Harga rumah mahal dan pendapatan rendah mungkin antara keluhan kebanyakan rakyat Malaysia lagi-lagi yang ‘hidup’ di kota besar seperti Kuala Lumpur.
Berhenti mengeluh dan apa kata kita guna solusi dengan membina rumah kecil mampu milik tapi selesa ini. Sembilan model rumah mampu milik dari luar negara dengan harga di bawah RM400,000 yang berpotensi menjadi rujukan sesuai untuk pasaran di Malaysia.
Dengan harga yang berpatutan dan inovasi reka bentuk yang praktikal, model-model ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah idaman mereka.
1. Rumah Modular (Modular Homes)
Salah satu Rumah Modular atau ‘Modular Homes’ yang dibina di Pendang, Kedah. FOTO: Modular Hub Malaysia
Rumah Modular atau ‘Modular Homes’ adalah rumah yang dibina menggunakan modul bangunan yang dihasilkan di kilang dan dihantar ke tapak pembinaan. Modul-modul ini kemudian dipasang di lokasi untuk membentuk keseluruhan rumah.
Reka bentuk rumah ini berasal dari Amerika Syarikat tetapi sesuai diguna pakai di Malaysia untuk kawasan yang mempunyai infrastruktur terhad, memerlukan pembinaan yang cepat dan kos rendah. Anggaran rumah modular bermula daripada RM50,000 hingga RM150,000.
2. Rumah Kubah (Dome Homes)
Contoh rumah kubah. Foto Airbnb
Rumah Kubah atau ‘Dome Homes’ merupakan rumah yang beratap atau berbumbung lengkung dan berbentuk seperti kubah. Struktur tersebut dapat menahan cuaca ekstrem dan menawarkan kecekapan tenaga yang baik.
Rumah beranggaran sekitar RM80,000 hingga RM200,000 ini berasal dari Amerika Syarikat dan menggunakan bahan-bahan murah serta teknik pembinaan yang efisien.
Di Malaysia, rumah ini sesuai untuk menghadapi hujan lebat dan panas terik, menjadikannya ideal untuk iklim tropika negara ini.
3. Rumah Kecil (Tiny Houses)
Antara konsep ‘Rumah Kecil’ di Amerika Syarikat yang hanya berkeluasan sekitar 300 kaki persegi. FOTO: Tiny House Me
Rumah kecil atau ‘tiny houses’ merupakan konsep kediaman berkeluasan kira-kira 300 kaki persegi dengan kelengkapan yang lengkap dan sederhana. Fokus sasaran model rumah kecil adalah pesara dan individu di luar bandar yang ingin mencari penyelesaian perumahan kos rendah.
Gerakan memilih konsep rumah kecil sebagai gaya hidup bermula dari negara Amerika Syarikat serta Eropah dan telah tular di Malaysia baru-baru ini.
Biarpun lebih popular dibina sebagai rumah persinggahan atau percutian, konsep ini boleh dipertimbangkan untuk dijadikan rumah kediaman kekal di Malaysia dengan anggaran harga bernilai kurang daripada RM120,000.
4. Rumah Bumi (Earthships)
Rumah Bumi ‘Earthships’ untuk disewa di Willunga, Australia. FOTO: Airbnb
Rumah Bumi atau lebih dikenali sebagai ‘earthship’ merupakan rumah yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi, penggunaan tenaga solar dan boleh dikitar semula.
Konsep idea rumah ini berasal daripada seorang arkitek di Amerika Syarikat, Michael Reynolds, yang ingin membina kediaman untuk mengurangkan perubahan iklim di bumi dan meminimumkan karbon secara serius.
Rumah ini berharga sekitar RM100,000 hingga RM250,000 bergantung kepada kos skala projek dan lokasi. Dengan penyesuaian yang betul, konsep ini boleh digunakan untuk membina rumah yang lebih mesra alam dan berdaya tahan di Malaysia.
5. Rumah Bambu (Bamboo Houses)
Rumah Bambu dikatakan dapat mengurangi risiko kerosakan akibat gempa bumi di Lombok. FOTO: Casa Indonesia
Rumah Bambu berasal dari Indonesia dan dibina dengan menggunakan bambu sebagai bahan utama termasuk atap, dinding dan lantai, kecuali rangka rumah dan tiang yang menggunakan kayu keras.
Bambu sesuai dengan iklim tropika Malaysia dan dapat memberikan penampilan yang unik. Ia juga merupakan bahan yang murah dan boleh didapati dengan mudah. Rumah Bambu dianggarkan bernilai RM50,000 hingga RM150,000 sahaja.
6. Rumah Cetak 3D (3D-Printed Houses)
Salah satu rumah yang menggunakan teknologi 3D printing di Jerman. FOTO: Gira
Rumah yang dicetak menggunakan printer 3D dengan campuran konkrit termasuk simen, pasir, dan bahan lain dapat memberikan kekuatan dan ketahanan pada kediaman ini. Teknologi cetakan 3D menawarkan peluang untuk pembinaan rumah yang lebih cepat dan murah.
Reka bentuk rumah Cetak 3D boleh diubah suai untuk memenuhi pelbagai keperluan iklim dan telah dibina di negara-negara seperti Jerman, Australia, Rusia dan Amerika Syarikat.
Bagi Rumah Cetak 3D yang kecil dan berkeluasan sekitar 500 kaki persegi, ia boleh menelan kos sebanyak RM225,000 hingga RM337,500.
7. Rumah Prefabrikasi (Prefab Homes)
Gambaran Rumah Prefabrikasi atau ‘prefab homes’ di luar negara. FOTO: pinterest
Uniknya bagi Rumah Prefabrikasi adalah komponen-komponen rumah dibina terlebih dahulu di kilang sebelum dipasang di lokasi. Konsep rumah yang berasal dari Jerman ini berharga RM60,000 hingga RM180,000, bergantung kepada lokasi.
Rumah prefabrikasi atau ‘prefab homes’ adalah pilihan ideal di Malaysia kerana ia menawarkan penyelesaian pembinaan yang cepat dan kos efektif dengan reka bentuk sesuai untuk iklim tropika.
8. Rumah Kontena (Shipping Container Homes)
Salah satu contoh rumah kontena bertingkat yang sesuai dibina menjadi sebuah kediaman lengkap. FOTO: Modular Hub Malaysia
Di Amerika Syarikat, terdapat banyak rumah yang dibina menggunakan kontena penghantaran terpakai. Konsep ini diperkenalkan kerana ia dianggap sebagai penyelesaian untuk rumah yang murah dan boleh di ubah suai mengikut keperluan.
Di Malaysia, ramai yang sudah mula menggunakan kontena sebagai ‘rumah’ biarpun konsep ini kebanyakannya diambil untuk tujuan penginapan sementara.
Namun, ia boleh di ubah suai di Malaysia untuk menahan cuaca tropika dan sesuai untuk pembinaan yang cepat dan murah. Anggaran bagi rumah kontena bermula RM40,000 hingga RM120,000, bergantung pada penambahbaikan dan pengubahsuaian yang dilakukan.
9. Rumah Terapung (Floating Houses)
Rumah Terapung atau dikenali sebagai ‘floating houses di Brazil. FOTO: arch daily
Rumah ini berasal dari negara Belanda dan direka untuk terapung pada permukaan atas air. Ia amat sesuai untuk kawasan yang terdedah kepada banjir atau perubahan paras air.
Bagi Malaysia, konsep rumah ini berkemungkinan sesuai untuk kawasan pesisir pantai atau kawasan rendah yang sering mengalami banjir.
Rumah Terapung dianggarkan bernilai sekitar RM150,000 hingga RM400,000. Kos rumah terapung lebih tinggi kerana keperluan untuk membina struktur rumah yang boleh terapung dan menahan banjir.
IMPIANA : Bagaimanapun, mengadaptasi model-model rumah ini di Malaysia melibatkan penyesuaian dari segi bahan, reka bentuk, dan struktur rumah agar sesuai dengan iklim dan keperluan tempatan.
Artikel Menarik: Pros & Cons Guna MESIN BASUH Jenis Front Loader
Baca Lagi Disini:Cara Paling Berkesan Untuk Cuci Mesin Basuh, Modal Tak Sampai RM5.00 Pun!
Mesti Baca: Air Mesin Basuh Masuk Perlahan, Baiki Sendiri Modal Tak Sampai RM30
Sumber : Sinar Harian
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.