6 Tip Ubahsuai BILIK AIR Nampak Menarik Walaupun Bajet Kecil

Tip Ubahsuai BILIK AIR Rumah Nampak Cantik Dengan Bajet Kecil. Bilik air antara ruang yang perlu dititik beratkan oleh pemilik kediaman. Ia ibarat ‘cerminan wajah’ buat seisi rumah, yang bukan sahaja perlu bersih namun selesa dan cantik.

Ada beberapa cara mudah untuk merubah suasana bilik air kediaman meskipun dengan bajet yang terhad dan kecil namun dapat meningkatkan lagi fungsi dan keselesaan pada ruang ini. Ini antara yang boleh dilakukan oleh pemilik kediaman pada ruang bilik air.

1. Pasang Pintu Bilik Air Baru

Perhatikan pintu bilik air sama ada masih elok atau perlu ditukar. Jika telah berkarat, pecah, berlubang, sukar untuk dibuka atau ditutup, sebaiknya tukar kepada pintu bilik air yang baru. Pemasangan pintu bilik mandi yang baru dan sesuai boleh memberikan nafas baru kepada ruang ini.

Terdapat pelbagai jenis kemasan bagi pintu bilik air ini bileh dipilih mengikut bajet. Antaranya seperti pintu jenis PVC tahan air atau pintu kaca yang nampak lebih moden dan elegan. Namun pastikan sistem penguncian pintu baru mestilah lebih selamat dan mesra pengguna.

2. Pasang Cermin Bilik Air Besar

Cermin memainkan peranan penting dalam membantu memberikan ilusi yang lebih luas, terang dan lapang, sekaligus menjadikan ruang ini lebih selesa digunakan. Untuk menambah kesan visual, cermin boleh dipasang di atas sinki atau di dinding yang paling banyak mendapat cahaya untuk memaksimumkan efek pantulan.

3. Pasang Tingkap Baru

Pemilihan tingkap yang sesuai bagi ruang bilik air sangat penting. Pemasangan tingkap berbingkai PVC yang mudah dijaga tak mudah berkarat, atau tingkap kaca frosted boleh memberikan privasi sambil membiarkan cahaya masuk.

Cahaya semula jadi dari tingkap boleh ‘mengeringkan’ bilik air dengan cepat, mencerahkan bilik mandi dan membantu menjadikannya kelihatan lebih luas dan bersih. Bukan itu sahaja, pencahayaan dari luar ini juga dapat dimanfaatkan dengan mengurangkan kebergantungan kepada lampu elektrik sekaligus dapat menjimatkan bil elektrik kediaman. Aliran udara dan cahaya juga dapat dikawal mengikut keperluan.

4. Tukar Kelengkapan Tandas Yang Baru

Tukar kelengkapan tandas lama yang mempunyai kotoran sukar ditanggalkan, kesan berkarat, warna kusam kekuningan,pecah dan sebagainya kepada set kelengkapan yang baru yang tahan lasak dan lebih mudah diselenggara. Terdapat pelbagai jenis material yang boleh dipilih mengikut kesesuaian bajet pemilik kediaman. Contohnya tukar sinki, mangkuk tandas, bidet, ‘shower’, rel penyangkut tuala, rak mandian dan sebagainya. Ia dapat merubah seri ruang secara automatik.

5. Tukar Lampu Baru

Reka bentuk lampu yang unik dan pencahayaan lampu yang sesuai dapat menambah elemen dekoratif menjadikan ruang bilik air tampak lebih menarik. Terdapat pelbagai jenis pilihan lampu yang ada. Boleh pertimbangkan pemasangan lampu LED yang lebih menjimatkan tenaga elektrik. Pemilihan warna lampu pula seperti ‘warm’ kekuningan untuk suasana hangat atau putih untuk mencipta suasana lebih segar.

6. Tukar Warna Cat

Tukar warna cat pada dinding dan siling bilik air, merupakan cara mudah dapat merubah suasana dan ‘mood’ pada ruang tersebut. Cat berwarna cerah seperti putih, beige, kuning air dan biru lembut dapat mencipta suasana lapang dan luas pada bilik air. Manakala cat dengan rona gelap dapat menjadikan ruang bilik air yang besar lebih estetik dan seimbang keluasannya. Namun paling penting, pilih cat kalis air dan tahan kelembapan serta boleh mencegah kulat atau pengelupasan cat yang sering berlaku di persekitaran yang lembab.

Semoga Bermanfaat!

Mesti Baca: KESAN KUNING Pada Jubin Bilik Air Hilang, Cuma Sembur & Biar 15 Minit Tanpa Perlu Sental!
Baca Lagi Di Sini:CUKA Sangat Berkesan Membersih, Hasilnya Lantai, Cermin, Bilik Air Semua Berkilat!
Artikel Menarik:Mop Guna AIR PANAS, Kotoran Cepat Hilang, Lantai Licin Berkilat Tak Berbau!

IMPIANA: Jadi bagi yang nak ‘ubah wajah’ dan tukar suasana pada ruang bilik air namun memiliki bajet yang kecil atau terhad, boleh ikut panduan yang dikongsikan ini.

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply