Pelajar Politeknik Muadzam Shah Harumkan Nama Negara! Izzul Zafran Dinobat Juara Pertandingan Adobe Certified Professional World Championship 2024!

Baru-baru ini, seorang pelajar Politeknik Muadzam Shah, Pahang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa apabila mendapat tempat pertama dalam pertandingan Adobe Certified Professional  World Championship 2024 yang diadakan di California, Amerika Syarikat.

Pelajar semester 5 Diploma Rekabentuk Grafik, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Izzul Zafran Abd Razak menewaskan 47 peserta daripada 40 negara untuk membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai US$8,000 (RM36,170), sijil, medal dan trofi kemenangan.

Izzul telah menghasilkan poster bertajuk Digital Skills for A Sustainable Future menggunakan aplikasi Adobe Creative Cloud dalam kejohanan dunia yang berlangsung pada 28 hingga 31 Julai lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihak kementerian akan memberikan penghargaan bersesuaian kepada Izzul Zafran sebagai menghargai usahanya dalam mengharumkan nama negara.

 

“Saya fikir ini satu pencapaian yang amat baik dari segi akademik dan kita akan cuba cari kaedah bagaimana pelajar ini boleh berkongsi pengalaman untuk dijadikan sumber inspirasi kepada pelajar lain”

Tambah beliau, kejayaan Izzul wajar dijadikan contoh kepada pelajar lain untuk meningkatkan prestasi masing-masing dan mengharumkan nama negara terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasionnal (TVET).

Sekadar info, pertandingan tahunan itu terbuka kepada pelajar berusia 13 hingga 22 tahun di seluruh dunia bagi membuktikan kemahiran dan kecekapan mereka menggunakan perisian Adobe Creative Cloud dalam mencipta atau mereka bentuk poster.

Panel juri terdiri daripada pakar industri reka bentuk termasuk The King’s Trust International yang menyemak projek akhir peserta dan pemenang dipilih berdasarkan daya tarikan visual, keupayaan memenuhi keperluan pelanggan dan estetika jenama serta penggunaan profesional aplikasi berkenaan. 

Sumber: BERNAMA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply