Buat mak ayah, bila anak dah kahwin anda kena belajar ‘melepaskan’ untuk anak menantu belajar buat keputusan dalam hidupnya.
Sebab jika terlalu masuk campur, risau anak menantu rasa tak selesa dan hal kecil pun boleh buat gaduh suami isteri.
Bila Anak Dah Kahwin
Salah satu masalah rumah tangga, ada mentua tak boleh nak ngam dengan menantu sebab kononnya perangai mereka itu tak seperti yang dibayangkan.
Maklumlah, tengok anak menantu orang lain, elok perangainya tetapi kita sendiri tak bahagia. Lagi teruk, bila anak menantu ada masalah, mentua hanya back up anaknya. Yang buruk-buruk, katanya itu bukan dari belah keturunannya!
Allahu… malanglah menantu yang mempunyai mentua sedemikian rupa. Tidak semua mentua bersikap seperti ini tapi ada. Untuk renungkan bersama, jemput baca perkongsian daripada saudara Firdaus Shakirin ini.
Biar Ada Batasnya Untuk Campur Tangan
Kepada yang bergelar ibu mertua, anda patut tahu batasan anda untuk mencampuri urusan rumah tangga anak anda. Hak untuk masuk campur tu hanya dibolehkan dengan tujuan menasihati anak menantu agar hubungan mereka tak berakhir dengan penceraian, bukan membuatkan mereka bercerai.
Menasihati… mengajar… membimbing… ingat mengingati akan tanggung jawab untuk satu sama lain.
Dan bukannya ingin mengetahui apa yang anak menantu tengah buat, ingin mengetahui ke mana anak menantu ingin pergi, cuba membanding-bandingkan cara menantu dan cara dirinya, cuba mencari salah menantu, sukar untuk menerima seadanya diri menantu itu.
Menantu yang hadir dalam hidup seorang mertua itu adalah orang yang menjadi pilihan anaknya. Bila anaknya mengahwini orang tersebut, dengan izin dan redha dari mertua itu sendiri, maka mertua perlulah berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menerima kehadiran “orang baru” dalam keluarga kita.
Dia mungkin tak seperti yang kita jangka, tapi dia PILIHAN ANAK KITA. Jangan anggap dia macam ORANG LUAR.
Bagi Anak Uruskan Rumah Tangganya
Mertua yang campur tangan dalam rumah tangga anak-anaknya ini bukanlah satu urusan yang mudah untuk ditangani. Mertua yang baik kefahaman agamanya, akan membiarkan anaknya menguruskan dan mengendalikan rumah tangganya sendiri tanpa perlu campur tangan dari dirinya. Dia hanya akan mengingatkan anaknya supaya menghargai isteri, ingat pengorbanan isteri, jangan sia-siakan isteri KERANA dia juga seorang isteri. Dia lebih tahu apa yang seorang isteri mahukan dari seorang suami.
Biasanya orang berkahwin dengan harapan untuk membentuk keluarganya sendiri dan bukannya mertua yang membentuk keluarganya menjadi seperti yang dikehendaki mertua. Mentua, tolong belajar untuk menerima hakikat ini.
Jangan terlalu masuk campur dalam urusan rumah tangga anak menantu. Jangan rosakkan rumah tangga anak-anak disebabkan JAHILnya diri kita menjadi seorang mertua.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.