Benarkah kata-kata yang keluar dari mulut ibu satu doa?

SIAPA pun kita tidak kiralah ibu, ayah, anak dan sebagainya, sememangnya umat Islam diajar supaya menjaga tutur kata masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

KERAP kali kita mendengar orang di sekeliling menyatakan kata-kata ialah satu doa. Lebih-lebih lagi apa yang dituturkan dari mulut seorang ibu terhadap anaknya.

Disebabkan itulah ramai yang berwaspada apabila mengungkapkan perkataan supaya tidak terlepas sesuatu yang kurang enak didengar.

Apatah lagi doa seorang ibu sememangnya tiada hijab. Ia mustajab dan akan dikabulkan oleh ALLAH SWT.

Bagaimanapun, benarkah semua kata-kata yang keluar dari mulut ibu sebenarnya suatu doa? Adakalanya mereka tiada niat berkata yang buruk kepada anak masing-masing. Hanya sekadar memberi nasihat sahaja dan memberi peringatan agar permata hatinya tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, sememangnya doa seorang ibu dimakbulkan oleh ALLAH SWT.

BUKAN semua kata-kata dari mulut ibu ialah doa. Ada yang bersifat nasihat, pesanan, teguran, amaran dan sebagainya. -Foto: Canva

Ia sebagaimana dinyatakan menerusi sabda Rasulullah SAW: “Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa orang tua kepada anaknya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) “Riwayat itu menyebut bahawa doa yang baik-baik daripada ibu bapa kepada anaknya termasuk doa yang mustajab.

“Mengertilah, bukan semua kata-kata dari mulut ibu ialah doa. Ada yang bersifat nasihat, pesanan, teguran, amaran dan sebagainya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel yang disiarkan dalam laman web emusykil.muftiselangor.gov.my.

Benar, adakalanya ada anak melakukan kesalahan atau perkara membahayakan diri dan tidak sedar akan natijahnya.

Jabatan Mufti Negeri Selangor memberitahu, pengalaman seorang ibu boleh dijadikan sebagai ingatan kepada anak itu.

“Bukanlah niat ibu untuk menimpakan sesuatu yang buruk kepada anak-anak. Hanya peringatan diberikan agar setiap anak berwaspada.

UCAPAN itu boleh menjadi doa lebih-lebih lagi jika ia disebut ketika waktu mustajabnya doa. -Foto: Canva

“Sesuatu perkara yang buruk itu tidak akan berlaku melainkan dengan keizinan daripada ALLAH SWT,” coretnya.

Dalam pada itu, jabatan mufti tersebut menasihatkan agar ibu sentiasa beristighfar kepada ALLAH SWT jika tersilap dalam ucapannya terhadap anak-anak.

Pada masa sama, amalkanlah doa sebagaimana diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sayyid Al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya ALLAH, ENGKAU ialah Rabbku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan ENGKAU. ENGKAU yang menciptakan aku dan aku ialah hamba-MU. Aku di atas perjanjian-MU dan janji-MU sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-MU dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-MU kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-MU, maka ampunilah aku. Ini kerana tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan ENGKAU.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Sementara itu, pendakwah Ustaz Abu Bakar Ali As-Sudani menjelaskan, manusia pada asasnya menuturkan dua jenis ungkapan.

USTAZ ABU BAKAR

Pertama, ia melibatkan perkataan biasa sama ada berunsur baik atau tidak. Sebagai contoh, ayat kita mahu makan, ke mana-mana dan sebagainya.

Kedua, ungkapan berunsurkan saranan, dorongan dan tegahan.

“Kadangkala ia boleh dikategorikan kepada ungkapan yang berunsur doa. Jadi benarlah jika ada orang yang mengatakan bahawa kata-kata itu ibarat satu doa,” katanya ketika ditemubual Sinar Islam Plus sebelum ini.

Beliau kemudian menceritakan tentang Rasulullah SAW yang pernah menukar nama seseorang daripada yang buruk kepada lebih elok.

Menerusi hadis daripada Ibnul Musayyib daripada bapanya bahawa datuknya bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, lalu Baginda bertanyakan tentang namanya.

Apabila dimaklumkan bahawa namanya Hazan (dukacita), katanya, Baginda SAW lantas mengubahnya kepada nama Sahal (mudah atau senang).

Bagaimanapun, Hazan ingin nama yang telah diberikan oleh orang tuanya itu dikekalkan. Sejak itu, kesedihan sentiasa menimpanya.

“Melihat hadis itu, jelaslah bahawa kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu ialah suatu doa. Apatah lagi jika ia merupakan ungkapan tidak elok.

IBU bapa dinasihatkan agar tidak bermudah-mudahan menuturkan ungkapan tidak elok kepada anak masing-masing kerana besar kesannya terhadap mereka. -Foto: Canva

“Sama juga halnya apabila kita mengungkapkan perkataan contohnya merungut tiada duit. Suka saya ingatkan, usahlah sebut begitu sekalipun memang kita tiada wang. Ini kerana ia ditakuti akan berlaku kepada kita kelak.

“Ingatlah, ucapan itu boleh menjadi doa lebih-lebih lagi jika ia disebut ketika waktu mustajabnya doa. Itu yang amat ditakuti,” ungkapnya.

Lantaran itu, penceramah itu mengingatkan agar ibu bapa tidak bermudah-mudahan menuturkan ungkapan tidak elok kepada anak masing-masing.

“Begitu besar kesannya terhadap anak-anak. Oleh sebab itu, fikirlah sebelum bercakap dan bertindak. Jangan menyesal pada kemudian hari akibat lidah tidak bertulang ini,” titipnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply