Pernah Tanggung Hutang RM500k, Dr Raihana Kongsi Kisah Gadai Barang Kemas & Hampir Muflis

Memiliki zuriat adalah impian bagi kebanyakan pasangan suami isteri, kerana anak-anak bukan sahaja melengkapkan sesebuah keluarga, tetapi juga menjadi punca kebahagiaan dan kebanggaan dalam kehidupan.

Gambar hiasan

Namun, perjalanan untuk mendapatkan cahaya mata bukanlah sesuatu yang mudah bagi semua orang. Bagi sesetengah pasangan, usaha untuk mendapatkan zuriat memerlukan kesabaran, kekuatan, dan kepercayaan yang tinggi, kerana mereka perlu menghadapi pelbagai cabaran dan ujian.

Pasangan yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat sering kali melalui pelbagai fasa emosi – daripada harapan yang menggunung kepada perasaan kecewa yang mendalam apabila usaha mereka belum lagi membuahkan hasil. Mereka mungkin telah mencuba pelbagai kaedah, sama ada melalui rawatan perubatan, alternatif, atau doa dan amalan rohani, dengan harapan agar satu hari nanti mereka akan dikurniakan zuriat yang diimpikan.

Nama Dr Raihana Ismail, pengasas syarikat Efferty International Sdn. Bhd. (Efferty) sememangnya tidak asing lagi terutama dalam kalangan pasangan suami isteri yang sedang berusaha menimang cahaya mata.

Namun, siapa pernah terlintas di fikiran, rupanya Dr Raihana menghidap disleksia ketika usianya enam tahun. Kongsi Dr Raihana, dalam lima orang adik beradik, dirinya paling lembab (slow learner) dalam pelajaran.

“Sebenarnya ada sebab kenapa saya selalu duduk di depan (dalam kelas Richworks).
Sebab masa kecil, saya adalah slow learner.

“Waktu itu saya ada masalah disleksia. Antara adik beradik, saya yang bangga bila orang tanya dapat nombor berapa dalam kelas.

“Saya cakap dapat nombor 28 sebab nombor itu banyak. Bukan bermaksud saya bangga sebab tak berjaya. Cuma saya tak faham lagi pada ketika itu.

“Apa yang ibu bapa saya terapkan adalah menyuruh saya duduk paling depan ketika dalam kelas.

“Ibu bapa saya merupakan seorang pendidik. Kakak-kakak saya semuanya pandai. Saya masuk darjah tiga baharu pandai mengira. Kemudian berjaya dalam UPSR. Berkat duduk depan,”katanya.

Tambah Dr Raihana lagi, abahnya yang juga merupakan seorang guru disiplin banyak mendidik dirinya agar sentiasa menepati masa.

“Abah saya adalah cikgu disiplin jadi dia latih saya untuk sentiasa menepati masa. Dulu, saya pernah bercita-cita nak jadi artis. Saya nak menyanyi dan berlakon. Tapi apabila tengok kakak-kakak jadi doktor, terus berubah fikiran sebab mak mesti lagi bangga (jadi doktor). Budaya  dalam keluarga sendiri yang mengubah diri saya,” ujarnya.

Dr Raihana berkongsi liku-liku kehidupan menerusi sesi Podcast Apa Cerita? yang dikendali oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin baru-baru ini.

Mengimbas kembali perjalanan sebelum Efferty ditubuhkan, Dr Raihana memulakan kerjaya profesional sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dari 2010 hingga 2012 sebelum melangkah ke Hospital Hulu Terengganu dari tahun 2012 hingga 2014 sebagai Ketua Ward Obstetrik dan Ginekologi.

Pada tahun 2015, Dr Raihana memegang peranan baru sebagai Pakar Am dan Pengarah dengan menubuhkan Klinik Raihana di Dungun, Terengganu melalui tajaan daripada Mara.

Namun, klinik tersebut hanya bertahan selama­ empat tahun sehingga­ tahun 2019 kerana Dr Raihana akui ketika itu dia tiada ilmu dalam perniagaan dan keusahawanan.

