Pendidikan sepatutnya lahirkan generasi pejuang

SISTEM pendidikan sepatutnya boleh melahirkan mahasiswa pejuang yang tidak hanya berilmu, malah beramal dengan ilmu tersebut seperti yang diajarkan dalam Islam. Foto CANVA/Gambar kecil: AIN SYAHDEENA AMALIA, AINUL MAR’IYAH & AINUL MARDHIAH

PELAJAR atau mahasiswa yang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti sering dipandang tinggi oleh masyarakat. Namun di sebalik itu, apakah sebenarnya maksud tinggi dalam institusi pendidikan tinggi?

Jika dikaji dari sudut sejarah, Malaysia sudah lama mewarisi legasi British dalam pendidikan, perundangan, perniagaan, politik dan ekonomi.

Menurut Profesor Tamir Moustafa dalam kajian beliau Constituting Religion, undang-undang Islam yang ada di Malaysia sekarang adalah dari acuan Anglo-Muslim Law yang diperkenalkan oleh British semasa Perjanjian Pangkor 1874.

Hasilnya, sistem pembelajaran, peperiksaan dan sistem pemarkahan mereka juga turut kita warisi.

Kita mungkin tertanya-tanya, di manakah salahnya sistem pendidikan yang telah dicedok dari Barat ini?

Sistem pendidikan hanya tekankan gred, reputasi

Kelemahan sistem pendidikan Barat terletak pada sistem pendidikan yang menekankan gred dan reputasi sebagai kayu ukur kejayaan seseorang individu.

Namun pembangunan jati diri dan sahsiah seseorang itu tidak lagi menjadi fokus utama dalam membentuk individu yang berjaya, lebih-lebih lagi sikap bertanggungjawab dalam menuntut dan mengamalkan ilmu.

Berbeza dengan sistem pendidikan Islam bersumberkan al-Quran dan sunnah yang bertujuan untuk membentuk manusia yang beriman dan berakhlak, bukannya gred atau nombor menjadi tujuan utama bagi mendapat ijazah atau sekadar mencukupkan jam kredit.

Perbezaan yang lebih ketara antara sistem pendidikan Islam di zaman Nabi SAW dan pendidikan Islam sekarang yang diwarisi dari Barat adalah tiada pemisahan antara ilmu agama dan ilmu umum.

Paling penting adalah ilmu yang dipelajari itu diaplikasikan di luar kelas, selari dengan model Nabi Muhammad SAW seperti diungkapkan Abu Abdurrahman As-Sulami:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca kepada mereka (sahabat) sepuluh ayat, mereka tidak akan menambah sepuluh ayat berikutnya sehingga mereka mengerti isi kandungan ayat-ayat tersebut dan mengamalkannya” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ini bermakna ilmu yang diperolehi itu diamalkan dalam kehidupan seorang Muslim.

GRADUAN lepasan universiti sepatutnya sudah matang dan boleh bertindak dengan bijak dalam apa jua tindakannya. Foto CANVA

Hal ini berbeza dengan sistem pembelajaran sekarang yang menggalakkan penyertaan pelajar dalam kelas, tetapi sebaliknya di luar kelas ilmu itu tidak perlu diamalkan malah terpisah dari kehidupan dan kemudiannya dilupakan.

Ini kerana sistem pendidikan semasa tidak mengukur amalan atau praktikal pembelajaran di luar kelas dan tiada apa-apa tindakan jika ilmu itu tidak diamalkan.

Kes pembunuhan Zulfarhan bukti gagal amal ilmu dipelajari

Kegagalan pelajar universiti dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari di dalam kehidupan harian terbukti dalam kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017 yang melibatkan 18 pelajar yang dituduh dalam kes ini bersama enam yang disabit kesalahan.

Mereka semua adalah pelajar universiti, bijak pandai dan hebat belaka. Secara logiknya, mahasiswa di pengajian tinggi sudah lengkap dengan pemikiran rasional, mampu mengurus diri dan emosi dengan baik serta dapat membezakan baik dan buruk.

Jadi apakah yang mendorong mereka untuk mempercayai seorang tukang bomoh (perubatan Islam menurut Mahkamah Rayuan) dan kemudian membuli arwah sehingga mati?

Menurut kes tersebut, kami mendapati 18 dan enam pelajar yang terlibat dalam kes itu tidak mengamalkan amar maruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan) malah turut serta menyeksa dan bertindak membutakan mata serta memekakkan telinga daripada membantu mangsa.

Tidakkah terdetik sedikitpun rasa empati dalam diri mereka untuk membuat laporan polis daripada memilih untuk mengikut majoriti?

Bermula awal tahun hingga Oktober 2023, kes buli di kalangan pelajar direkodkan sebanyak 4,994 kes termasuk di institut pengajian tinggi.

Melihat generasi sekarang yang melebihkan majoriti dan kawan-kawan sehingga tindakan yang salah di sisi Islam serta tidak selari dengan moral itu tidak dicegah, ia menimbulkan pertanyaan apakah tujuan belajar sehingga universiti tetapi sikap tanggungjawab hilang dalam diri?

Apakah masing-masing sibuk menyiapkan tugasan dan menghadiri program daripada mengambil tahu dalam menyelesaikan masalah ummah yang ‘lagha’ dengan hedonisme dan tidak melakukan amar maruf nahi mungkar seperti dalam kes buli Zulfarhan?

Begitu banyak penekanan kepada pendidikan Islam yang telah diberikan, apakah tidak mencukupi atau tidak berkesan dalam mencegah keji dan mungkar?

Wajarlah kita sebagai manusia praktikkan sifat bertanya, berfikir untuk mendapatkan kepastian, bukan sekadar mengikut rasa dan dendam sebagai senjata.

Ilmu yang dipercayai berlandaskan ego dan bomoh tanpa tabayyun. Bukankah syirik antara perbuatan yang terlarang dan terkutuk di sisi Islam? Tentunya seseorang yang berpendidikan tinggi sudah sedia maklum tentang ini.

Generasi pejuang sebagai penyelesaian

Pensyarah Institut Pendidikan Guru, Anom Syukri ketika ditemu bual mengenai cara beliau dalam mendidik pelajar berkata, beliau berkongsi sikap tegas dengan pelajarnya pada peringkat awal supaya mereka boleh dikawal dan sedar akan tanggungjawab mereka.

Selepas proses menerapkan tanggungjawab dalam diri pelajar, beliau melayan pelajarnya seperti rakan.

ILMU yang diajarkan di dalam kelas sepatutnya digunakan dan diamalkan di luar kelas dan kehidupan seharian agar ia terus kekal di dalam diri membentuk insan yang cemerlang serta berakhlak mulia. Foto CANVA

Dari sini beliau membentuk hubungan dengan pelajar di mana pelajar menghormati guru sebagai pendidik dalam pada masa yang sama berasa selesa untuk berkongsi masalah mereka.

Namun beliau tidak berkompromi dalam perkara benar dan salah dalam melayani pelajar sebagai rakan dan akan menegur jika melakukan kesalahan.

Cara pendidikan ini juga merupakan strategi Rasulullah SAW mendidik sahabat-sahabatnya dan Baginda disifatkan sebagai seorang yang berhemah bicaranya namun tegas dalam hal berkaitan hak dan batil seperti yang disebut di dalam ayat keempat dan kesembilan surah al-Qalam:

“Dan bahawa sesungguhnya kamu mempunyai akhlak yang amat mulia.”

“Mereka suka kalau kamu bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadap kamu).”

Ayat ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW bertindak berdasarkan al-Quran dan watak serta peribadi Baginda adalah mengikut apa yang telah diajarkan kepadanya melalui al-Quran.

Ini bermaksud Baginda melakukan apa yang diperintahkan di dalam al-Quran dan apa yang dilarang di dalam al-Quran ditinggalkan. Tiada kompromi dalam hal ini.

Dari pendidikan cara Rasulullah begini lahirlah generasi pejuang seperti Zaid bin Harithah, Ali bin Abu Talib, Tariq bin Ziyad, Usman Ertugrul, Salahuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad Al-Fateh yang berdisiplin dan ramai lagi.

Ini kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar sempadan dan had-had yang ditetapkan Allah di dalam Quran serta berusaha mematuhinya sekalipun mereka penat, sedih dan tidak disukai kerana mereka juga manusia biasa.

Apabila mereka jatuh kerana kesalahan, mereka bangun dan belajar semula. Bila mereka gagal, mereka mulakan sekali lagi. Bila ditegur, mereka berusaha memahami dan membaiki. Bukan reputasi yang difikirkan tetapi tanggungjawab pada Ilahi dan kesejahteraan umat.

Dari proses dan latihan begini, maka lahirnya peribadi pejuang yang jelas hala tujunya agar pendidikan itu tidak lagi dianggap tidak relevan, ‘boleh dibeli’, malah sejajar dengan namanya institusi pendidikan tinggi.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply