Penganjur acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) yang berlangsung di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, bakal membawa para pemenang ke Paris pada tahun depan.
Menurut penganjurnya Jonathan dan Farel Mikhail dari FM Group, usaha ini adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekaligus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.
“Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini, sebaliknya kami merancang membawa rekaan mereka ke Paris. Kalau ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan. Dalam program itu, para pemenang ini akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program telah diatur dan akan diumumkan kelak.
“Ini satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa yang sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.
Jonathan dan Farel Mikhail ditemui media di acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), pada 3 Ogos 2024.
Dalam pertandingan ini, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan masing-masing. Pereka muda Afiq Syazani merangkul juara sekaligus mengetepikan pesaing hebat lain iaitu naib juara Rashid Moshi, UiTM (tempat ketiga) dan Zuramir (tempat keempat).
Selain jenama-jenama tempatan, wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina turut memberikan saingan sengit.
Bukan itu sahaja, menurut Farel Mikhail, pemenang diberi keistimewaan untuk memperagakan rekaan mereka di hadapan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 di Menara Affin @ TRX.
“Ini juga satu penghargaan buat para pemenang apabila dapat menampilkan hasil rekaan mereka di hadapan Sultanah Nur Zahirah nanti. Koeksi yang dibawa oleh peserta Precious Of Malaysia kali ini sangat mengagumkan. Sebenarnya agak terkejut juga dengan hasil rekaan mereka. Kami sangat bangga dengan pencapaian luar biasa mereka”.
Apa yang istimewa, Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya. Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.