Tak Cium Bau Syurga Kalau Tak Solat. Kalau Ibu Ayah Tak Sembahyang, Bolehkah Anak Tegur?

Hari ini ada ramai ibu bapa yang tidak “menegur”anak tentang kewajipan solat. Alasannya anak dah besar dan tahu tentang kewajipan solat. Tapi bagaimana jika ibu ayah yang tidak solat dan sangat jarang melakukan ibadah ini?

Adakah boleh anak-anak menegur mak ayah yang tak solat dan apakah keadah terbaik menegur tanpa melukakan hati mereka. Berikut adalah perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan dalam Al-Kafi #1150 mengenai persoalan ini.

Anak wajib berbuat baik kepada ibu bapa

Secara umumnya, menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka. Terdapat banyak nas yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa serta hak-hak mereka yang perlu ditunaikan, antaranya ialah:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya sahaja, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai ke usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi berkatalah dengan mereka menggunakan perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
(Surah al-Isra’: 23)

Imam Ibn Kathir berkata: “Ketika mana Allah SWT melarang untuk berkata-kata dengan perkataan yang buruk terhadap kedua ibu bapa, Dia juga telah memerintahkan untuk berbuat baik dan menggunakan perkataan yang baik terhadap mereka iaitu: dengan cara yang lembut, baik, penuh beradab, memuliakan dan menghormati mereka. Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (5/64)

Dalam Islam, anak-anak diperintahkan untuk tetap bergaul dengan cara yang baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukanKu atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”
(Surah Luqman: 15)

Imam Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (6/402).

Allah SWT telah berfirman:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Dan perintahkanlah ahli keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah bersabar dalam menunaikannya”.
(Surah Taha: 132)

Dalam ayat di atas, Allah SWT telah memerintahkan Nabi SAW untuk menyuruh ahli keluarga Baginda menunaikan solat, menunjukkan contoh (mengerjakan solat) kepada mereka dan bersabar dalam menunaikannya. Ayat ini diturunkan kepada Baginda dan secara umumnya, ia juga ditujukan kepada seluruh umatnya serta ahli keluarga Baginda secara khusus. Selepas turunnya ayat ini, Nabi SAW akan pergi ke rumah Fatimah RA dan Ali RA pada setiap pagi dan berkata: “Solatlah”. 

Berdasarkan tafsiran para ulama’, perintah dalam ayat yang ke-132, surah Taha adalah merujuk kepada seluruh ahli keluarga termasuklah isteri, anak-anak, ayah, ibu, adik-beradik dan selain daripada mereka di kalangan ahli keluarga.

Meninggalkan solat fardhu secara sengaja termasuk daripada salah satu dosa besar dan perkara kemungkaran yang perlu ditegah mengikut kemampuan masing-masing sebagaimana sabda Nabi SAW:

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: “مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ”

Maksudnya: Daripada Abu Said al-Khudri RA: Aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman”
Riwayat Muslim (49)

Kesimpulan
Sekiranya ibu bapa tidak bersolat wajib kepada anak-anak untuk menasihati ibu bapa yang meninggalkan solat fardhu dengan cara yang baik mengikut kemampuan masing-masing berdasarkan dalil-dalil yang telah kami kemukakan di atas. Dalam pada itu lakukan juga usaha-usaha berikut;

  1. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kedua ibu bapa diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk melaksanakan solat fardhu dan istiqamah menjaganya.
  2. Memberikan penerangan tanpa jemu kepada kedua ibu bapa mengenai kepentingan solat dalam Islam, keutamaan serta kelebihannya dengan cara yang baik.
  3. Berterusan tanpa putus asa memberikan peringatan kepada kedua ibu bapa mengenai kesan dan akibat daripada meninggalkan solat dengan cara yang baik.
  4. Menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam perlaksanaan solat seperti solat berjemaah di rumah, solat di awal waktu, dan solat dengan cara yang paling sempurna.
  5. Meminta bantuan daripada individu-individu yang dihormati dan disegani oleh kedua ibu bapa seperti pakcik dan makcik yang lebih tua daripada ibu bapa untuk menasihati mereka.

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply