Ajar Semula “Tatarakyat” Di Sekolah, Lahirkan Warga Lebih Beradab – Zulkifli Ismail

Seorang pelakon veteran Zulkifli Ismail mencadangkan agar mata pelajaran Tatara’ayat (Tatarakyat) kembali diajar di institusi pendidikan.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Zulkifli Ismail menjelaskan yang pengenalan mata pelajaran Tatarakyat adalah bertujuan bagi melahirkan individu yang lebih beradab.

Foto: Zulkifli Ismail menunjukkan senaskhah buku lama mata pelajaran Tatarakyat. (Sumber: Facebook Zulkifli Ismail)

“Saya cadangkan supaya mata pelajaran Tatara’ayat diajarkan semula di semua sekolah di seluruh negara termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta dan lain-lain untuk melahirkan warga yang lebih bersopan santun dan bertatasusila,” tulisnya.

Generasi muda sepatutnya menjadi pelapis dan pemimpin di masa hadapan, namun adab dan juga sikap sopan santun dilihat semakin terhakis dalam diri segelintir dari mereka.

Selain tidak menghormati orang yang lebih tua, ada juga yang menggunakan kata-kata kasar dan tidak sopan ketika berbicara.

Lebih membimbangkan apabila perbuatan itu semakin dianggap sebagai suatu kebiasaan dalam pergaulan mereka, apatah lagi kehadiran media sosial menjadikan sikap tidak sopan mereka tampil lebih jelas di mata umum.

Intipati Buku Lama Tatarakyat

Zulkifli yang terkenal dengan watak ASP Razlan dalam drama bersiri kepolisan Gerak Khas itu turut berkongsi gambar sebuah buku lama subjek berkenaan yang pernah diterbitkan di Malaysia.

Dalam hantaran yang sama, Zulkifli menunjukkan muka hadapan dan beberapa isi kandungan buku bertajuk Tatara’ayat Ada-lah Kera’ayatan Yang Baik ditulis bersama oleh C Michael dan T Daniel bagi kegunaan pelajar Tingkatan Satu.

Antara tajuk yang terkandung dalam buku tersebut adalah mengenai adab antaranya seperti ‘kelakukan kamu di rumah’, ‘kelakuan kamu di hadapan khalayak ramai’ dan ‘kesetiaan kepada sekolah’.

Sumber foto: Facebook Zulkifli Ismail.

Untuk rekod, Pendidikan Sivik merupakan mata pelajaran yang mempunyai persamaan dengan Tatarakyat

Mata pelajaran itu mula diperkenalkan pada Jun 2019 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan diajar di semua peringkat bermula prasekolah hingga sekolah menengah.

Ia merupakan ilmu berkaitan tatarakyat dan mengajar individu untuk bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Sumber: Facebook Zulkifli Ismail

BACA: Bolehkah Kita Pukul Orang Yang Provokasi Kita Secara Lisan?

 


by

Comments

Leave a Reply