Remaja Menyamar Jadi Doktor: Dr Say Ajar Cara Kenal Pasti Doktor Palsu

Baru-baru ini, heboh berita mengenai seorang remaja perempuan yang menyamar sebagai doktor di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang menggunakan kad pengenalan palsu.

Susulan itu, doktor selebriti Dr Shazril Shaharuddin atau mesra disapa Dr Say tampil berkongsi cara untuk memeriksa kesahihan pentauliahan doktor untuk merawat pesakit jik anda mengesyaki mana-mana individu sebagai doktor palsu.

Bagaimanapun, panduan ini tidak boleh digunakan untuk memeriksa doktor gigi, doktor haiwan atau doktor falsafah (PhD).

Layari portal MeRITS

Foto: Tangkap layar laman web MeRITS.

Semudah membuat carian kata kunci “registered doctor” di laman Google, anda akan menemui MeRITS iaitu portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengandungi maklumat para pengamal perubatan bertauliah di Malaysia

Kemudian, masukkan nama individu yang anda ingin periksa. Tidak mengapa jika anda tidak mengetahui nama penuh. MeRITS akan menyenaraikan semua nama penuh individu yang mengandungi nama yang and acari.

Foto: Tangkap layar laman web MeRITS.

Setelah menemui nama individu yang anda cari, anda boleh melihat sama ada individu itu boleh merawat pesakit atau tidak.

Tekan nama individu berkenaan, kemudian anda perlu menatal paparan skrin ke bawah hingga anda menemui nombor dan tahun bagi Annual Practicing Certificate (APC).

Hanya doktor yang memiliki nombor APC ini sahaja yang layak untuk merawat pesakit.

Menurut Dr Say, anda boleh menemui tiga kategori individu menerusi carian di MeRITS.

Kategori 1: Miliki Ijazah Perubatan &  APC

Foto: Contoh rekod individu yang memiliki ijazah perubatan dan APC di laman MeRITS.

Menerusi hasil carian di MeRITS, anda boleh melihat jika individu tersebut mendapatkan ijazah perubatan dari institusi pengajian mana, tahun bila dan pemilikan APC nya.

Jika individu itu memiliki kesemua perkara tersebut, jelas dia adalah seorang doktor yang bertauliah dan boleh merawat pesakit.

Kategori 2: Miliki Ijazah Perubatan Tanpa APC

Foto: Contoh rekod individu yang memiliki ijazah perubatan namun tiada APC di laman MeRITS.

Ada juga individu yang memiliki ijazah sarjana muda perubatan namun tidak memiliki APC. Ini berkemungkinan individu berkenaan tidak menghabiskan tempoh latihan klinikal selepas graduasi (housemanship) atau pun tidak menghabiskan tempoh khidmat wajib.

Mereka yang tergolong dalam kategori ini masih boleh menggunakan gelaran doktor, namun tidak boleh merawat pesakit sama ada di klinik, hospital, atau pusat perubatan.

Kategori 3: Tiada Ijazah Perubatan & APC

Foto: Contoh rekod individu yang tiada ijazah perubatan dan APC di laman MeRITS.

Kategori yang ketiga ialah individu yang tiada langsung ijazah perubatan apatah lagi nombor APC.

Individu ini sah seorang doktor palsu. Oleh itu, anda boleh melaporkan segera kepada KKM sekiranya anda mendapati individu berkenaan berpakaian seragam doktor di klinik atau hospital.

Dengan panduan ini, mudah untuk anda memainkan peranan untuk membanteras golongan doktor-doktor palsu.

Ingat, semakin mereka galak menjalankan aktiviti haram mereka, semakin banyak nyawa yang akan diperjudikan.

Sumber: Instagram Dr Say Shazril

BACA: Dr Say Ajar Cara Mudah Uji Tanda Autism Pada Bayi


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply