Cara betul bersihkan tahi cicak agar tidak rosakkan solat

TAHI cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah.

SEGELINTIR orang mengalami masalah tahi cicak bertaburan di dalam rumah mereka. Walaupun sudah kerap kali disapu dan dibersihkan, namun keadaan itu akan berlaku lagi.

Ia seolah-olah kawasan berkenaan seakan ‘digazetkan’ menjadi tumpuan cicak untuk ‘membuang’.

Jika najis cicak itu disapu dan dibersihkan menggunakan vakum, adakah alat-alat tersebut perlu dibasuh dan perlukah tempat berkenaan dicuci? Adakah tahi cicak itu dianggap sebagai najis?

Sebelum menjawab persoalan itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak kita terlebih dahulu mendasari tentang hukum berkaitan tahi cicak.

DR ZULKIFLI

Jelas beliau, menurut Mazhab Syafie, tahi cicak sebenarnya termasuk dalam kategori najis mutawassitah (sederhana seperti air kencing, najis haiwan dan darah).

Meskipun ia merupakan najis, katanya, terdapat beberapa situasi yang mana berlakunya Umum al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan.

“Contohnya, tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang dan haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuk cicak.

“Demikian menurut pandangan sebahagian ulama. Maka, ia dianggap sebagai najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar dielakkan,” katanya sepertimana dipetik menerusi artikel #3178: Menyapu Tahi Cicak yang disiarkan menerusi laman web Maktabah Albakri baru-baru ini.

Berbalik kepada persoalan tadi, Dr Zulkifli menjelaskan, jika tahi cicak dalam keadaan kering, maka memadai untuk kita menyapunya sahaja.

Bagaimanapun seandainya najis cicak tadi masih basah dan kita menyapunya, maka jirus atau bersihkanlah bahagian penyapu yang terkena tahi tersebut.

“Kadangkala ada banyak rumah yang mempunyai banyak cicak sehingga sukar untuk dikawal. Ketika itu, terdapat tahi cicak.

“Andai ini berlaku, kami syorkan agar tuan rumah bertindak untuk menghapuskan cicak-cicak tersebut dengan pelbagai ubatan dan alatan moden yang boleh digunakan.

“Dalam situasi ini, ia boleh dianggal sebagai Umum al-Balwa yang mana ia amat sukar untuk dielakkan. Maka ketika itu, hukumnya diambil sebagai hukum Umum al-Balwa,” terangnya panjang lebar.

JIKA tahi cicak dalam keadaan kering, maka memadai untuk kita menyapunya sahaja. Bagaimanapun seandainya najis cicak tadi masih basah dan kita menyapunya, maka jirus atau bersihkanlah bahagian penyapu yang terkena tahi tersebut. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Kepada mereka yang hendak mendirikan solat, sebaiknya bersihkanlah ruang sembahyang mereka sebaiknya termasuk bebas daripada najis-najis kecil seperti tahi cicak.

Ia terutamanya membabitkan masjid yang menjadi tumpuan ramai.

Dr Zulkifli menyeru agar pihak pentadbir masjid berbuat demikian supaya rumah ALLAH itu bersih dalam memelihara kesuciannya dan meninggikan syiar Islam.

“Kami berpendapat bahawa tahi cicak itu pada asalnya termasuk dalam kategori najis mutawassitah yang mana cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya (zatnya) terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehinggalah hilang bau, warna dan rasa.

“Sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana ia dikhuatiri boleh merosakkan solat.

“Namun, andai kata tahi cicak itu sukar untuk dielak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam Umum al-Balwa,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply