Sudah menjadi fitrah wanita untuk mahu kelihatan cantik, disebabkan itu hampir ebahagian besar wanita hari ini akan bersolek atau merias wajah terutama bila keluar dari ruah.
Akan tetapi dalam Islam, ada batasan yang perlu dijaga supaya kecantikan itu tidak melampaui syariat dan mendatangkan fitnah terutamanya kepada muslimah.
Jadi bagaimana cara bersolek yang dibenarkan dalam Islam. Penjelasan daripada Ustazah Asma’ Harun ini boleh dijadikan panduan buat Muslimah.
Hari ini ramai Muslimah berlebihan dalam solekan
Hari ini, ramai wanita Islam yang bertabarruj dengan solekan iaitu berhias secara berlebihan sepertimana orang-orang kafir dan wanita zaman jahiliyah. Ditambah lagi dengan adanya ‘trend- trend’ di media sosial yang membuatkan ramai wanita berlumba-lumba membuat content solekan, bahkan ramai tak perasan sebenarnya dia sedang mempamerkan kecantikannya secara terbuka dan bangga, sedangkan ia HARAM.
Islam membenarkan wanita untuk berpenampilan baik, indah, kemas, bersih dan sebagainya tetapi ada tuntutan syariat, jika bertabarruj seperti tabarruj jahilliyah, ia disebut LARANGAN SECARA JELAS dalam al-Quran.
Firman Allah SWT :
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.” (Surah al-Ahzab : 33)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya Tafsir al-Maraghi bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam.
Begitu juga, Imam al-Syaukani dalam Fath Qadir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) laki-laki.
Harus berhias berlebihan hanya untuk suami saja
Pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarruj sebagaimana yang telah digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan :
“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Rujukan: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)
Maka, kita ketahui bahawa perbuatan bertabarruj itu adalah merupakan kebiasaan wanita jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai alat-alat solek secara berlebihan ang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Inilah yang dilarang dan ditegah dalam agama.
Solekan perlu sederhana
Manakala, tidak mengapa sekiranya dalam isu memakai alat-alat solek atau lipstik (di luar rumah) sekadarnya atau sesederhana mungkin bukannya berlebihan, ia mestilah berwarna natural agar nampak kemas ,tidak dilihat selekeh, yakin tidak berlebihan, berseri sedikit dan tidak kusam, bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi.
Kesimpulan
- Memang bersolek adalah fitrah bagi wanita, tetapi perlu ada batasan yang mematuhi syariat. Wanita Muslimah perlu berhati-hati agar solekan tidak berlebihan yang sepatutnya dan menimbulkan fitnah.
- Bertabarruj, atau berhias secara berlebihan, dilarang dalam Islam. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menimbulkan fitnah dan melanggar adab berhias yang ditetapkan.
- HARAM Mengikuti trend solekan yang menyerupai orang kafir atau wanita jahiliyah. Mempamerkan kecantikan secara terbuka, terutamanya di media sosial, juga termasuk dalam larangan ini.
- HARUS berhias secara berlebihan hanya kepada suami. Berhias untuk selain suami adalah haram menurut ijma’ ulama.
- Dibenarkan solekan yang sederhana mungkin. (di luar rumah). Solekan yang natural, sekadar menampakkan penampilan kemas dan dengan syarat tidak menarik perhatian lelaki ajnabi.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.