Kerugian Cecah RM500,000

Dedah anak ketiga ini, dek kerana minat dalam bidang perniagaan, dia pernah berhadapan dengan kerugiaan sebanyak RM500,000 selain hampir diisytiharkan muflis pada akhir tahun 2018.

“Bila saya dah buka klinik, saya minta suami berhenti kerja untuk menjaga anak.Cabaran saya ketika itu adalah saya sebagai doktor dan dalam masa sama, saya juga yang menguruskan klinik. Ilmu perniagaan saya memang tiada. Leadership pun tiada.

“Saya berhutang waktu itu mencecah RM500,000. Perasaan saya memang kecewa dan hampa.Suami bantu cari jalan untuk menyelesaikan (hutang), dia pinjam duit dengan kawan-kawan. Namun, masih belum boleh tampung kerugian.

“Akhirnya, saya nekad untuk menutup klinik sulung dan menjual dengan harga RM250,000,” ceritanya.

Tidak mudah berputus asa, anak kelahiran Muar, Johor ini mula mempelajari ilmu perniagaan dan keusahawanan anjuran Richworks International Sdn. Bhd.

“Suami hantar saya ke kelas untuk mencari ilmu. Masa itu kami tak ada duit, yuran kelas mahal. Jadi, saya terpaksa menggadai barangan kemas.

“Selepas itu, saya minta maaf kepada semua ahli keluarga termasuk ibu bapa dan suami kerana selalu tidak dengar cakap.

“Saya tak boleh ingat masa itu, that’s my turning point. Bila kita lebih merendah diri, rezeki Allah lagi masuk. Sebab apa yang sepatutnya kita kejar adalah akhirat.

“Ujian yang saya dapat sekarang sama macam turning point my life that time. Saya percaya ujian besar yang Allah bagi sekarang ini adalah rahmat yang besar. Saya terharu bila Allah pilih saya.

“Perjalanan hidup saya sangat best, macam novel Allah tulis. Kalau saya buat novel, mungkin boleh beri inspirasi kepada orang yang nak give up,” katanya dalam nada sebak.

Tiga Kali Keguguran

Tambah wanita yang pernah tiga kali keguguran, dia juga mendidik diri untuk sentiasa bersedekah.

“Dulu sewaktu di klinik Raihana, sejujurnya saya tak bayar zakat. Saya tak tahu macam mana nak kira masa itu. Sekarang, saya selalu amalkan bersedekah. Saya berpegang dengan kata-kata, ‘sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.’

“Kalau dapat keuntungan, kena sedekah dan bayar zakat.

“Alhamdulillah, bulan pertama Efferty, kami mendapat hasil jualan sebanyak RM500,000,” katanya lagi.

Bantu 1 Juta Pasangan Suami Isteri

Dalam pada itu, Dr Raihana, 39, menyatakan dia berhasrat untuk membuka sebuah madrasah di samping ingin membantu 1 juta pasangan suami isteri mendapatkan cahaya mata.

“Visi Efferty ini sebenarnya nak bawa kebahagiaan kepada kehidupan manusia lain. Kebahagiaan itu tak semestinya menimang cahaya mata saja. Contohnya, kalau bantu dia untuk mendapatkan kerja, itu sudah membawa kebahagiaan juga.

“Visi kami besar iaitu nak membina yayasan sendiri untuk pembinaan madrasah. Itulah doa saya di depan Kaabah baru-baru ini,”ujarnya penuh pengharapan.

Perkongsian yang dibuat Dr Raihana menuai komen-komen positif daripada warganet yang kagum serta terinspirasi dengan kisah hidupnya.

“Dari gelak, tetiba saya menangis sama. Best episod ini. Semoga hajat Dr Raihana dikabul Allah, amin.

“Banyak benda baru yang menginspirasi dari episod ini. Dr Raihana sangat merendah diri walaupun begitu banyak ilmu.

“Love Dr Raihana, penerangan yang sangat jelas.”

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply