Pernah Ada Hutang RM500,000 & Bergadai Demi Cari Ilmu…Dr Raihana Dalam Sebak Cerita Penghidap Disleksia Juga Boleh Sukses!

Pengasas syarikat Efferty International Sdn. Bhd. (Efferty), Dr Raihana Ismail membuat pendedahan mengejutkan apabila mengakui dia menghidap disleksia ketika berusia enam tahun.

Malah akui Dr Raihana, dia paling lembab (slow learner) dalam pelajaran dalam kalangan adik-beradiknya yang lain.

“Sebenarnya ada sebab kenapa saya selalu duduk di depan ketika mengikuti sesi di Richworks. Sebab masa kecil, saya slow learner. Waktu itu saya ada masalah disleksia. Antara adik beradik, saya yang bangga bila orang tanya dapat nombor berapa dalam kelas.

“Saya cakap dapat nombor 28 sebab nombor itu banyak. Bukan bermaksud saya bangga sebab tak berjaya. Cuma saya tak faham lagi pada ketika itu.

“Jadi apa yang ibu bapa saya terapkan adalah menyuruh saya duduk paling depan ketika dalam kelas. Mereka cikgu. Kakak-kakak saya semua pandai. Saya masuk darjah tiga baru pandai mengira. Kemudian berjaya dalam UPSR. Berkat duduk depan.

“Abah saya adalah cikgu disiplin jadi dia latih saya untuk sentiasa menepati masa. Dulu, saya pernah bercita-cita nak jadi artis. Saya nak menyanyi dan berlakon.

“Tapi apabila tengok kakak-kakak jadi doktor, terus berubah fikiran sebab mak mesti lagi bangga (jadi doktor). Budaya (culture) dalam keluarga sendiri yang mengubah diri saya,” katanya.

Dr Raihana menjelaskan perkara tersebut menerusi saluran sesi podcast Apa Cerita? di YouTube, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Dr Raihana memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dari 2010 hingga 2012 sebelum ke Hospital Hulu Terengganu sebagai Ketua Ward Obstetrik dan Ginekologi.

Manakala pada tahun 2015, Dr Raihana menjawat sebagai Pakar Am dan Pengarah dengan menubuhkan Klinik Raihana di Dungun, Terengganu melalui tajaan Mara.

Namun, klinik tersebut hanya bertahan selama­ empat tahun sehingga­ tahun 2019 kerana Dr Raihana akui ketika itu dia tiada ilmu dalam perniagaan dan keusahawanan.

Dedah anak ketiga ini, dia terpaksa menanggung kerugiaan sebanyak RM500,000 selain hampir diisytiharkan muflis pada akhir tahun 2018.

“Bila saya dah buka klinik, saya minta suami berhenti kerja untuk menjaga anak. Cabaran saya ketika itu adalah saya sebagai doktor dan dalam masa sama, saya juga yang menguruskan klinik. Ilmu perniagaan  memang tiada. Leadership pun tiada.

“Saya berhutang waktu itu mencecah RM500,000. Perasaan saya memang kecewa dan hampa.

“Suami bantu cari jalan untuk menyelesaikan (hutang), dia pinjam duit dengan kawan-kawan. Namun, masih belum boleh tampung kerugian.

“Akhirnya, saya nekad untuk menutup klinik sulung dan menjual dengan harga RM250,000,” ceritanya.

Kata Raihana, dia mula belajar memahami tentang diri sendiri, membetulkan misi, hala tuju dan impian yang ingin digapai ketika mengikuti beberapa sesi kelas anjuran Richworks.

Malah dia terpaksa bergolok-gadai atas kekakangan kewangan demi ilmu selain yuran kelas yang mahal.

Tambah wanita yang pernah tiga kali keguguran ini juga, dia mendidik diri untuk sentiasa bersedekah.

“Dulu sewaktu di klinik Raihana, sejujurnya saya tak bayar zakat. Saya tak tahu macam mana nak kira masa itu.

“Sekarang, saya selalu sedekah. Saya berpegang dengan kata-kata, ‘sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.’

“Kalau dapat keuntungan, kena sedekah  dan bayar zakat. Alhamdulillah, bulan pertama Efferty, kami mendapat hasil jualan sebanyak RM500,000,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Raihana, 39, menyatakan dia berhasrat untuk membuka sebuah madrasah di samping ingin membantu 1 juta pasangan suami isteri mendapatkan cahaya mata.

“Visi Efferty ini sebenarnya nak bawa kebahagiaan kepada kehidupan manusia lain. Kebahagiaan itu tak semestinya menimang cahaya mata saja.

“Contohnya, kalau bantu dia untuk mendapatkan kerja, itu sudah membawa kebahagiaan juga.

“Visi kami besar iaitu nak membina yayasan sendiri untuk pembinaan madrasah. Itu yang saya berdoa di depan Kaabah baru-baru ini.

“Saya kata, ‘Ya Allah Ya Tuhanku, percepatkanlah perjuangan aku nak bantu 1 juta pasangan menimang cahaya mata dan percepatkanlah aku membuka madrasahmu,’” katanya lagi.

Serentak dengan itu, perkongsian Dr Raihana nyata menuai komen-komen positif daripada warganet yang  rata-ratanya kagum serta terinspirasi dengan kisah hidup yang diceritakan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply