Elak sebut ‘tak reda pada anak’, ia umpama halang laluan mereka ke syurga

USAH sesekali menyebut ungkapan ‘kita tidak reda pada anak’ kerana jika perkataan itu terluncur keluar, kita sebenarnya telah mula menghalang laluan anak tersebut untuk ke syurga. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

BAIK atau buruk seorang anak, mereka tetap menjadi darah daging dan keturunan kita sampai bila-bila.

Perkara itu tidak boleh disangkal lagi kerana ia memang kenyataannya. Barangkali kita kurang bersetuju dengan sikap anak yang adakalanya begitu menyakitkan hati dan meremukkan perasaan.

Bagaimanapun pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun mengingatkan agar ibu bapa tidak sesekali menyebut ungkapan ‘kita tidak reda pada anak’.

USTAZAH ASMA’

“Kalau ibu sebut perkataan tidak reda, sebenarnya ibu telah mula menghalang laluan anak itu untuk ke syurga.

“Di dunia, sakit hati kita tidak akan bawa ke mana. Bila mati, dalam kubur (nanti), kita mula menyesal dengan perkataan yang disebut pada anak. Kita akan minta untuk dikembalikan ke dunia untuk kata bahawa kita tetap reda dengan ujian anak.

“Akhirnya, kita akan rasa sangat dukacita dan terseksa walaupun masuk syurga sekiranya tahu ada anak kita terhalang masuk ke jannah disebabkan ungkapan tidak reda yang dilafazkan saat kita hidup di dunia,” katanya sebagaimana dipetik dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Mengertilah bahawa dunia sememangnya pentas ujian dan siapa pun tidak akan terlepas menghadapinya.

Begitu juga dengan ibu dan ayah yang mana ALLAH SWT akan memberikan ujian sehinggalah saat nafas terakhir kita, kata Ustazah Asma’.

Adakalanya kerana barakah seorang ibu dan ayah tetap reda, memaafkan serta mendoakan anak walaupun mereka menyakitkan hati orang tua, tetapi setelah kematian kedua-duanya, anak itu mula berubah, ungkapnya.

Bahkan, ALLAH SWT menjadikan anak tadi bersifat soleh dan solehah serta satu-satunya permata hati yang mendoakan kebaikan buat kedua orang tuanya.

“Walaupun sepanjang hidup ibu ayahnya menunggu anaknya jadi anak yang baik, namun sampai akhir hayat mereka, anak tetap tidak berubah.

“(Yakinlah) Insya-ALLAH selepas meninggal, ALLAH akan makbulkan doa ibu dan ayahnya,” coretnya.

SAYANGILAH anak tanpa syarat dan layanilah mereka dengan sebaiknya. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Selain menuturkan perkataan tidak reda kepada anak, Ustazah Asma’ menjelaskan, terdapat perkara lain yang perlu dielakkan oleh ibu bapa terhadap permata hati masing-masing kerana mendatangkan natijah tidak baik jika dilakukan.

Berikut 10 perkara yang perlu dielakkan dilakukan oleh orang tua kerana mengundang bahaya kepada anak masing-masing:

1. Elak merendah-rendahkan anak sama ada dari segi pelajaran, perwatakan dan lain-lain.

2. Jauhkan diri daripada memaki hamun anak-anak lebih-lebih lagi mengeluarkan perkataan tidak baik.

3. Raikan perbezaan anak-anak, bukan membandingkan mereka.

4. Mendoakan yang baik untuk zuriat masing-masing, bukan mendoakan keburukan kepada anak.

5. Usah sesekali menipu anak, sebaliknya ajarkan mereka supaya sentiasa jujur walaupun salah.

6. Elak melarang anak tanpa ada penjelasan.

7. Elak menyuruh sesuatu yang bertentangan dengan syariat.

8. Jangan menakut-nakutkan anak dengan sesuatu yang tidak wajar, sebaliknya ajarkan mereka sifat berani.

9. Pada hari ini ‘dosa terbesar’, ibu dan ayah sanggup membiarkan anak. Kesannya nanti anak akan rasa tidak dihargai. Apabila di meja makan atau keluar beriadah, bersembang dan layanilah anak.

10. Elakkan menyayangi anak bersyarat. Sayangilah semua anak tanpa ada syarat.

Ustazah Asma’ menambah, sebagai ibu bapa, semuanya bermula daripada diri kita sendiri.

Jika kita ingin anak-anak menyayangi, katanya, orang tua harus menunjukkan kasih sayang tersebut.

ALLAH SWT akan memberikan ujian kepada hamba-NYA termasuklah kita yang bergelar sebagai ibu bapa sehinggalah saat nafas terakhir di dunia. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Sekiranya kita ingin anak-anak terbang tinggi, kita harus menyokong dan memahami minatkan. Andai kita ingin anak-anak hargai, kita juga perlu hargai mereka dengan sepenuh hati.

“Selebihnya, berserahlah kepada ALLAH SWT agar mereka dalam jagaan-NYA. Cuba pejamkan mata dan bayangkan wajah setiap anak lalu doakan secara khusus berasingan, mesti mengalir air mata dan senyuman juga terukir.

“Ingatlah, kelebihan dan kekurangan anak adalah satu rahmat. Usaha kita mendidik dan membesarkan mereka juga satu ujian yang berpahala. Sedaya upayalah kita jangan lakukan 10 perkara yang disebut tadi,” titipnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply