan kecintaan kepada tanah air.

Tidak cukup sekadar melafazkan rasa sayang ataupun mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata, tetapi kita perlu menjiwai lima Rukun Negara yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Perkara itu akan dikupas lanjut pada program Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos ini, bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Fazrul Ismail menjelaskan, gagasan utamanya supaya masyarakat tidak hanya memotretkan Rukun Negara pada bahagian belakang ‘buku coklat’ ketika bersekolah dahulu semata-mata, sebaliknya diduplikasikan sebaiknya menurut petunjuk ILAHI.

USTAZ FAZRUL (kanan) bersama qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali ketika sesi tadabbur ada Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 1446H/2024 di Shah Alam baru-baru ini. -Foto: Asril Aswandi Shukor

“Ayuh kita bersama-sama melihat prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan sebagaimana yang digagaskan.

“Salah satu rujukan pentingnya adalah daripada surah al-Jumu’ah,” katanya ketika sesi tadabbur Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 1446H/2024 di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, Selangor minggu lalu.

Terlalu sibuk ‘merdeka’

Firman ALLAH SWT: “Apa yang ada di langit dan apa yang ada di Bumi sentiasa bertasbih kepada ALLAH SWT. Yang MAHARAJA (al-Malik), Yang MAHA SUCI (al-Quddus), Yang MAHA PERKASA (al-’Aziz), Yang MAHA BIJAKSANA (al-Hakim).” (Surah al-Jumu’ah: 1)

Jelas Fazrul, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sudah berhijrah ke Madinah ketika ayat tersebut diturunkan.

Mereka agak ‘merdeka’ lantaran kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai ketua atau pemimpin, agamawan, penguat kuasa ekonomi dan sosial serta menjadi hakim di Madinah al-Munawwarah.

“Ada yang sudah sibuk dan tidak lagi cukup bertasbih ataupun lambat melakukan demikian. Sepatutnya bertasbih (solat) jam 1.30 tengah hari dengan rukuk dan sujud, tetapi terlewat hingga jam 3.30 petang disebabkan menghadiri mesyuarat dan pelbagai isu rakyat lain.

“Maka ALLAH SWT membawakan ayat itu kepada mereka. Ini termasuk kita yang memasuki 67 tahun merdeka bahawa dalam kesibukan ini, para pemimpin masih ada di atasnya iaitu al-Malik. Jangan sampai terlupa adanya ALLAH al-Malik yang lebih tinggi perlu ditasbihkan.

“Begitu juga kepada orang agama yang cuba membawa masyarakat dan diri untuk menyucikan ALLAH. Jangan sampai merasakan mereka suci hingga terlupa ALLAH al-Quddus satu-satunya,” terangnya panjang lebar.

Mudah kata, siapa pun kita dan apa jua jawatan disandang di muka bumi ini, usah sesekali lupa kepada ALLAH al-Malik, al-Quddus, al-’Aziz dan al-Hakim yang menguasai seluruh alam serta isinya hingga mengabaikan hak-NYA.

“Insya-ALLAH, prinsip kesetiaan kepada raja dan negara itu akan menjadi suatu perkara yang amat indah disebabkan semuanya termasuk penguat kuasa dan pegawai kerajaan percaya kepada Tuhan al-Malik dalam setiap perkara dilaksanakan.

“Ia termasuklah tidak semberono dalam membina polisi atau perkataan yang boleh merosakkan lagi kerajaan ini,” ungkapnya.

MALAYSIA #QURANHOUR pada 30 Ogos ini mengangkat surah al-Jumu’ah dan al-Hujurat dalam membina akhlak serta peradaban diri, sesuai dengan temanya ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’. -Foto: Ihsan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

Daripada kehambaan manusia kepada Sang Pencipta

Keadaan itu bertambah baik lagi apabila orang agama, pengawai penguat kuasa dan kerajaan menjaga keluhuran perlembagaan mengikut aturan sejajar dengan apa yang ALLAH SWT inginkan.

Jika itu berlaku, jelas Fazrul, negara ini akan terus merdeka daripada kehambaan sesama manusia kepada kehambaan terhadap Sang Pencipta yang memberikan kemerdekaan 67 tahun lalu dan seterusnya.

Ditambah pula dengan peranan para hakim dan bijaksana yang membina polisi dan menobatkan kedaulatan undang-undang untuk memastikan negara terus merdeka, terangnya.

“Percayalah, masyarakat kita akan menjadi sopan dan susila apabila orang bijaksana terus membina dan membaiki sistem perundangan sedia ada.

“Pada masa sama, kedaulatan undang-undang dijaga untuk kemaslahatan semua agar rakyat terus mendapat kerajaan dan jiwa yang merdeka.

“Inilah lima perkara Rukun Negara yang dibina puluhan tahun lalu, tetapi kita juga mempunyai wahyu daripada surah al-Jumu’ah. Hanya ALLAH sahaja yang boleh menjadi raja dan menyucikan kerajaan-NYA. Kita perlukan bantuan-NYA untuk terus merdeka lantaran terdapat pelbagai isu dalam negara,” ujarnya.

Antara isu yang boleh merosakkan perpaduan umat sejagat termasuklah sikap suka menghina dan mencari salah orang lain sebagaimana ditegaskan dalam ayat ke-11 dan ke-12 surah al-Hujurat.

Begitu juga dengan cabaran nilai iaitu tidak menjaga tutur kata dan tidak tabayyun (semak dan periksa).

QARI, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali mengalunkan bait-bait suci al-Quran daripada surah al-Jumu‘ah dan al-Hujurat ketika Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 1146H/2024 minggu lalu. -Foto: Asril Aswandi Shukor

Fazrul menambah, perbuatan yang turut melibatkan dunia maya di media sosial itu dilihat menjadi ‘penyakit’ dalam masyarakat sekali gus melambangkan kehancuran kesopanan dan kesusilaan.

“Kita ingin bangunkan kembali agar merdekanya pada tahun ini akan diteruskan. Lihat seruan ALLAH SWT pada ayat ke-13 surah al-Hujurat agar orang beriman atau seluruh manusia supaya teruskan bertaaruf iaitu mengenali antara kaum diciptakan-NYA.

“Tidak kiralah kaum Cina, India, Melayu atau Kadazan, usahlah dibezakan. Mengertilah orang yang bertakwa ialah orang yang suka taaruf dan tidak mempunyai prasangka kepada orang lain,” katanya.

Jelas Fazrul, demikianlah perkara yang perlu diisi dalam kemerdekaan pada tahun ini demi melonjakkan takwa dan taaruf dalam membina jiwa merdeka.

“Sudah cukuplah pada 1,500 tahun yang lalu, jahiliah menyebabkan mereka bergaduh antara kaum dan kabilah sampai berbunuhan. Ia berulang sekitar 60 tahun lalu.

“Kita ingin belajar dari sejarah lalu, bila sudah merdeka dengan kejadian antara kaum, kita perlu memaknai Rukun Negara yang dicerahkan oleh wahyu daripada surah al-Jumu’ah dan al-Hujurat,” ungkapnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply