Isteri Bertudung Labuh, Tapi Suami Minta Pakai Tudung Pendek Bidang 45. Perlukah Isteri Patuh?

Isteri dah elok bertudung labuh tapi suami pula minta isteri mengenakan tudung singkat. Dalam hal ini apa yang patut dilakukan oleh isteri? Perlukah terus berpegang pada pendirian atau mengikut kata suami yang mahu isteri kelihatan lebih menarik dalam penampilan.

Ini antara dilema yang disuarakan oleh seorang isteri apabila  diminta oleh suaminya supaya mengenakan tudung yang lebih singkat bidang 45 kerana berasa malu dengan rakan-rakannya. Persoalan dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Assalammualaikum. Suami saya perli saya pakai tudung labuh, dia kata malu dengan kawan-kawan. Katanya tudung bidang 45 memadai menutupi aurat tanpa perlu memakai tudung labuh bidang 60. Persoalanya, adakah saya perlu mempertahankan dengan memakai tudung labuh dalam keadaan suami yang tidak reda atau ikut kata suami dengan pakai tudung bidang 45 kerana masih batas menjaga aurat? Adakah wajib ikut arahan suami agar meninggalkan amalan yang lebih warak? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Islam tidak menetapkan penggayaan, asalkan menutup aurat dengan sempurna

Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus dalam menggayakan pakaian sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan mengikut kehendak syarak.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk memakai pakaian yang menutup aurat bersandarkan firman-Nya:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ‎﴿٢٦﴾

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” Surah Al-A’raf (26)

Dalam pada itu Islam menetapkan parameter menutup aurat dengan sempurna bagi wanita ialah menutup keseluruhan anggota kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Tudung mematuhi kehendak syarak

Bagi situasi isteri ini, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan tudung ialah mematuhi kehendak syarak. Apabila tudung saiz 45 digayakan dengan cara labuh menutupi dada dan tidak nipis (jarang), maka ia masih dalam kerangka menepati tuntutan syarak.

Oleh itu, situasi soalan tersebut bergantung kepada kebijaksanaan isteri menggayakan tudung yang menepati kehendak syarak tidak kira saiz bidang 60 mahupun 45 pada masa sama mengikut kehendak suaminya pada perkara kebaikan.

Hal ini memakai tudung saiz 45 yang menutupi dada dan tidak nipis, maka ia sudah cukup menepati syarak. Bahkan, sekiranya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus mahupun sunat maka ia menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat. Namun memakai tudung saiz 60 lebih sopan, warak dan terpuji.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply