“SAYA dah tak nak hidup dah. Kalau hidup pun sengsara, baik saya mati sahaja!”
Dialog sebegini biasa diungkapkan oleh mereka yang sudah berputus asa dengan kehidupan.
Kesusahan keluarga, tekanan ekonomi, kesukaran hidup, kekurangan sumber dan faktor-faktor lain menjadi punca seseorang berani berfikiran suicidal (berniat untuk membunuh diri).
Trend membunuh diri sebegini dilihat semakin mencanak naik saban tahun.
Terdapat peningkatan kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2021 di Malaysia iaitu sebanyak 1,142 kes berbanding 631 kes pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 81 peratus berdasarkan data daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi tahun 2022 pula sehingga bulan Jun, sejumlah 467 kes dilaporkan PDRM.
Di Kelantan, setakat artikel ini ditulis, sudah tiga kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri direkodkan dan kes yang ke-17 direkodkan sejak tahun 2021 seperti dilaporkan media.
Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan seorang wanita yang cuba terjun ke Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, Pasir Mas kerana ingin menamatkan kesengsaraan hidupnya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin merujuk kes kejadian bunuh diri berkata, antara jambatan yang paling kerap dijadikan lokasi mangsa terjun di Kelantan adalah Jambatan Sultan Yahya Petra (9 kes), Jambatan Tendong (3), Jambatan Salor (2), manakala masing-masing satu kes di Jambatan Wakaf King, Jambatan Tok Bali dan Jambatan Pak Nik Lah.
Disebabkan angka yang begitu banyak cubaan membunuh diri dari jambatan-jambatan ini, ramai yang mula membawa cerita bahawa di sana ada penunggu yang memanggil mangsa untuk terjun dan kerana itulah mangsa bunuh diri di situ ramai.
Suara yang seakan-akan menarik mangsa untuk terjun membunuh diri dan menamatkan kesengsaraan yang dirasai itu dikatakan benar-benar wujud di jambatan-jambatan tersebut.
Di dalam isu ini, Islam telah menggariskan beberapa garis panduan yang boleh diikuti:
1 – Semua perkara ghaib memerlukan sandaran dalil yang kukuh untuk dipercayai.
Apa sahaja berita, cerita dan buah mulut yang berlegar melibatkan perkara-perkara ghaib seperti hantu, penunggu jambatan, malaikat, jin dan lain-lain maka ia kekal sebagai berita atau buah mulut yang sensasi sahaja, tanpa diletakkan kepercayaan bahaya ia suatu kebenaran.
Perkara ini sangat bersesuaian dengan ayat al-Quran yang direkodkan di dalam ayat ke-85 surah al-Isra’ ketika Nabi Muhammad SAW ditanya berkenaan roh (perkara ghaib) maka ALLAH SWT meminta Baginda menjawab:
“Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku. Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
Nabi Muhammad SAW yang merupakan manusia yang paling sempurna dan paling dicintai oleh ALLAH pun tidak diberikan kelebihan mengetahui perkara ghaib melainkan apa yang diwahyukan kepadanya, apatah lagi manusia biasa. Inilah hakikat yang perlu difahami.
2 – Kerja hakiki syaitan adalah menyesatkan anak adam sehingga kiamat.
Syaitan sentiasa bertugas. Tugasannya kekal sama semenjak zaman Nabi Adam AS sehingga manusia dibangkitkan (pada Hari Kiamat) iaitu menyesatkan manusia.
Janji Iblis yang dimeterai di hadapan ALLAH dahulu terpahat di dalam al-Quran di dalam ayat ke-82 dan ke-83 surah Sad:
“Iblis berkata, Demi kekuasaan-MU (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya.
“Kecuali hamba-hamba-MU di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan.”
Syaitan lebih suka manusia tenggelam dalam lembah kesyirikan, lautan dosa dan kemaksiatan serta kegelapan kesesatan kerana semua ini merupakan bukti kejayaan ‘dakyah’ mereka bagi sekalian anak Adam.
Bisikan, ajakan, dan dorongan yang bermain di minda saat manusia menghadapi segala kesukaran hidup merupakan permainan syaitan yang cuba menyesatkan manusia dari jalan yang benar.
Jika dituruti, maka natijah akhirnya adalah neraka dan kesengsaraan azab ALLAH yang dasyat.
Bisikan-bisikan inilah yang menolak manusia untuk melakukan segala kejahatan, termasuklah membunuh diri yang terang-terangan dilarang keras di dalam agama.
3 – Terima qada’ dan qadar (ketentuan) ALLAH dengan hati yang reda.
ALLAH MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG. Segala kesusahan yang ditimpakan ke atas hamba-NYA adalah kesusahan yang mampu ditanggung oleh hamba tersebut. DIA berfirman di dalam ayat ke-286 surah al-Baqarah:
“ALLAH tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
ALLAH tidak pernah menzalimi hamba-NYA walau sebesar zarah kerana ia berlawanan dengan sifat ALLAH yang MAHA ADIL.
ALLAH telah menyatakan hakikat ini melalui firman-NYA di dalam ayat ke-40 surah an-Nisa’:
“Sesungguhnya ALLAH tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi dari sisi-NYA pahala yang amat besar.”
Nabi Muhammad SAW juga telah meninggalkan sebuah kaedah yang sangat indah di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda bersabda:
“Berusahalah lakukan apa yang memberi manfaat kepadamu dan mintalah pertolongan kepada ALLAH dan jangan kamu gagal (berputus asa). Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah kamu berkata: ‘Seandainya aku berbuat begini-begini, pasti begini-begini’, tetapi katakanlah: ‘ALLAH telah menetapkannya dan apa yang DIA kehendaki dan DIA akan lakukan. Sesungguhnya (perkataan) jika akan memulakan kerja syaitan”.
Segala ketentuan ALLAH, baik atau buruk yang menimpa kita, maka ia adalah apa yang ALLAH kehendaki berlaku ke atas kita.
Terimalah ia dengan hati yang reda dan berusahalah memperbaiki segala kekurangan kita.
Mohonlah pertolongan kepada ALLAH dan jangan sesekali kita berputus asa dari rahmat ALLAH kerana tali-NYA adalah sumber kekuatan kita.
Benar, ujian kehidupan di dunia berat untuk ditanggung, tetapi ingatlah, rahmat dan kasih sayang ALLAH itu luas dan sentiasa meliputi kita.
Berdoalah, bertawakkallah dan percayalah bahawa ALLAH amat sayang kepada kita selagi mana kita beriman kepadaNya. Bunuh diri bukan pilihan, tetapi ia adalah sebuah larangan!
***USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI MD YUSNAN merupakan Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.