Tiga finalis program realiti, Gimme The Mic Malaysia berjaya menawan hati para juri dan penonton dengan persembahan yang cukup gah daripada mereka menerusi saingan minggu ketiga yang bersiaran secara langsung dari Auditorium CIDB, Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.
Masing-masing berjaya melayakkan diri pada kedudukan enam teratas, yang menyaksikan tiada penyingkiran dilakukan.
Ketiga peserta tersebut iaitu Raes Arifin, Ameerais Azhar dan Farhan Mustapha pastinya mempunyai hasrat yang ingin dicapai untuk melakar nama dalam industri seni tempatan seteursnya mencari peluang bersaing di Gimme The Mic Global mewakili negara!
Raes Arifin mahu keluar dari zon selesa, pernah alami ‘anxiety’
Peserta asal Kuala Lumpur, Raes Arifin tidak pernah menyangka akan terpilih sebagai salah seorang finalis bagi program realiti ini.
Bagaimanapun, dia percaya rezeki dan baginya, Gimme The Mic merupakan platform terbaik untuk dirinya keluar daripada zon selesa.
“Saya sebenarnya pertama kali menyertai program realiti sebesar ini dan Alhamdulillah menerima respon baik setakat ini. Apa Sahaja kritikan yang diterima, saya anggap ia sebagai motivasi untuk terus berkarya dan teroka apa lagi bakat terpendam yang saya ada.
“Sebelum ini, saya mengalami kerisauan melampau (anxiety), jadi saya banyak terperap dalam bilik. Lalu, platform ini menjadi yang pertama saya sertai, pemangkin semangat untuk saya ketengahkan bakat nyanyian.
“Selain itu, ia membantu saya dalam membina keyakinan diri berinteraksi dengan orang lain misalnya bersama rakan peserta, barisan juri dan penonton,” katanya.
Dalam pada itu, Raes juga gemar menulis lirik lagu dan menjadikan komposer terkenal, Ajai sebagai sumber inspirasinya.
“Hobi saya memancing bersama ibu dan selain itu, saya juga gemar menyanyi dan mencipta lagu. Saya rapat dengan ibu dan bila sertai Gimme The Mic, ada seseorang yang beri galakan. Inilah hasilnya, saya pun tak menjangka sudah berada ke tahap ini,” katanya.
Dia pada masa sama turut memasang impian untuk mempunyai lagu sendiri, menyampaikan mesej mengenai kesihatan mental.
Lebih 14 tahun dalam seni, Ameerais Azhar tiada masalah bersaing dengan bakat baru
Sementara itu, penyanyi Ameerais yang juga salah seorang ahli Forteen memaklumkan program Gimme The Mic menjadi landasan baharu baginya dalam mengetengahkan sisi sebenar di dalam diri.
lebih sedekad dalam dunia nyanyian, ia bukan alasan kepada peserta berusia 34 tahun ini untuk sama-sama bersaing dengan bakat baharu lainnya.
“Sebelum ini saya dikenali sebagai Ameer Forteen. Saya masih lagi bersama kumpulan tersebut cuma kali ini, rasanya tak salah untuk saya teroka sisi lain dalam diri di samping lebih fokus dalam hala tuju secara solo.
“Ibarat seperti dilahirkan kembali ke dunia muzik. Walaupun saya mungkin ada pengalaman lebih berbanding peserta lain, namun sebelum ini saya sinonim buat persembahan secara berkumpulan.
“Kali ini situasi memang berbeza. Jadi, inilah diri saya yang sebenar, ‘this is Ameerais.’,” katanya.
Ditanya sebab dia berminat untuk menyertai program ini, Ameerais ada jawapan tersendiri.
“Tak dinafikan, ramai individu berbakat yang boleh kita lihat menerusi platform TikTok. Oleh itu, mengapa tidak untuk saya cabar diri, melihat sejauh mana boleh pergi bila bersaing dengan orang lain secara solo.
“Biar ada yang kata saya sudah pun 14 tahun bergelar penyanyi, tapi sekali lagi saya nak ingatkan, sebelum ini saya bergerak dalam kumpulan. Jadi, ini ‘rebranding’ untuk saya juga,” jelasnya lagi.
Menjadikan penyanyi legenda, M. Nasir sebagai idola, Ameer akui dia mengambil sisi yang baik dalam hal berkaitan corak persembahan bintang legenda itu sebagai inspirasi sepanjang pertandingan.
Terdahulu, Ameerais menduduki tangga ketiga minggu ini dengan meraih markah sebanyak 63.74%, menyampaikan lagu Arjuna dendangan asal Dewa 19.
Farhan Mustapha dari cover lagu di TikTok ke pentas skala besar
Bagi Farhan Mustapha pula, dia menyifatkan fasa peralihan daripada hanya membuat ‘cover’ lagu di TikTok sehingga terpilih untuk bersaing secara langsung menerusi Gimme The Mic sebagai satu rezeki dan pencapaian besar.
Mempunyai karakter unik dan menarik, Farhan juga banyak mengutip inspirasi dengan menonton persembahan penghibur dari negara jiran.
“Sebelum ini, saya pernah ikuti pertandingan lain namun saya lebih dikenali apabila banyak melakukan hantaran ‘cover’ lagu di platform TikTok.
“Malah sejak kecil, saya banyak belajar nyanyian daripada penyanyi dari Seberang iaitu Charlie Setia Band. Suaranya tidaklah tinggi mana, tapi apa yang mahal adalah soal penghayatannya. Itu yang saya cuba belajar.
“Tak kira sekiranya kena bawa lagu rancak atau perlahan, saya akan tekankan kepada penghayatan kerana kita tahu apabila kita tidak dapat sampaikan dengan baik, ia mungkin sebab penonton tak dapat ‘rasa’.
“Apa pun, saya tak boleh nak janjikan apa-apa sebab dalam ini semuanya berbakat. Pegangan minda saya adalah, apa sahaja lagu yang diberi saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Tampil berbeza dengan menyampaikan lagu genre dangdut Ahad lalu, Farhan cuba untuk keluar dari zon selesa biarpun ia sesuatu yang sukar untuk dibawakannya.
“Sejujurnya saya terharu apabila berada di kedudukan pertama minggu ini memandangkan saya tak pernah bawa lagu rancak setakat ini. Syukur bila dapat komen positif para juri.
“Perancangan saya selepas ini adalah untuk seimbangkan antara penyanyi dan konten sebab kita tak tahu rezeki selepas ini. Jadi, saya ingin seimbangkan dua perkara itu dalam persembahan,” katanya lagi.
Farhan berada di posisi teratas dengan markah sebanyak 66.77%, sekali gus dinobatkan sebagai penerima Gimme TwoMee Awards minggu ketiga.
Juara TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, kira-kira RM9,300 (AS$2,000) daripada Tiktok selain tawaran projek lagu single tajaan Astro dan Rocketfuel.
Sementara Enam peserta terbaik pula bakal dipilih mewakili Malaysia untuk bersaing dalam saingan Gimme The Mic Global bersama peserta negara lain seluruh dunia.
Kesemua peserta diadili juri tetap iaitu Ajai, Yuna, Hael Husaini dan BCL dari Indonesia.
TikTok LIVE Astro Gimme The Mic Malaysia bakal bersiaran selama lapan minggu setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria dan On Demand. Penonton juga boleh strim di Astro Go dan sooka.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.