Hukum Wanita Dalam Iddah Berkenalan Dengan Lelaki Lain, Siap Janji Nak Nikah!

Dalam Islam umum mengetahui isteri yang melalui penceraian akan menjalani tempoh iddah. Tempoh iddah ini bertujuan bagi mengetahui kebersihan rahim isteri daripada mengandung atau sebagai suatu tempoh bertenang selepas berlakunya perceraian.

Namun begitu tak dinafikan ada wanita yang mengambil ringan akan tempoh iddah hingga bertindak di luar batasan bila mana berkenalan pula dengan lelaki lain malah berjanji akan bernikah selepas tamah tempoh iddah.

Dalam hal ini apakah hukumnya seorang wanita berkenalan dengan lelaki lain dalam tempoh iddah. Perkara ini dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dalam satu hantaran di Facebook beliau.

“Apakah hukumnya di sisi agama seorang isteri yang telah bercerai dengan suaminya tetapi masih di dalam edah dia berkenalan pula dengan lelaki lain dan berjanji akan bernikah selepas habis edahnya?

Haram hukumnya kerana masih berstatus isteri orang

Seorang perempuan yang berada dalam iddah selepas bercerai dengan suaminya masih lagi dihukumkan sebagai isteri orang dan hanya suaminya yang berhak untuk mengembalikannya menjadi isterinya semula.

Firman Allah Taala :
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلاحا

Ertinya : “Dan segala suami mereka (isteri-isteri yang diceraikan) lebih berhak dengan mengembalikan mereka kepada nikah pada masa edah itu jika mereka hendak berbaik.” (Baqarah : 228)

Oleh kerana itu haram perempuan itu berkenalan dengan lelaki lain atau berjanji hendak bernikah dengan lelaki lain kerana dia masih berstatus sebagai isteri orang di dalam iddah. Dan haram pula mana-mana lelaki yang meminangnya atau yang berjumpa dengan perempuan itu atau berhubung dengannya tanpa izin suaminya.

Berkata Imam Nawawi :
وَأَمَّا التَّعْرِيضُ فَيَحْرُمُ فِي عِدَّةِ الرَّجْعِيَّةِ
Ertinya : “Dan ada pun meminang maka haram ia pada masa edah raj’ie.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Maksudnya ketika seorang perempuan itu masih berada dalam edah dengan suaminya haram baginya berpakat hendak bernikah dengan lelaki lain kerana mengajak perempuan ini bernikah pada masa edah ini adalah sama seperti mengajak isteri orang bernikah.

Begitu juga haram mana-mana lelaki membuat hubungan dengan isteri yang dalam edah dan lebih haram lagi berjumpa dan berpakat untuk bernikah.

Dan yang lebih parah lagi apabila keluarga turut bersetuju dan memberi sokongan supaya anak perempuannya yang masih isteri orang itu bernikah pula dengan lelaki pilihan mereka.

Wajib atas isteri tersebut meminta ampun dari suaminya dan wajib pula atas lelaki itu serta kaum kelurga yang menyokong supaya bertaubat kepada Allah.

Tersebut pada Himpunan Fatwa Negeri Mesir :
اتفق الفقهاء على أنه يحرم التصريح أو التَّعريض بخطبة المعتدة الرَّجعية؛ لأنَّها في معنى الزوجية؛ لعودها إلى النِّكاح بالرَّجعة
Ertinya : “Telah sepakat ulamak fiqah atas sungguhnya haram meminang secara jelas atau sindiran akan isteri orang yang sedang berada dalam edah raj’ie kerana suami boleh kembali kepada nikah dengan rujuk.” (Darul Ifta’ Mesir)

Sumber: Ustaz Azhar Idrus


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply