Ramai kalangan wanita terutamanya membeli barang emas yang dihajati secara ‘trade in’ yang mana menukar barangan emas lama yang dimiliki untuk mendapatkan emas baru.
Namun dalam pembelian emas secara ‘trade in’ ini boleh berlaku unsur haram iaitu riba bila terdapat penambahan wang ketika melakukan transaksi.
Agar tidak terlibat dengan unsur riba dalam pembelian emas secara ‘trade in’ ini ada dua panduan yang boleh diikut. Perkara ini diterangkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Unsur riba dalam jual beli emas
Riba boleh berlaku dalam aktiviti jual beli yang melibatkan enam barangan yang terdiri mata wang dan makanan seperti emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.[1] Ulama bersepakat bahawa diharamkan untuk jual beli emas dengan emas, perak dengan perak melainkan sama timbangan dan secara tunai dalam satu majlis.
Urusniaga barangan ribawi mesti mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan menurut hadis yang dikemukakan agar transaksi pertukaran dan jual beli tidak berlaku riba. Sekiranya memenuhi syarat tersebut , maka urusniaga sah dan bebas daripada riba.
Dalam hadis lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda :
فَمَنْ زَادَ، أَوِ اسْتَزَادَ، فَقَدْ أَرْبَى، الْآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ.
Maksudnya : Sesiapa menambah atau meminta tambahan, maka dia terjebak dengan riba. Orang yang mengambil tambahan tersebut dan orang yang memberinya sama-sama berada dalam dosa riba. Riwayat Muslim
Menurut Imam al-Nawawi, pertukaran yang melibatkan jenis yang sama seperti pertukaran emas dengan emas, maka tidak boleh berlaku tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga(tafadhul)[3] Urusniaga tersebut adalah haram dan diklasifikasikan sebagai riba al-Fadl.
Apa itu riba al-Fadl (bayaran tambahan)
Riba al-Fadl iaitu menjual nilaian wang dengan wang serta terdapat penambahan atau makanan dengan makanan beserta penambahan. Urusan jual beli tersebut berunsur riba dengan barangan yang sama dan disertakan dengan bayaran tambahan salah satu daripada keduanya.
Riba al-Fadl diharamkan kerana ia wasilah kepada riba al-Nasiah ( penangguhan). Oleh itu, wang tambahan dalam urusniaga item ribawi tersebut adalah riba. Larangan riba al-Fadl berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَبِيعُوا الذَّهَبَ بِالذَّهَبِ ، وَلَا تَبِيعُوا الْوَرِقَ بِالْوَرِقِ ، إِلَّا مِثْلًا بِمِثْلٍ ، وَلَا تُشِفُّوا بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ
Maksudnya: “Janganlah kalian menjual beli emas dengan emas atau perak dengan perak kecuali jika sama berat, dan janganlah kalian melebihkan antara satu dengan yang lain”. Riwayat Muslim
Justeru, cara untuk mengelakkan terlibat riba disebabkan penambahan duit ketika trade beli emas adalah dengan melakukan dua urusniaga.
Panduan tukar beli emas (Trade-in)
Kaedah tukar beli emas yang bebas unsur riba ketika melakukan trade in emas lama dengan emas baru melalui dua akad (dua urusniaga) seperti berikut:
1. Menjual emas lama dan terima duit hasil jualan emas.
2. Kemudian membeli emas baru dengan membayar daripada hasil jualan emas lama atau membeli emas baru yang lagi mahal dengan menambah duit lain.
Panduan tersebut berdasarkan hadis yang diajar oleh Nabi SAW daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A berkata
جَاءَ بِلاَلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَمْرٍ بَرْنِيٍّ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : «مِنْ أَيْنَ هَذَا؟»، قَالَ بِلاَلٌ: كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَدِيٌّ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ، لِنُطْعِمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا عَيْنُ الرِّبَا، لاَ تَفْعَلْ، وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ فَبِعِ التَّمْرَ بِبَيْعٍ آخَرَ، ثُمَّ اشْتَرِهِ
Maksudnya: “Bilal datang kepada Nabi SAW dengan membawa tamar barni, lalu Nabi bertanya kepadanya: “Dari manakah tamar ini ?”. Bilal menjawab : “Kami mempunyai tamar yang buruk, lalu kami menjualnya (menukarkannya) dua gantang dengan satu gantang tamar barni, agar kami dapat memberi makan kepada Nabi saw”. Lalu Nabi SAW bersabda pada saat itu: “Aduh, aduh, itulah riba, itulah riba. janganlah engkau melakukan ini, akan tetapi jika engkau ingin membeli (kurma yang terbaik) maka juallah kurmamu dengan jualan yang lain, kemudian belilah kurma yang terbaik dengan hasil jualanmu itu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.