Wasiatkan harta agar tidak diwarisi anak tertentu, berikut hukumnya

KETAHUI apa yang perlu dilakukan apabila ibu atau bapa mewasiatkan agar harta miliknya tidak diberikan kepada salah seorang anaknya yang sulung kerana tidak suka kepadanya. -Foto: Canva

SEBELUM meninggal dunia, seorang ibu atau bapa sempat mewasiatkan agar harta miliknya tidak diberikan kepada anak lelakinya yang sulung kerana tidak suka kepadanya.

Persoalannya, bolehkah kita melakukan demikian selepas kematian mereka?

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, seandainya si mati ada berwasiat supaya salah seorang anaknya tidak diberikan harta peninggalannya, maka wasiat itu tidak sah.

USTAZ AZHAR

Ini kerana katanya, antara syarat sah wasiat adalah ia mestilah bukan dalam perkara yang bercanggah dengan syarak.

“Syarak telah menetapkan bahawa anak si mati mewarisi hartanya sama ada dia suka atau tidak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.

Perkara itu selari dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH SWT telah memberi akan setiap empunya hak akan haknya, maka tiada wasiat bagi waris.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Berdasarkan hadis itu, agamawan tersebut menjelaskan, setiap waris bagi empunya harta telah ditentukan bahagian masing-masing oleh ALLAH SWT dalam al-Quran.

“Kitab suci umat Islam itu secara jelas memberi panduan tentang kadar harta yang bakal diperoleh mereka selepas kematian si pemilik harta.

“Maka empunya harta itu tiada hak menafikan waris daripada mendapat hak mereka masing-masing,” katanya.

Seperkara lagi, Ustaz Azhar Idrus mengingatkan, tidak sah mewasiatkan waris untuk mendapat lebih dari kadar yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

“Begitu juga tidak sah mewasiatkan supaya waris tidak mendapat haknya.

“Ini kerana wasiat yang menyatakan supaya waris tidak mengambil harta ialah wasiat yang memudaratkan waris. Maka, wasiat seperti ini adalah haram hukumnya.

“Malah, wasiat yang memudaratkan para waris atau sebahagian daripada mereka adalah haram dan berdosa,” terangnya panjang lebar.

SESIAPA yang menafikan atau menghalang perwarisan harta bagi seorang waris yang berhak seperti anak kandungnya, maka ia dikira dosa besar. -Foto: Canva

Pendek kata, jelas Ustaz Azhar, semua waris yang sah berhak mendapat bahagian harta si mati sama ada dirinya disukai atau tidak oleh si mati ketika hayatnya.

“Mengertilah, barang siapa yang menunaikan wasiat yang tidak sah, dirinya telah melakukan maksiat kepada ALLAH dan dosa ke atasnya serta si mati.

“Justeru, semua harta peninggalan si mati wajib dibahagikan semula dengan betul iaitu anak lelaki si mati yang sulung mendapat bahagiannya.

“Bagi waris-waris yang telah mendapat harta selepas pembahagian harta tidak sah ini, mereka wajib mengembalikan bahagian anak lelaki sulung tersebut. Jika mereka enggan, maka jadilah mereka orang yang makan harta orang secara haram,” ungkapnya.

Sementara itu, memetik artikel Al-Kafi #1623: Hukum Wasiat Melarang Sebahagian Anak daripada Perwarisan yang disiarkan menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pada dasarnya, tiada wasiat kepada waris kerana waris mempunyai hak tersendiri dalam bab perwarisan.

SEANDAINYA si mati ada berwasiat supaya salah seorang anaknya tidak diberikan harta peninggalannya, maka wasiat itu tidak sah. -Foto: Canva

Malah, sesiapa yang menafikan atau menghalang perwarisan harta bagi seorang waris yang berhak seperti anak kandungnya, maka ia dikira dosa besar.

“Termasuk dalam dosa itu sekiranya kita memberikan bahagian waris kurang daripada asal, menambah bahagian seseorang melebihi bahagian asal yang patut diterima atau memasukkan orang lain yang bukan waris sebagai salah seorang penerima harta warisannya.

“Begitu juga hukum bagi seorang ayah menafikan hak faraid salah seorang warisnya yang berhak terutama anaknya sendiri adalah haram dan dikira berdosa besar.

“Kami menasihati orang ramai agar berkelakuan adil dan taat kepada perintah ALLAH SWT dan Rasul-NYA dalam hal membahagikan harta kepada para warisnya yang berhak,” coretnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply