Ramuan Buat Cili Kisar Serbaguna Warisan Ibu Mentua, Boleh Sambal Tumis, Masakan Bergoreng & Pelbagai Lagi

Stok cili kisar antara yang kena sentiasa ada dalam peti ais untuk memudahkan kerja memasak. Kebiasaannya ia dikisar berasingan dengan bawang. Namun untuk lebih menyenangkan, boleh gunakan teknik membuat cili kisar serbaguna ini.

Cili kisar serbaguna perkongsian Nurul Ateekah ini dicampur sekali dengan bawang dan ramuan sambal lain supaya memudahkan kerja memasak. Nak masak ceduk saja. Ia juga boleh tahan selama sebulan. Cili ini juga boleh digunakan untuk memasak aneka masakan bergoreng, rendang  selain sambal tumis.

Cara buat stok cili kisar supaya sambal tumis jadi sedap

 

Cili kisar ini diajar oleh mak mertua saya, yang juga dulu seorang peniaga nasi berlauk, pelbagai jenis mi di Singapura. Wangi aroma tumisan cili ini bila dimasak. Ia juga senang, mudah nak diguna bila-bila masa nak masak. 

Bila dah ada cili kisar macam ini nak buat lauk jenis sambal, masak kicap, rendang, jenis goreng semua jadi mudah. Cili kisar ini boleh tahan selama 1 bulan, dan tidak berbau, ia juga kurang pedas.

Bahan-bahan:

150gram cili kering kerinting
2 labu bawang putih
5 biji bawang besar
2 cm halia
1 batang serai
1 cm kunyit
4 sudu besar minyak masak

 

Cara membuat:

1. Gunting cili kering dan rebuskan sehingga lembut.

2. Apabila sudah lembut, toskan airnya dan bilas cili yang telah direbus tadi (sebab cili kering kadang-kadang ada warna-warna hitam, serbuk-serbuk putih, kadang-kadang ulat pun ada.

 

3. Kupas bawang putih dan bawang merah dan potong bawang agar senang dikisar.

4. Masukkan ke semua bahan, kisar dengan sedikit air dan minyak. Kisar sehingga lumat.
(Letak minyak boleh membantu cili kisar tahan lama, tidak berbau dan bila kisar, cilinya tidak berbiji serta cilinya betul-betul hancur).

 

5. Simpan dalam bekas dan masukkan dalam peti sejuk.

 

Cara masak sambal sotong 

 

Ini contoh masakan sambal sotong mengggunakan cili kisar ini. Disertakan sekali tip agar dapat sambal sotong yang sedap.

1. Didihkan air, masukkan 500gram sotong, masak 4-5 minit. Angkat dan toskan sotong.

 

2. Masukkan satu senduk cili kisar tadi, masak sehingga pecah minyak dan sehingga cilinya masak. Waktu masak cili, memang bau tumisan harum saja.

3. Apabila sudah pecah minyak, masukkan sehelai daun limau purut dan satu sudu perahan air asam jawa.

 

4. Masukkan gula, garam,serbuk belacan, dan kiub Knorr. Gaul sebati.

5. Masukkan sotong dan santan 2 sudu besar. Kenapa masukkan santan? Sebab nanti sambalnya akan rasa berlemak dan sedap.

 

6. Kacau dan angkat bila sambal masak elok.

 

Selamat mencuba!

Sumber: Nurul Ateekah


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply