Wajib cari yang halal

MENCARI yang halal bukan semata-mata perintah agama, bahkan banyak maanfaat diperolehi dari pelbagai aspek fizikal dan rohani.

ISU berkaitan halal dan haram tidak pernah sunyi dalam kalangan umat Islam di negara ini terutamanya berkaitan dengan aspek pemakanan sehingga kepada barangan keperluan harian, kosmetik dan sebagainya.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini terutamanya di era media sosial yang meluas, segelintir daripada umat Islam sendiri ada yang bersikap kurang teliti dalam aspek pemilihan halal terutamanya berkaitan makanan.

Pantang melihat makanan atau restoran yang viral di media sosial, pasti mahu diserbu tanpa melihat aspek halal.

“Asalkan ia tidak ada babi, kira halallah makanan itu,” kata sebahagian daripada mereka.

Islam bagaimanapun tidak hanya meletakkan syarat berkenaan semata-mata, malah banyak lagi faktor lain yang perlu dilihat.

Sinar Islam Plus bertemu Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Selangor, Ustaz Mohd Rasyidi Ali bagi membincangkan kewajipan mencari yang halal seperti yang dianjurkan Islam.

USTAZ MOHD RASYIDI

Perintah cari yang halal lagi suci

Menurut beliau, mencari yang halal dalam Islam adalah wajib kerana ia merupakan perintah ALLAH SWT dan rasul-NYA berdasarkan banyak dalil dari al-Quran dan hadis.

Antaranya ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-168 surah al-Baqarah: “Wahai manusia, makanlah daripada apa yang halal lagi suci yang ada di bumi. Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”

“Pandangan ulama daripada empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali sepakat bahawa mencari yang halal adalah wajib kerana ia melibatkan kewajipan menjaga diri daripada perkara haram yang akan menjerumuskan kepada dosa dan kemudaratan kepada diri dan masyarakat,” katanya.

Beliau kemudian merujuk kepada hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Mencari yang halal itu fardu (wajib) atas setiap Muslim.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)

Mengapa ALLAH SWT memerintahkan umat Islam bukan sahaja makan makanan yang halal semata-mata, bahkan menyuruh hamba-NYA mencari yang tayyib iaitu suci?

Ahli akademik itu menjelaskan, uniknya ajaran Islam ia tidak menitikberatkan aspek halal semata-mata, bahkan turut melibatkan kesucian makanan tersebut.

Katanya, makanan yang halal lagi suci ini akan memastikan kita menjaga kesihatan secara fizikal dan rohani.

“Aspek halal merujuk kepada status hukum sesuatu perkara manakala tayyib atau suci itu pula melibatkan kualiti dan kebersihannya.

“Makanan yang halal lagi suci ini membantu dalam menjaga kesihatan tubuh badan dan memelihara spiritual kita dari unsur-unsur yang tidak baik. Selain itu, kedua-dua aspek ini juga mengundang keberkatan dalam kehidupan,” jelasnya.

Halal dalam kehidupan harian

Menjawab persoalan mengapa aspek halal bukan sahaja meliputi makanan semata-mata, bahkan barangan keperluan harian juga perlu kepada unsur halal?

Beliau menjelaskan ia berkaitan dengan pelbagai aspek iaitu:

1 – Menjaga kesucian dalam ibadah

Banyak barang keperluan harian yang digunakan dalam aktiviti ibadah seperti solat, maka pakaian yang digunakan perlu suci daripada najis.

2 – Menjaga kesihatan dan keselamatan

Bahan-bahan haram dalam barangan keperluan harian berkemungkinan besar boleh membawa kepada kemudaratan kesihatan berbanding bahan halal.

3 – Menjaga etika dan moral

Ia memastikan kita tidak terlibat dalam industri yang memanfaatkan perkara-perkara haram seperti bahan kosmetik yang tidak diuji secara berkala.

Tingkat kesedaran halal sejak kecil

Bagi memastikan kesedaran masyarakat mengenai halal semakin tinggi, pendidikan sejak awal iaitu kepada anak-anak perlu dititikberatkan.

PENTING untuk umat Islam memastikan makanan diambil dan barangan keperluan harian digunakan itu halal. Foto CANVA

“Ia penting untuk memastikan mereka mem- besar dengan nilai dan prinsip Islam yang betul.

“Pemahaman berkaitan halal dalam kalangan mereka ini kemudiannya diamalkan dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Menurutnya, kesedaran berkaitan halal dalam kehidupan bukan perkara yang boleh dicapai dalam masa singkat, malah ia memerlukan usaha menyeluruh terutamanya pendidikan kepada anak-anak dan dasar yang dimainkan kerajaan.

Menyentuh mengenai isu restoran yang melabelkan ‘no pork, no lard’ atau ‘pork free’, Ustaz Mohd Rasyidi menjelaskan, ia bukanlah kayu ukur kepada halalnya makanan tersebut.

PELBAGAI faktor dinilai dalam proses penyediaan makanan termasuk bahan utama, rempah, perisa dan prosesnya bagi memastikan ia benar-benar halal. Foto CANVA

“Ini kerana aspek halal merangkumi banyak perkara termasuk bahan-bahan utama, rempah, perisa dan sebagainya yang memerlukan kesemuanya adalah unsur yang halal termasuk proses serta tempat penyediaannya.

“Kayu ukur yang boleh menyatakan restoran itu menyediakan makanan halal adalah berdasarkan logo halal yang diperolehi dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Pemegang sijil halal ini sentiasa dipantau dari pelbagai aspek bagi memastikan bahan dan proses penyediaannya benar-benar halal dari sudut syarak,” ujarnya.

Nasihatnya, umat Islam wajib memilih restoran yang mempunyai SPHM dalam memastikan segala aspek halal pemakanan itu terjamin.

“Secara keseluruhannya, mencari yang halal bukan sahaja menjaga kesucian diri, bahkan juga mendekatkan diri kepada ALLAH dan membentuk masyarakat yang berakhlak baik dan bertanggungjawab,” jelasnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply