Lenyapkan kezaliman walau sekadar gurauan

PERBUATAN tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja membawa kerosakan kepada mangsa, tetapi turut menjejaskan kesejahteraan masyarakat. -Foto: Canva

PENDERITAAN dihadapi Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain sukar diterima akal dan hati yang waras.

Tidak tertanggung keperitan dirasainya apabila didera dengan 90 tekapan seterika wap hampir keseluruhan badan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir tujuh tahun lalu.

Sebelum itu, arwah diseksa beramai-ramai menggunakan tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju. Semuanya kerana dakwaan mengaitkannya dengan kehilangan sebuah komputer riba.

Dalam kes lain, seorang lelaki retak tempurung kepala selepas dibelasah gara-gara menagih hutang RM300 daripada rakannya di Johor Bahru, Johor, minggu lalu. Ia berlaku hanya kerana menuntut haknya, dia dilayan sedemikian rupa.

Dua contoh itu cukup menggambarkan ketenatan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat. Norma itu sepatutnya menjadi amalan dan pegangan semua orang lebih-lebih lagi umat Islam.

Apatah lagi agama suci itu melarang keras umatnya berlaku zalim terhadap diri sendiri, sesama manusia dan makhluk ciptaan ALLAH SWT.

Mengapakah sifat kemanusiaan kini semakin terhakis? Benarkah orang yang zalim jauh daripada hidayah ALLAH SWT?

Perbuatan zalim dosa besar

Bagi menyelami topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, hati yang keras dan kering daripada nur iman serta takwa antara punca utama hilangnya sifat kemanusiaan.

“Apabila sifat belas ihsan dan kasih sayang sesama manusia tidak dipupuk atau diabaikan, ia boleh mengakibatkan seseorang bertindak zalim serta kejam. Begitu juga jika nafsu dibiarkan tanpa bimbingan iman.

“Walaupun solat dan ibadah dikerjakan, tetapi jika dilakukan tanpa penghayatan serta kesedaran mendalam tentang akhlak Islamiah, akhirnya ia sekadar menjadi ritual kosong yang tidak mampu membentuk peribadi mulia,” katanya baru-baru ini.

Ketahuilah bahawa zalim merupakan salah satu perbuatan dosa besar dalam Islam dan amat dikecam oleh ALLAH SWT serta Rasulullah SAW, ungkapnya.

Jelas ahli akademik itu, kezaliman dimaksudkan merujuk kepada tindakan seseorang yang menindas, menganiaya atau melanggar hak orang lain sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kehormatan atau aspek lain dalam kehidupan.

“Pelaku zalim ialah mereka yang melampaui batas-batas ditetapkan ALLAH SWT, sekali gus merosakkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Lebih parah lagi, ujar Ustazah Sharifah Fadylawaty, perbuatan tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja membawa kerosakan kepada mangsa, tetapi juga pelakunya bakal berhadapan pembalasan amat dahsyat di akhirat kelak.

BERGURAU pun ada batasnya dan elakkan senda yang menyakitkan hati, merendahkan maruah atau menyebabkan kesusahan kepada orang lain. -Foto: Canva

Ia sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang mempunyai (melakukan) kezaliman kepada saudaranya, hendaklah dia membebaskan dirinya daripada kezaliman tersebut (meminta maaf) kerana sesungguhnya (pada hari kiamat) dinar dan dirham tidak akan memberi manfaat sedikit pun, sebelum amalan kebaikannya diambil untuk saudaranya (bagi menebus kezaliman yang dilakukan). Jika dia tidak mempunyai kebaikan lagi, maka akan diambil kejahatan yang dimiliki saudaranya dan dilemparkan ke atasnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Sukar dapat hidayah ALLAH

Suatu fakta perlu diketahui, tegas Ustazah Sharifah Fadylawaty, orang zalim sukar untuk mendapat hidayah atau petunjuk dan bimbingan daripada ALLAH SWT kerana sifat itu menjadi penghalangnya.

“Masakan tidak, orang yang melakukan kezaliman sering mempunyai hati yang keras dan tertutup daripada kebenaran. Mereka sukar menerima nasihat atau pengajaran baik kerana hati dipenuhi kebencian, dendam dan keangkuhan,” terangnya.

Kepada satu soalan, pensyarah itu menjawab: “Islam mengajar bahawa kezaliman boleh membawa kepada pelbagai bentuk musibah dan malapetaka sama ada di peringkat individu mahupun masyarakat.

“Bahkan, penganiayaan itu juga mengundang balasan daripada ALLAH SWT. Lihat begitu banyak ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa sifat itu membawa kepada kehancuran dan azab.

“Antaranya kaum ‘Ad dan Thamud, masing-masing dihancurkan angin ribut sangat kuat dan gempa bumi dahsyat. Ini kerana kezaliman mereka terhadap nabi yang diutus dan keengganan untuk menerima kebenaran.”

KETAHUILAH bahawa zalim merupakan salah satu perbuatan dosa besar dalam Islam dan amat dikecam oleh ALLAH SWT serta Rasulullah SAW. -Foto: Canva

Dalam pada itu, Ustazah Sharifah Fadylawaty menegaskan, kezaliman akan membawa kesan buruk yang nyata di akhirat kelak sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Imam Muslim.

“Hadis itu menunjukkan, kezaliman dilakukan di dunia akan dibalas dengan kegelapan pada hari kiamat. Kegelapan itu merujuk kepada pelbagai bentuk kesukaran, hukuman dan kesengsaraan yang akan dialami pelakunya.

“Ia merupakan peringatan agar kita menjauhi kezaliman dan ketidakadilan terhadap makhluk baik dari segi jiwa mahupun harta,” hurainya.

Justeru, penceramah itu mengingatkan agar kita tidak menganiaya orang lain walaupun sekadar bergurau.

Ingatlah, gurauan yang menyakitkan hati, merendahkan maruah atau menyebabkan kesusahan kepada orang lain adalah suatu bentuk penganiayaan yang perlu dielakkan.

“Apabila kezaliman dalam bentuk gurauan dinormalisasikan, ia boleh merosakkan akhlak dan moral, selain hati menjadi keras. Bahkan boleh membawa kepada dosa lebih besar dan akhirnya menjauhkan diri daripada rahmat ALLAH SWT,” titipnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply