Hari ini saban hari kita melihat orang ramai merakam dan menyebarkan gambar dan video mangsa kemalangan di media social tanpa rasa bersalah. Tak kira mangsa kemalangan masih hidup atau telah meninggal dunia ia dikongsi seolah-olah menjadi perkara kemestian.
Malah ada yang berlumba-lumba menjadi orang pertama menyebarkannya. Ada gambar menunjukkan mangsa dalam keadaan ngeri seperti terputus anggota badan dan adakalanya gambar yang menampakkan aurat mangsa yang terlibat.
Hukumnya haram sama ada kerana suka-suka atau tuntutan tugas
Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idris dalam satu hantaran di akaun media sosial beliau, hukum perbuatan menyebarkan dan berkongsi gambar seperti ini kepada kawan-kawan dan orang ramai adalah HARAM dan KEJI. Jadilah orang-orang yang melakukannya itu fasiq sekalipun disebarkan gambar-gambar tersebut kerana suka-suka atau kerana tugas seperti pemberita atau jurugambar.
Islam mewajibkan atas siapa yang terlihat suatu keaiban pada orang Islam yang lain supaya mengalihkan pandangan atau memejamkan matanya dan jika terpandang tanpa sengaja maka wajib dirahsiakannya.
Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah saw telah bersabda :
وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Ertinya : “Barangsiapa menutup keaiban seorang Islam yang lain maka Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.” (Hadith Muslim, Ahamd, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Nasaai & Al-Hakim)
Dan pada hadith yang lain Rasulullah saw bersabda :
لا يستر عبد عبداً في الدنيا إلا ستره الله يوم القيامة
Ertinya : “Tiada seorang yang menutup aib seorang yang lain di dunia melainkan Allah akan menutup pula aibnya pada hari kiamat.” (Hadith Muslim)
Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :
قوله ” ومن ستر مسلما ” أي رآه على قبيح فلم يظهره ، أي للناس
Ertinya : “Maksud ‘siapa yang menutup aib seorang Islam’ ialah apabila dia ternampak seorang Islam atas satu keadaan atau kelakuan yang tidak elok maka dia tidak menyebarkannya kepada orang ramai.” (Fathul Baari Syarah Bukhari)
Menyebarkan aib dan menambah kesedihan keluarga mangsa
Perbuatan menyebarkan aib orang lain adalah perbuatan yang sangat keji kerana menceroboh hak orang lain tanpa sebenar dan mendatangkan keburukkan kepada banyak pihak seperti aib dan sedih pula keluarga dan sahabat handai mangsa yang gambarnya disebarkan.
Orang yang ditimpa kemalangan berada dalam keadaan susah maka dengan menyebarkan gambarnya dalam keadaan aib atau auratnya adalah menambahkan kesusahannya. Ini jelas adalah haram. Sepatutnya bila melihat kesusahan pada seseorang maka hendaklah diringankan kesusahan itu bukan ditambah lagi kesusahannya.
Menyebarkan gambar aurat mangsa kemalangan atau mangsa dalam rupa yang ngeri adalah sama hukumnya dengan menyakiti dan memalukan mangsa dan kaum keluarganya. Perbuatan ini adalah keji dan haram dan berdosalah pelakunya.
Ibnu Umar r.a. berkata Rasulullah saw bersabda :
لاتؤذوا المسلمين ولا تُعيّروهم ، ولا تتّبعوا عوراتـهم فإنه من تتبع عورة أخيه المسلم يتتبع الله عورته
Ertinya : “Jangan kamu semua menyakiti orang-orang beriman dan jangan kamu memalukannya. Jangan buka aurat mereka maka dari kerana siapa yang membuka aurat saudaranya yang Islam maka Allah akan membuka auratnya pula.” (Hadith Tirmizi)
Akhir sekali Allah menyatakan hanya nerakalah tempat duduk bagi orang-orang yang suka menyebarkan aib manusia dan menunjuk aurat orang lain di dunia.
Firman Allah :
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ
“Sesungguhnya orang-orang yang suka tersebarnya perkara yang tidak elok di kalangan orang-orang beriman maka bagi mereka ini di dunia kejahatan dan di akhirat nanti azab yang sangat pedih. “ (An-Nuur : 19)
Sumber: Ustaz Azhar Idris
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.