Figura seorang wanita berselubung dengan kain hitam dan berperwatakan seperti bomoh yang muncul di atas pentas peragaan dalam pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week, yang berlangsung di Menara Affin @TRX, Kuala Lumpur, pada Sabtu ‘memancing’ perhatian ramai.
Malah keberadaan wanita terbabit yang mengisi segmen pembukaan sebelum pertunjukan fesyen jenama Kin By Nik itu mengundang reaksi pelbagai penonton.
Misalnya, ada cakap nakal seolah menyindir perekanya, Nik Amri sanggup mengamalkan perbuatan khurafat demi meraih anugerah Best Showcase pada acara tersebut.
“Pada awalnya saya hanya ketawa sahaja apabila ada yang mendakwa saya menggunakan khidmat ‘Mak Esah’ (bomoh) untuk menang mana-mana kategori dalam saingan Precious Of Malaysia tahun ini.
“Namun bila ramai menghubungi untuk bertanyakan hal tersebut, saya jadi hairan dan pelik. Takkanlah ia terlalu serius?
“Jadi saya nak buat penjelasan sebab tak mahu orang beranggapan seolah-olah benar saya buat perkara terkutuk itu. Minta dijauhi,” katanya.
Menurut Nik, salah faham itu timbul apabila ada yang memberikan komen serkap jarang tanpa menonton video penuh dan keseluruhan situasi ketika itu.
“Iya, memang saya bawa wanita tersebut dalam pertandingan itu. Tetapi tugasnya untuk berlakon sahaja sebagai gimik persembahan sebelum koleksi penuh Kin By Nik diperagakan.
“Asap yang dibawakan wanita itu bukanlah kemenyan, sebaliknya ais kering dan diserikan taburan bunga Melur.
“Tidak ada langsung isu khurafat, sebaliknya hanya gimik persembahan bagi memeriahkan lagi acara itu. Saya masih tahu dosa pahala sebagai orang Islam.
“Saya pun tak salahkan sesiapa kerana mereka tak tahu konsep sebenar dan tidak melihat keseluruhan gimik yang dibuat dalam pertandingan itu.
“Sebenarnya, dalam persembahan itu terdapat tiga individu yang tampil berselubung di pentas merupakan rakan penari daripada Antava Projects.
“Jika kami benar-benar bomoh, sudah pastilah akan menggunakan kelebihan tersebut untuk meraih kejayaan lebih besar! Sebelum ini pun, Kin by Nik sentiasa tampil dengan elemen dramatik dalam setiap rekaan dan persembahan pentas.
“Untuk Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week tahun ini, sedikit elemen konseptual teaterikal umpama upacara membuka panggung dan meraikan tetamu dimulakan dengan taburan bunga klasik yang sinonim dengan adat Melayu iaitu bunga Melur.
“Bunga Melur, yang biasanya mewangi pada waktu senja pula dipilih sebagai simbol kesucian, kemurnian dan keindahan,” katanya yang turut menjelaskan, ia seiring dengan konsep koleksinya yang diberi nama Sore Soirée.
“Sore Soirée menggabungkan dua konsep yang mana ‘sore’ bermaksud senja, masa antara lewat petang dan awal malam ketika matahari mulai terbenam.
“Manakala ‘soirée’ pula boleh diterjemahkan sebagai majlis malam atau pertemuan malam. Ia merujuk kepada acara atau perjumpaan yang diadakan pada waktu malam dalam suasana penuh elegan.
“Konsep ini menunjukkan transisi waktu senja menuju malam. Persembahan dimulakan dengan gerakan misteri dan suntikan elemen mistikal untuk membangkitkan mood sebelum persembahan fesyen bermula,” katanya lagi.
Jika diteliti, konsep persembahan rekaan fesyen oleh Kin by Nik kali ini mengolah konsep senja glamorama malam diibaratkan satu majlis mewah penuh gemerlapan pada waktu senja.
Sebanyak 8 rekaan dipersembahkan menggabungkan inspirasi daripada rekaan tradisional Melayu seperti baju kebaya Kota Bharu, Baju Kebaya Riau, Baju Melayu Cekak Musang, Baju Melayu Teluk Belanga dan Kurung Kedah.
Rekaan juga dimodenkan dengan menggunakan fabrik seperti PVC, faux leather, vinyl, poliester, tulle dan faux fur.
Beberapa rekaan moden seperti sut lelaki, jaket panjang dan ball gown turut menjalinkan elemen tradisional dengan penggunaan fabrik songket.
Selain itu, tiga jenis destar lelaki, Tanjak Cogan Daun Kopi, Tanjak Gajah Melaung dan Tanjak negeri Pahang juga diangkat dalam persembahan kali ini.
Terdahulu, 23 jenama fesyen telah sama-sama bersaing dan pereka muda, Afiq Syazani telah dipilih sebagai juara, Rashid Moshi di tempat kedua dan Pelajar Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula menduduki tempat ketiga.
Majlis selama tiga hari itu turut diserikan dengan persembahan nyayian daripada penyanyi muda, Erissa Puteri dan Dayang Nufaizah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
@mediahiburanofficial Penampilan penyanyi muda, Erissa Puteri yang membuat persembahan bersempena Precious of Malaysia: International Cultural Fashion Week 2024 yang menyaksikan empat IPT yang bersaing memperaga ilham masing-masing. Love! #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.