Temasya anugerah berprestij bagi pencipta kandungan media sosial, Tiktok Awards 2024 melabuhkan tirainya pada Ahad lalu menyaksikan ramai wajah-wajah baharu sebagai penerima anugerah dari pelbagai kategori.
Bagi Tiktok Awards 2024 kali ini, terdapat dua penerima anugerah yang menekankan kepentingan melanjutkan pelajaran. Individu itu adalah seperti berikut:
Amin & Abid – Anugerah Kategori Education of The Year
Foto: Amin & Abid, pemenang anugerah kategori Education of The Year di Tiktok Awards 2024.
Pasangan kembar Muhammad Amin Othman dan Muhammad Abid Othman sememangnya dikenali dengan kreativiti mereka mencipta pelbagai barangan yang berguna.
Ketika sesi sidang media selepas menerima anugerah berkenaan, Abid mengakui yang kandungan media sosial yang bermanfaat akan bertahan lama jika dihasilkan dengan asas ilmu pengetahuan.
“Kalau kamu cepat naik, cepatlah kamu jatuh. Kalau kamu perlahan-lahan ambil pengalaman dan belajar daripada kandungan Tiktok, kamu akan lambat jatuh,” ujar Abid memetik pesanan seorang ustazah yang pernah menjadi guru mereka.
Selain itu, mereka juga memanfaatkan laman Tiktok mereka sebagai resume dan portfolio digital.
“Tiktok lah menjadi platform untuk kita tunjuk bakat kita, apa kemahiran kita kepada mata-mata yang memandang dekat luar sana,” jelas Amin.
Untuk rekod, Amin dan Abid merupakan graduan dari Universiti Teknologi Mara dalam bidang reka bentuk industri dan sedang menunggu tempoh istiadat konvokesyen.
Keputusan bagi penganugerahan kategori ini juga dibuat sepenuhnya berdasarkan penilaian juri.
Kingshahx – Anugerah Kategori Gaming Creator of The Year
Foto: Kingshahx, pemenang anugerah kategori Gaming Creator of The Year di Tiktok Awards 2024.
Berbeza dengan pemenang anugerah Gaming Creator of The Year, Kingshahx atau nama sebenarnya Muhammad Shafiq tidak memiliki sijil akademik institusi pengajian tinggi.
Walaupun begitu, dia sering berpesan kepada pengikut-pengikutnya agar mengejar kelayakan akademik setinggi yang boleh dahulu
“Kejar dulu, cuba belajar paling tinggi kalian boleh buat,” pesannya ketika sesi sidang media sejurus selepas menerima anugerah berkenaan.
“Sebab apa saya cakap macam ini? Itu adalah satu benda yang saya gagal, yang saya tak dapat bagi dekat mak saya sekarang,” tambahnya lagi.
Kingshahx mengakui terkilan kerana tidak berjaya membanggakan ibunya dengan pencapaian akademik
“Saya tak pernah naik pentas ambil diploma ke apa,” kongsinya.
Bagaimanapun, Kingshahx tetap bersyukur berpeluang menjejakkan kaki di pentas Tiktok Awards 2024 meraih anugerah tersebut.
Foto: Khairul Aming ketika memenangi anugerah Creator of The Year di Tiktok Awards 2023.
Terdahulu, ucapan kemenangan Khairul Aming ketika dinobatkan sebagai Creator of The Year di Tiktok Awards tahun lalu meraih pujian ramai.
Dia yang terkenal dengan perkongisan siri 30 Hari 30 Resipi setiap kali bulan Ramadan itu menyeru kepada anak muda agar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun bercita-cita untuk menjadi seorang pencipta kandungan media sosial,
Menurut Khairul, menjadi seorang pencipta kandungan bukan semudah yang dilihat. Selain mencipta video yang menarik di laman sosial, ia juga perlu memberi manfaat kepada penonton.
“Content creator ni satu industri yang sangat memerlukan banyak skill dan juga pengetahuan. Bukan setakat pandai buat video, kena ada problem-solving skill, kreativiti, kena pandai komunikasi, kena pandai jaga adab dengan orang,” katanya ketika ditemui media sejurus selepas memenangi anugerah tersebut.
“Bila dah ada ilmu yang cukup nanti, share lah sebanyak mungkin, buatlah video sebanyak mungkin. Ramai orang boleh ambil manfaat nanti,” tambahnya.
Baginya, menjadi seorang pencipta kandungan bukanlah sekadar untuk menjadi tular semata-mata.
“Untuk relevan lama dalam industri ini, awak (golongan muda) perlukan banyak pengetahuan… Jadi habiskan pembelajaran dan jadilah pelapis content creator yang bagus, yang boleh majukan negara kita, okay?”.
BACA: Khairul Aming Pesan Habiskan Belajar, Jadi Pelapis Content Creator Yang Bagus
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.